Khamis, 7 November 2013

Saman (Siri 6)

Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Saman (Siri 6).

Berikut ialah satu (1) lagi isu awalan dan penting mengenai ‘Saman’:

-      Afidavit Penyampaian Saman

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^



Di bawah Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 terdapat beberapa bentuk atau cara penyampaian Saman (termasuk Saman kes tuntutan mut’ah) iaitu:

i.    penyampaian secara biasa iaitu secara serahan kediri Defendan – lihat seksyen 41;

ii. penyampaian secara ganti melalui tampalan di premis alamat Defendan terakhir di ketahui dan di papan kenyataan Mahkamah. Penyampaian ganti ini adalah di buat setelah memperolehi Perintah dari Mahkamah sekiranya serahan secara biasa tidak dapat di buat – lihat seksyen 48 (1);

iii. penyampaian ganti mengikut apa-apa cara lain yang Mahkamah fikirkan patut dan perintahkan – lihat seksyen 48(1);

iv. penyampaian secara ganti melalui iklan dalam akhbar tempatan sebagaimana yang Mahkamah fikirkan patut dan perintahkan – lihat seksyen 48 (2);

v. penyampaian atau serahan kepada Peguam Syarie Defendan - lihat seksyen 43;

vi. penyampaian Saman dalam kes khas secara kediri melalui pihak ketiga bagi Defendan-Defendan yang merupakan banduan penjara [- lihat seksyen 47 (3)] dan anggota tentera [- lihat seksyen47 (4)].

Penyampaian Saman secara sedemikian telah dinyatakan di dalam siri yang lalu termasuklah mengenai penyampaian Saman kepada Defendan yang merupakan tahanan/penghuni Pusat Serenti atau Puspen.

Untuk posting kali ini saya akan menulis mengenai bukti penyampaian Saman melalui satu dokumen yang di sebut sebagai ‘Afidavit Penyampaian’.

Setelah Saman di serahkan dan di sampaikan kepada pengetahuan Defendan pihak Plaintif hendaklah memfailkan suatu Afidavit yang di sebut sebagai Afidavit Penyampaian ke Mahkamah sebagai suatu keperluan sebagai bukti bahawa penyampaian Saman telah di laksanakan dengan sempurna ke atas Defendan. Afidavit Penyampaian sedemikian (samada penyampaian secara kediri ataupun secara penyampaian ganti) adalah yang di rujuk sebagai ‘bukti panyampaian wajar’ dalam seksyen 121 enakmen tatacara mal.

Dalam kes Radzi Abdullah v Nursyaireen Radzi & 1 yang lain 36 (2113) 1 JH 67 perbicaraan kes telah dijalankan tanpa kehadiran Defendan dan seterusnya mahkamah bicara membuat keputusan memihak kepada Plaintif. Perbicaraan ini dijalankan sebelah pihak setelah Peguam Plaintif memaklumkan kepada Hakim Bicara bahawa Saman telah diserahkan kepada pekerja firma guaman Peguam Syarie Defendan/Perayu tetapi tiada ‘Afidavit Penyampaian’ di failkan di Mahkamah sebagai buktinya.

Defendan mahupun Peguamnya tidak pernah hadir dalam prosidng kes tersebut kemudiannya memfailkan suatu rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah terhadap keseluruhan keputusan Hakim Bicara.

Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur telah menerima rayuan Defendan/Perayu tersebut dan membatalkan keputusan Hakim Bicara dan seterusnya memerintahkan kes itu di bicarakan semula di hadapan Hakim yang lain kerana antara lain, tiada afidavit penyampaian di failkan di Mahkamah sebagai bukti bahawa saman telah di sampaikan dengan wajar keatas Defendan dalam kes itu.

Mahkamah Rayuan Syariah tersebut berkata di ms 74 - 76:

14. Menghadirkan pihak Defendan adalah menjadi suatu syarat dalam sesuatu perbicaraan mengikut hukum Syarak.Kami dalam hal ini merujuk kepada tulisan Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan ...

15. Manakala penyampaian Saman, adalah suatu kaedah yang dipilih oleh undang-undang untuk menghadirkan pihak yang kena tuntut. Oleh itu samada penyampaian secara kediri atau melalui penyampaian ganti, ia adalah sesutu yang mesti dilakukan. Kegagalan mematuhi seksyen 121(1)(b) yang dibaca bersama seksyen 41 dan seksyen 48(1) dan (2) Akta 585 ini boleh menyebabkan prosiding perbicaraan yang dijalankan dikira sebagai tidak sah dan terbatal sebagaimana peruntukan seksyen 5 Akta 585 ...

16. ... hanya dengan penyampaian saman sahaja memungkinkan Mahkamah boleh mendengar dari kedua-dua belah [pihak] sebelum sesuatu hukuman/keputusan dibuat. Prinsip mendengar dari kedua-dua belah pihak ini prinsip yang telah establish dibawah Hukum Syarak dan ia wajib di ikuti sebagaimana Hadis Nabi s.a.w ...

17. Ianya (prinsip di atas tadi) tidak mungkin boleh dilakukan kecuali sesudah penyampaian saman telah di sempurnakan. Samada pihak Defendan hadir atau tidak selepas itu, ia suatu persoalan lain. Oleh itu penyampaian saman adalah suatu yang wajib kerana ia menyempurnakan kewajipan mendengar dari kedua-dua belah pihak sebagaimana kaedah feqah yang menyatakan:

‘tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia adalah wajib dilakukan.’
...
20. ini adalah kerana peruntukan suseksyen 121(1)(b) Akta 585 menetapkan perbicaraan tanpa kehadiran pihak Defendan adalah tertakluk kepada bukti penyampaian wajar. Bukti penyampaian mengikut undang-undang adalah afidavit penyampaian sebagaimana yang diperuntukkan suseksyen 49(1) Akta 585:  ...

Maka jelaslah betapa pentingnya peranan Afidavit Penyampaian selain sebagai bukti dokumentari mengenai penyampaian saman kepada Defendan. Oleh itu berikut ialah kandungan peruntukan seksyen 49 Enakmen:

Seksyen 49. Bukti penyampaian

(1)   Penyampaian saman atau dokumen lain boleh, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya, dibuktikan melalui afidavit orang yang melaksanakan penyampaian itu dan, jika penyampaian itu adalah ke diri dan orang yang kepadanya saman atau dokumen lain itu hendak disampaikan tidak dikenalinya sendiri, melalui afidavit orang yang mengecamkan orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.

(2)   Orang yang kepadanya saman atau dokumen itu disampaikan hendaklah menandatangani suatu pengakuterimaan penyampaian, tetapi keengganan atau ketakupayaannya menandatangani sedemikian tidaklah akan menjejaskan keesahan penyampaian itu.

Afidavit Penyampaian itu hendaklah dibuat dengan sumpah dan di lakukan di hadapan penjawat awam yang tertentu sebagai penyaksian. Seksyen 112 Enakmen memperuntukkan bahawa:

a.  jika Afidavit itu di buat dengan sumpah di dalam negeri Pahang maka saksi kepada Afidavit itu hendaklah merupakan samada Hakim Mahkamah Syariah atau Pendaftar Mahkamah Syariah di mana Afidavit itu di tandatangani;

b  jika Afidavit itu di buat dengan sumpah di dalam negeri lain di Malaysia maka saksi kepada Afidavit itu hendaklah juga merupakan samada Hakim Mahkamah Syariah atau Pendaftar Mahkamah Syariah yang berkenaan;

c.  jika Afidavit itu di buat dengan sumpah di luar Malaysia maka saksi kepada Afidavit itu hendaklah merupakan samada pegawai yang berugama Islam di  Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia atau Konsulat atau Misi Tetap di tempat itu yang di beri kuasa untuk mengendalikan sumpah.

Berikut ialah peruntukan penuh seksyen 112 enakmen tersebut:

Seksyen 112. Membuat affidavit

Sesuatu afidavit yang hendak digunakan dalam mana-mana prosiding di Mahkamah hendaklah dibuat dengan sumpah —
(a)  di Negeri Pahang, di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar;

(b)  di Negeri lain di Malaysia, di hadapan Hakim Syarie atau Pendaftar mengikut kehendak kes;

(c)  di mana-mana tempat di luar Malaysia, di hadapan mana-mana pegawai Islam Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia atau Konsulat atau Misi Tetap di tempat itu yang di beri kuasa untuk mengendalikan sumpah.

Maksud ‘Hakim Syarie’ dan ‘Pendaftar’ dalam seksyen 112 diatas adalah sebagaimana yang di takrifkan oleh seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002: ‘Hakim Syarie’ adalah bererti  Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pahang) 1991. Manakala ‘Pendaftar’ dalam seksyen 112 itu adalah merujuk kepada ‘Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pahang) 1991’.

Lihat seksyen 3 enakmen sebagaimana berikut mengenai tafsiran di atas:

Seksyen 3. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain —

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 [Enakmen No. 3 tahun 1991];

“Hakim” atau “Hakim Syarie” ertinya Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

“Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

Dalam surat bertarikh 23.08.2002 Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia kepada semua Y.A.A. Ketua-Ketua Hakim Syarie, Mahkamah-mahkamah Syariah Negeri-negeri di Malaysia telah memaklumkan mengenai Arahan Amalan No. 6 tahun 2002 yang berikut:

Arahan Amalan No. 6 Tahun 2002
Wakalah / Iqrar / Afidavit

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil.3 Tahun 2002 pada 7 Mei 2002 di Johor Bahru bersamaan 25 Safar 1423 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan amalan berhubung lafaz Wakalah, Iqrar dan Afidavit bolehlah dibacakan di Hadapan Hakim, Pendaftar, Pegawai Sulh, Penolong Pendaftar atau mana-mana orang yang diturunkan kuasa berhubung dengannya.

Arahan amalan ini berkuatkuasa 1 Jun 2002.

Sehubungan dengan Arahan Amalan diatas  maka berkuatkuasa mulai 01.06.2002 Afidavit Penyampaian bolehlah dibacakan atau di angkat sumpah dihadapan di hadapan Hakim, Pendaftar, Pegawai Sulh, Penolong Pendaftar atau mana-mana orang yang diturunkan kuasa berhubung dengannya. Arahan Amalan ini seharusnya menzahirkan dengan nyata bahawa kesemua pegawai/orang yang dimaksudkan sebagai Hakim, Pendaftar, Pegawai Sulh, Penolong Pendaftar atau mana-mana orang yang diturunkan kuasa itu hendaklah melibatkan yang bertugas di ‘Mahkamah Syariah’ sahaja.

Dalam kes Dato Wan Hassan v Nik Zainab 31 (2010) 1 JH 39 Mahkamah Rayuan Syariah WP setelah merujuk kepada seksyen 112 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 yang sama kandungannya dengan seksyen 112 Enakmen Pahang berkata di mukasurat 51 - 54 :

17. ... Walaupun Akta Tatacara Mal tidak memperuntukkan kaedah yang terperinci mengenai cara-cara pendeposan sesuatu afidavit, namun apa yang ada sudah memadai. Berdasarkan peruntukan di atas, undang-undang menetapkan  bahawa setiap afidavit yang ingin digunakan di Mahkamah Syariah hendaklah dibuat  dengan sumpah antaranya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar.
...
22. Hak untuk mendeposkan sesuatu afidavit adalah hak individu terbabit dan layak atau tidak seseorang itu untuk berbuat demikian bukannya bergantung kepada samada ianya sakit atau buta. Apa yang paling penting ialah deponen tersebut mengetahui setiap apa yang dideposkan dan bagi menjamin urusan pendeposan tersebut mematuhi undang-undang, maka pendeposan tersebut hendaklah dibuat di hadapan Hakim Syarie ataupun Pendaftar. Hakim Syarie ataupun Pendaftar yang akan bertanggungjawab mempastikan bahawa deponen layak dan benar-benar faham apa yang dideposkan dan sekiranya telah dideposkan maka deponen tersebut bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang telah dideposkan.

23. Sekiranya Hakim Syarie ataupun Pendaftar telah berpuashati dan seterusnya menandatangani afidavit tersebut, maka sewajarnya tidak timbul lagi apa-apa keraguan berkaitan cara afidavit dibuat. Dalam tindakan di Mahkamah Bicara juga, kami melihat bahawa Responden ada diwakili oleh Peguam, Responden juga ada hadir ke Mahkamah pada tarikh sebutan 02.06.2006 dan apa yang diikrarkan di dalam afidavit Responden tidak ada sesuatu yang merugikan Responden, oleh itu kami berpuashati bahawa tindakan YA Hakim Bicara adalah betul apabila menolak Bantahan Awal Perayu berkenaan isu ini.

Afidavit Penyampaian hendaklah dalam bentuk yang di tetapkan oleh seksyen 113 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 serta Borang MS 26 Enakmen Tatacara Mal. Perkataan ‘borang’  mengikut tafsiran seksyen 3 Enakmen adalah:

“borang” ertinya borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, dan borang yang disebut dengan menggunakan suatu nombor ertinya borang yang dinomborkan sedemikian dalam Jadual itu.

Berikut pula ialah kandungan seksyen 113 Enakmen Tatacara Mal:

Seksyen 113. Bentuk afidavit

(1) Sesuatu afidavit hendaklah dalam Borang MS 26.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), Mahkamah boleh, mengikut budi bicaranya, menerima sesuatu afidavit walaupun terdapat apa-apa ketakteraturan dalam bentuknya.

Borang MS 26 adalah seperti dibawah ini:



JADUAL KETIGA - Borang MS 26

(Subseksyen 113 (1))

BENTUK AFIDAVIT

(Tajuk Am)

Saya (nama, alamat dan perihalan deponen) bersumpah dan menyatakan seperti yang berikut :

(Nyatakan dalam perenggan bernombor fakta-fakta yang hendak dideposkan dalam afidavit)

1. .......................................................................................................

2. .......................................................................................................

3. .......................................................................................................

4. ........................................................................................................

Diangkat sumpah pada .... haribulan)

................... 20 .................... di ..........
oleh ...........................................
.....................
Tandatangan

Di hadapan saya,
..........................
Hakim/Pendaftar



Bersama-sama dengan Afidavit Penyampaian tersebut sesalinan pendua Saman dan Pernyataan Tuntutan (dalam bentuk fotostat sekurang-kurangnya) yang diserahkan kepada Defendan hendaklah juga dilampirkan. Ini adalah sebagai mematuhi kehendak seksyen 114. Dokumen Saman ini dijadikan atau dirujuk sebagai ekshibit kepada Afidavit Penyampaian yang mana jika Saman di serahkan secara kediri atau di tampalkan di premis atau di papan kenyataan Mahkamah dsb. Sekiranya Afidavit itu adalah mengenai serahan secara iklan di akhbar maka ekshibitnya adalah salinan ‘iklan’ yang telah di siarkan di akhbar yang berkenaan sahaja dikepilkan/dilampirkan sebagai ekshibit, tidak perlu salinan Saman di ekshibitkan.

Bentuk borang yang digunakan untuk mengepilkan ekshibit itu adalah di istilahkan sebagai dokumen pengenalpastian ekshibit dan ianya adalah dalam bentuk yang di tetapkan dalam Borang MS 27. 

Berikut ialah peruntukan seksyen 114 enakmen beserta dengan Borang MS 27 sebagai rujukan mudah posting ini.

Seksyen 114. Salinan dokumen hendaklah dilampirkan pada afidavit

(1) Salinan apa-apa dokumen yang hendak digunakan berhubungan dengan sesuatu afidavit hendaklah dilampirkan pada afidavit itu sebagai ekshibit.
(2) Sesuatu ekshibit bagi sesuatu afidavit hendaklah dikenal pasti melalui perakuan orang yang di hadapannya afidavit itu diangkat sumpah, dan perakuan itu hendaklah mengikut bentuk dalam Borang MS 27.

Borang MS 27 adalah seperti dibawah ini:

JADUAL KETIGA - Borang MS 27

(Subseksyen 114 (2))

PENGENALPASTIAN EKSHIBIT

(Tajuk Am)

Ini ialah ekshibit bertanda “ ........................................”, yang disebut dalam afidavit ....................... yang diangkat sumpah di hadapan saya pada ................................ haribulan ................. 20 ..........

...........................
Hakim/Pendaftar


Menurut seksyen 115 enakmen, Afidavit Penyampaian yang cacat boleh ditolak penerimaannya oleh Mahkamah. Kecacatan yang dimaksudkan ada dinyatakan dalam seksyen tersebut sebagaimana berikut:

Seksyen 115. Menolak afidavit
Mahkamah boleh mengikut budi bicaranya menolak mana-mana afidavit yang kandungannya sukar dibaca atau difahami, atau yang mengandungi apa-apa tulisan antara baris, pengubahan atau pemadaman atau apa-apa kecacatan bentuk yang lain.

Setelah Afidavit itu difailkan di Mahkamah ia menjadi sebahagian dari rekod Mahkamah. Maka Afidavit itu tidak boleh dipinda lagi kerana ia mungkin membawa kesan prejudis seperti dapat dikatakan sebagai pengataan fakta palsu atau bohong. Afidavit yang telah difailkan itu masih boleh di pinda sekiranya bertujuan untuk memperbetulkan kecacatan bentuk atau ralat penulisan/kesilapan menaip.caranya ialah dengan memfailkan suatu Afidavit Pembetulan sebelum perbicaraan bermula agar tiada terjadinya kesan prejudis. Seksyen yang membuat peruntukan ini adalah seksyen 116 enakmen:

Seksyen 116. Pindaan

(1) Suatu afidavit yang telah difailkan tidak boleh dipinda kecuali bagi maksud membetulkan apa-apa kecacatan bentuk atau kesilapan tulis.
(2) Apa-apa pindaan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat melalui afidavit pembetulan dan hendaklah difailkan sebelum perbicaraan.
(3) Suatu afidavit tambahan boleh difailkan sebelum perbicaraan.

Afidavit Penyampaian hendaklah difailkan sebelum perbicaraan bermula. Sekiranya perbicaraan telah bermula ia hanya boleh difailkan dengan kebenaran Mahkamah. Permohonan untuk kebenaran itu boleh dibuat secara lisan ataupun secara formal (iaitu secara memfailkan Permohonan melalui Notis). Namun Mahkamah mempunyai budibicara samada untuk memberi kebenaran mahupun untuk memberikan kebenaran. Jika Mahkamah enggan memberi kebenaran pindaan itu, tiada rayuan boleh dibuat kecuali dalam rayuan terhadap keseluruhan keputusan kes yang dibicarakan sepenuhnya. Ini di peruntukkan oleh seksyen 117 enakmen:

Seksyen 117. Memfailkan afidavit

(1) Tiada afidavit boleh difailkan selepas perbicaraan dimulakan kecuali dengan kebenaran Mahkamah.

(2) Tiada rayuan boleh dibuat terhadap keengganan Mahkamah untuk memberikan kebenaran di bawah subseksyen (1), kecuali dalam suatu rayuan terhadap keputusan kes pada keseluruhannya.

Pernah terjadi seorang Penyerah Saman membuat Afidavit Penyampaian bahawa beliau telah menyerahkan Saman secara kediri keatas Defendan kes yang berkaitan di suatu premis kediaman. Fakta yang sebenar adalah bahawa premis yang dikatakan itu adalah sebuah premis kediaman kuarters kakitangan kerajaan yang telah tidak lagi ujud kerana telah dirobohkan bertahun-tahun sebelum tarikh serahan Saman itu. Defendan langsung tiada pengetahuan mengenai tuntutan atau Saman tersebut sehinggalah kes di peringkat pelaksanaan menguatkuasakan Perintah. Dalam kes itu fakta serahan yang di deposkan dalam Afidavit serahan dipertikaikan dan setelah Mahkamah pergi ke alamat tempat premis itu dan mendapati premis tersebut memang mustahil wujud semasa Saman dikatakan diserah kepada Defendan. Diputuskan bahawa kandungan Afidavit itu adalah mengikrarkan fakta palsu dan ditolak penerimaannya.   

Dibawah seksyen 118 enakmen, terdapat tatacara mengenai penolakan penerimaan Afidavit Penyampaian juga. 

Dalam kes Dato Wan Hassan v Nik Zainab 31 (2010) 1 JH 39 Mahkamah Rayuan Syariah juga telah merujuk kepada seksyen 118 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 yang sama kandungannya dengan seksyen 118 Enakmen Pahang dan berkata di mukasurat 52 - 53 :

20. ... Apabila sesuatu afidavit itu telah dibuat mengikut undang-undang, maka Mahkamah Bicara boleh menerima afidavit tersebut sebagai pliding mahkamah. Penerimaan terhadap sesuatu afidavit tersebut bukan bermakna kandungan atau fakta yang dideposkan di dalam afidavit tidak boleh dipertikaikan. Pihak lawan boleh menghendaki deponen itu hadir ke Mahkamah untuk diperiksa mengenai afidavitnya sebagaimana seksyen 118 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 ...

Menurut seksyen 118 (1) enakmen apabila Defendan telah menyampaikan notis kepada Plaintif akan hasratnya untuk memeriksa balas Deponen mengenai afidavit penyampaian yang berkenaan maka sekiranya deponen itu tidak dikemukakan untuk prosiding pemeriksaan balas itu, Mahkamah berkuasa untuk menolak atau tidak mengambil kira afidavit itu sebagai bukti serahan kecualilah jika terdapat alasan hal keadaan khas.

Dibawah seksyen 118 (2) enakmen Mahkamah sendiri mempunyai kuasa atas kehendaknya sendiri menghendaki kehadiran deponen untuk diperiksa mengenai afidavitnya dan, jika dia tidak hadir, boleh menolak atau tidak mengambil kira afidavit itu.

Dalam kedua-dua situasi di bawah seksyen 118 sekiranya deponen hadir dan pemeriksaan balas di jalankan bagi memastikan fakta yang di deposkan dalam afidavit penyampaiannya.

Berikut ialah peruntukan seksyen 118 tersebut:

Seksyen 118. Pemeriksaan balas

(1) Mana-mana pihak yang berhasrat hendak mempertikaikan fakta yang dideposkan dalam suatu afidavit boleh menyampaikan kepada pihak yang memfailkan afidavit itu notis tentang hasrat untuk memeriksa balas deponen itu, dan sesudah itu, jika deponen itu tidak dikemukakan bagi pemeriksaan balas, Mahkamah hendaklah, kecuali dalam hal keadaan khas, menolak atau tidak mengambil kira afidavit itu.

(2)  Mahkamah boleh atas kehendaknya sendiri menghendaki kehadiran mana-mana deponen untuk diperiksa mengenai afidavitnya dan, jika dia tidak hadir, boleh menolak atau tidak mengambil kira afidavit itu.

Apabila Afidavit Penyampaian difailkan maka persolan fi pemfailan perlu di lihat. Seksyen 221 enakmen adalah berkaitan dan di nyatakan dibawah ini.

Seksyen 221. Fi Mahkamah

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), maka hendaklah dibayar berkenaan dengan semua kausa, perkara dan prosiding di Mahkamah apa-apa fi sebagaimana yang ditetapkan.

(2)  Kerajaan atau Majlis tidaklah dikehendaki membayar apa-apa fi Mahkamah dalam prosiding oleh atau terhadap Kerajaan atau Majlis.

(3)  Fi Mahkamah hendaklah dibayar dengan wang tunai.

(4)  Tiada fi boleh dikenakan berkenaan dengan apa-apa prosiding yang diambil atas kehendak Mahkamah.

Fi yang sepatutnya di kenakan adalah sebanyak RM3.00 untuk pemfailan Afidavit dan RM1.00 untuk ekshibit. Kadar ini adalah di tetapkan untuk pemfailan di Mahkamah Rendah Syariah (MRS) serta di Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) di bawah item No. 32 Jadual Pertama kepada Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi, Elaun dan Kos) Pahang 2005

No.
Butiran
Fi MRS (RM)
Fi MTS (RM)
32
Apabila memfailkan afidavit atau afidavit tambahan, bagi setiap orang yang membuatnya.
3.00
3.00

Dan bagi setiap ekshibit yang dikehendaki ditandakan.
1.00
1.00

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Berikut ialah contoh-contoh Afidavit Penyampaian yang di gunapakai di Mahkamah Syariah Negeri Pahang:

a. Afidavit Penyampaian secara kediri:

DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ???      TAHUN 2013
                             
ANTARA

AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ]                                            … PLAINTIF

DAN

CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]                                                …DEFENDAN

AFIDAVIT PENYAMPAIAN

Saya RRSS  [KPPN NO: ------] yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang bersumpah dan menyatakan seperti berikut :-

1.    Saya adalah seorang warganegara Malaysia yang cukup umur telah diamanahkan oleh Peguam Syarie Plaintif untuk menyerahkan sesalinan Saman beserta Pernyataan Tuntutan keatas Defendan.

Sesalinan Saman beserta Pernyataan Tuntutan tersebut disertakan dan ditandakan disini sebagai ekshibit 'A'.

2.    Bahawa saya pada .... 2013 jam 4.08 petang telah menyerahkan sesalinan Saman beserta Pernyataan Tuntutan tersebut keatas Defendan  secara serahan kediri di No. 4 Jalan  XYZ, 40170 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan dan beliau telah menerimanya serta telah menurunkan tandatangannya di belakang pendua Saman tersebut.

3.    Pada ....2013 saya telah mengindorskan dibelakang Saman tersebut tarikh dan cara penyampaian dibuat.

4.    Segala yang dinyatakan diatas adalah benar dan betul menurut kepercayaan dan pengetahuan saya.

Di angkat sumpah pada    haribulan Oktober 2013  ]
di                                                                           ]               
oleh RRSS                                                              ]

Dihadapan saya


……………………………….
Hakim/Pendaftar

AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.



DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ???      TAHUN 2013
                             
ANTARA
AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ]                                            … PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]                                                …DEFENDAN

SIJIL PERAKUAN EKSHIBIT

Saya dengan ini memperakui bahawa berikut adalah ekshibit yang bertanda “A” yang dirujuk dalam Afidavit Penyampaian RRSS yang diangkat sumpah pada        haribulan Oktober 2013.


..............................................
HAKIM / PENDAFTAR

AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.


b. Afidavit Serahan Gantian:

DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ???      TAHUN 2013
                             
ANTARA
AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ]                                            … PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]                                                …DEFENDAN

AFIDAVIT SERAHAN GANTIAN
[Subseksyen 49 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002]

Saya RRRR [KPPN NO: ------] yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang berikrar dan menyatakan seperti berikut :-

1.    Bahawa saya adalah Peguam Syarie kepada Plaintif dan merujuk kepada Perintah Untuk Penyampaian Ganti bertarikh ... dalam prosiding ini keatas Defendan. Perintah tersebut antara lain telah memerintahkan agar suatu salinan Saman dan Pernyataan Tuntutan beserta Perintah Penyampaian Ganti dalam prosiding ini ditampalkan di Papan Kenyataan Mahkamah ini. Penyampaian Ganti tersebut juga diperintahkan untuk diiklankan didalam akhbar tempatan berbahasa Malaysia selama satu (1) hari.

2.    Bahawasanya  pada ... jam 09.30 pagi saya telah menampalkan suatu salinan Saman dan Pernyataan Tuntutan beserta Perintah Penyampaian Ganti tersebut di  Papan Kenyataan Mahkamah Tinggi Syariah ...

3.    Bahawasanya  juga pada ... akhbar Sinar Harian telah mengiklankan mengenai prosiding ini didalam akhbarnya.

Saya kepilkan disini salinan iklan tersebut dan ditanda sebagai ekshibit 'A'.

4.    Saya membuat afidavit ini dengan penuh kepercayaan bahawa segala yang dinyatakan diatas adalah benar dan betul menurut pengetahuan saya.

Di ikrarkan pada    haribulan Oktober 2013         ]
di                                                                        ]               
oleh RRRR                                                          ]

Dihadapan saya


……………………………….
Hakim/Pendaftar

AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.



DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ???      TAHUN 2013
                             
ANTARA
AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ]                                            … PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]                                                …DEFENDAN

SIJIL PERAKUAN EKSHIBIT

Saya dengan ini memperakui bahawa berikut adalah ekshibit yang bertanda “A” yang dirujuk dalam Afidavit Serahan Gantian RRRR yang diikrarkan pada        haribulan Oktober 2013.



..............................................
HAKIM / PENDAFTAR

AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.