Jumaat, 1 November 2013

Saman (Siri 4)

Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Saman (Siri 4).

Berikut ialah ialah satu (1) lagi isu awalan dan penting mengenai ‘Saman’:

-      Penyampaian Saman. Dalam posting ini isu ini di bincangkan kepada dua situasi iaitu:
a.  Penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang berada di dalam negeri Pahang;

b.  Penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang berada di luar negeri Pahang.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Penyampaian Saman secara yang sempurna dan menepati tatacara dan arahan amalan Mahkamah Syariah adalah perkara penting. Jika Saman yang di serahkan kepada Defendan itu cacat atau tidak sempurna dari segi  serahan menurut tatacara dan amalan maka sebarang prosiding perbicaraan serta keputusan Mahkamah darinya adalah juga cacat serta tidak sah.

Dalam kes Khairol Bin Bahari v Norazian binti Saidin (Kes Mahkamah Rayuan Syariah No. 14500-001-0012-2001 yang tidak di lapurkan) di putuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah bahawa perbicaraan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membicarakan kes tanpa kehadiran Defendan/Perayu adalah batal serta tidak sah atas alasan bahawa penyampaian Saman tidak sempurna dan tidak di serahkan kediri Defendan mahupun kepada Peguam Syarie Defendan yang telah memaklumkan alamat serahan lengkap Defendan.

Sepertimana di negeri lain di Malaysia, kedudukan mengenai penyampaian Saman di negeri Pahang terbahagi kepada dua keadaan. Pertama dalam situasi dimana Defendan (yakni suami dalam kes tuntutan mut’ah) berada di dalam negeri Pahang. Situasi kedua adalah apabila Defendan beralamat dan berada di luar negeri Pahang. Kedudukan ini tedapat di dalam Bahagian VI Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 di mana bab 1 nya adalah peruntukan mengenai penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang berada di dalam negeri Pahang manakala bab 2 pula adalah peruntukan mengenai penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang berada di luar negeri Pahang.

[hanya gambar hiasan]

***************

a. Penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang berada di dalam negeri Pahang.

Di bawah Bahagian VI Bab 1 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 penyampaian ini disebut sebagai penyampaian dalam bidangkuasa. Seksyen-seksyen yang terkandung dalam bab 2 ini adalah seksyen 40 sehingga seksyen 51 enakmen.

Menurut seksyen 40 alamat Plaintif (yakni si isteri - dalam tuntutan mut’ah) hendaklah di nyatakan di dalam Saman. Alamat tersebut hendaklah merupakan alamatnya di dalam negeri Pahang dan di dalam kawasan bidangkuasa tempatan Mahkamah Syariah yang berkenaan. Jika beliau memfailkan Saman melalui Peguam Syarienya maka alamat Peguam Syarienya itu adalah merupakan alamat penyampaian Plaintif.   Berikut ialah peruntukan seksyen tersebut:

Seksyen 40. Alamat bagi penyampaian

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), tiap-tiap plaintif atau pemohon dan tiap-tiap orang yang memfailkan sesuatu saman atau dokumen lain dalam mana-mana prosiding, selain seorang pegawai Mahkamah yang bertindak demikian, dan mana-mana orang lain yang diperintahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian hendaklah memberikan alamat bagi penyampaian di dalam Negeri Pahang.

(2) Jika mana-mana plaintif, pemohon atau orang lain itu diwakili oleh seorang Peguam Syarie, alamat Peguam Syarie itu hendaklah menjadi alamat bagi penyampaian.

Saman hendaklah diserahkan atau di sampaikan kepada Defendan secara menyerahkan satu salinannya beserta Pernyataan Tuntutan oleh Penyerah Saman dengan bertemu sendiri dengan Defendan dan serahkan kepada beliau. Cara penyerahan atau penyampaian sedemikian di namakan serahan atau penyampaian ke diri. Salinan Saman itu hendaklah yang bermeterai Mahkamah dan bertandatangan Pendaftar Mahkamah. Orang yang menyerahkan Saman itu hendaklah merupakan Pegawai Mahkamah Syariah yang berkenaan ataupun Plaintif sendiri, atau Peguam Syarienya atau wakil Peguam Syarienya.

Cara penyampaian ini ada peruntukkan di dalam seksyen 41 enakmen:

Seksyen 41. Cara penyampaian

(1) Tertakluk kepada Bahagian ini, sesuatu saman atau dokumen lain hendaklah disampaikan ke diri, dan hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan saman atau dokumen lain itu, atau dengan mengemukakannya untuk diperiksa dan menyerahkan satu salinan saman atau dokumen lain itu, kepada orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.

(2) Bagi maksud subseksyen (1), suatu salinan yang mengandungi meterai Mahkamah dan tandatangan Pendaftar hendaklah disifatkan sebagai suatu saman atau dokumen asal.

(3) Penyampaian sesuatu saman atau dokumen lain hendaklah dilaksanakan oleh pegawai Mahkamah atau mana-mana orang lain.

Oleh kerana seksyen ini tidak menyatakan tempoh melaksanakan percubaan penyampaian Saman agar kes tidak tertangguh tanpa sebab serta di selesaikan sesegera mungkin maka suatu arahan amalan telah di keluarkan bagi tujuan penyelarasan tempoh penyampaian saman kediri Defendan. Arahan Amalan No. 2 tahun 2011 itu menetapkan bahawa tempoh penyampaian saman kediri kepada Defendan yang beralamat di dalam bidangkuasa sesebuah mahkamah hendaklah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh saman dikeluarkan.
Di bawah ini adalah Arahan Amalan tersebut:

ARAHAN AMALAN NO. 2 TAHUN 2011

Tempoh Penyampaian Saman Kediri
Dalam Masa 14 Hari Dari Tarikh Saman Dikeluarkan

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2011 pada 12 Muharram 1433H bersamaan 7hb Disember 2011 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan bagi tujuan penyelarasan tempoh penyampaian saman kediri Defendan. Tempoh penyampaian saman kediri kepada Defendan selain saman yang beralamat di luar bidang kuasa sesebuah mahkamah hendaklah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh saman dikeluarkan.

Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 7 Disember 2011.
Sekiranya apabila penyerah Saman menerangkan mengenai dokumen yang ingin di serahkan serta menghulurkan salinan Saman yang sempurna kepada Defendan tetapi Defendan enggan menerima Saman tersebut atau menurunkan tanda penerimaannya (tandatangan atau cap jari) maka Saman itu di akui sebagai telah sempurna diserahkan apabila Saman dan Pernyataan Tuntutan itu ditinggalkan berhampiran dengan Defendan. Ini di peruntukkan oleh seksyen 42 di baca bersama seksyen 49 (2) enakmen.

Seksyen 42 memperuntukkan:

Seksyen 42. Ketakterimaan
Jika orang yang kepadanya sesuatu saman atau dokumen lain dikehendaki disampaikan enggan menerima saman atau dokumen itu atau salinannya, ia bolehlah ditinggalkan berhampiran dengan orang itu dan perhatiannya diarahkan kepada saman, dokumen atau salinannya itu.

Seksyen 49 (2) memperuntukkan bahawa:

(2) Orang yang kepadanya saman atau dokumen itu disampaikan hendaklah menandatangani suatu pengakuterimaan penyampaian, tetapi keengganan atau ketakupayaannya menandatangani sedemikian tidaklah akan menjejaskan keesahan penyampaian itu.

Sepertimana yang ditunjukkan di dalam kes Khairol Bin Bahari v Norazian binti Saidin (Kes Mahkamah Rayuan Syariah No. 14500-001-0012-2001 yang tidak di lapurkan) diatas Saman boleh diserahkan kepada Peguam Syarie Defendan. Apabila Peguam Syarie memaklumkan kepada Plaintif atau Peguam yang mewakili Plaintif (jika ada) bahawa beliau mewakili Defendan serta mempunyai arahan untuk menerima Saman dan proses lain maka Saman boleh di serahkan kealamat Peguam Syarie Defendan itu samada secara serahan tangan ke alamat firma Peguam Syarie tersebut ataupun di poskan secara berdaftar akuan terima (bersama surat litup). Ini adalah sebagaimana yang diperuntukkan oleh seksyen 43 dan 44 enakmen.

Seksyen 43. Penyampaian kepada Peguam Syarie
Sesuatu saman atau dokumen lain boleh disampaikan kepada Peguam Syarie mana-mana pihak yang telah memfailkan wakalah mengikut seksyen 34 kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Enakmen ini.

Seksyen 44. Penyampaian di alamat bagi penyampaian
Sesuatu saman atau dokumen lain yang diserahkan di alamat bagi penyampaian mana-mana orang hendaklah disifatkan telah disampaikan kepada orang itu.

Dalam kes Noazizan Binti Mat Lazim v Aziz Bin Othman (Kes Mahkamah Tinggi Syariah No: 06100-014-0423-2008 yang tidak di lapurkan) melalui satu surat berdaftar AT Peguam Syarie Plaintif telah menghantar secara pos satu salinan Saman beserta Pernyataan Tuntutan kealamat tempat Defendan bekerja. Surat dan dokumen-dokumen yang diposkan tersebut telah diterima oleh rakan pejabat tempat Defendan bekerja dan kemudiannya diserahkan kepada Defendan apabila beliau kembali kepejabat. Peguam Syarie Defendan dalam permohonannya untuk mengenepikan dan membatalkan serahan sedemikian telah menghujahkan bahawa Saman hendaklah diserahkan secara kediri kepada Defendan dan orang yang menyerahkan Saman tersebut kepada Dendan hendaklah membuat satu afidavit penyampaian. Hujahan ini adalah berdasarkan seksyen 41 dan seksyen 49 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Di hujahkan juga bahawa serahan secara pengeposan adalah bukan merupakan serahan kediri dan ia merupakan salah aturan. Peguam Syarie Plaintif pula merujuk kepada seksyen 44 dan mengatakan bahawa serahan Saman itu telah sempurna kerana ianya di serahkan ke alamat Defendan. Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa serahan sedemikian adalah tidak sempurna dan batal serta memerintahkan serahan di buat semula sebelum tindakan lanjut prosiding di teruskan. Alasan Mahkamah adalah bahawa serahan Saman hendaklah secara kediri dan sekiranya percubaan serahan kediri gagal maka serahan secara gantian seperti tampalan dan iklan boleh dimohon dan diteruskan. Seksyen 44 tidak terpakai dalam kes yang di bicarakan itu. Dalam kes Mahkamah ini Seksyen 44 itu adalah merujuk kepada serahan secara tampalan dipremis Defendan.

Menurut seksyen 3 enakmen tatacara mal ‘hari kehadiran’ di ertikan sebagai: hari yang di tetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran Defendan atau mana-mana hari lain yang di tetapkan untuk pendengaran apa-apa prosiding itu.

Setiap Saman hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya. Jika tempoh penyampaian itu tidak mencukupi maka sekiranya Defendan tidak hadir di Mahkamah pada tarikh hari kehadiran tersebut, pihak Plaintif tidak boleh meneruskan kes tetapi Pendaftar hendaklah memberikan satu tarikh kehadiran yang baru dan selepas tarikh itu di berikan, pihak Plaintif tidak perlu membuat serahan semula namun sebaliknya menghantar suatu notis/surat pemberitahuan kepada  Defendan memaklumkan tarikh yang baru tersebut. seeloknya notis/surat pemberitahuan tersebut dihantar secara pos Akuan Terima Berdaftar sebagai bukti pengeposan dan pemakluman serta penerimaan makluman. Sekiranya tempoh penyerahan Saman tersebut tidak mencukupi, tetapi Defendan atau Peguam Syarienya hadir di Mahkamah maka kes boleh diteruskan dan penyampaian Saman tersebut dikira sebagai sempurna tempoh penyerahan.  Mahkamah boleh mengarahkan sedemikian. Perkara ini dinyatakan didalam seksyen 45 dibawah:

Seksyen 45. Hari kehadiran

(1) Sesuatu saman yang memulakan suatu tindakan hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

(2) Tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, notis bagi semua prosiding lain hendaklah notis dua hari genap melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

(3) Hari kehadiran boleh diubah oleh Pendaftar, jika perlu.

Saman boleh diserahkan dimana-mana tempat terjumpanya Defendan. Tidak semestinya di alamat yang tertera pada Saman. Tidak ada waktu ditetapkan. Bila-bila masa pun dibenarkan. Hanya yang ditetapkan ialah cara mengira masa penyampaian dilaksanakan. Apakah ianya pada hari serahan dibuat atau pada hari selepas penyampaian itu. Perkara ini adalah jelas dinyatakan didalam seksyen 46 enakmen:

Seksyen 46. Tempat dan masa penyampaian

(1) Penyampaian boleh dilaksanakan di mana-mana tempat, pada mana-mana hari dan bila-bila masa pada waktu siang atau malam.

(2) Penyampaian selepas pukul 4.00 petang hendaklah disifatkan telah dilaksanakan pada hari yang berikutnya.

(3) Penyampaian yang dilaksanakan selepas pukul 12.00 tengah hari pada hari sebelum, atau pada bila-bila masa pada, hari kelepasan mingguan atau pada bila-bila masa pada mana-mana hari kelepasan am, hendaklah disifatkan telah dilaksanakan pada hari yang mengikuti hari kelepasan itu.

Penyampaian dalam kes khas – serahan Saman keatas Defendan yang merupakan banduan; penghuni Pusat Serenti atau PUSPEN; dan anggota tentera.

Sekiranya Defendan adalah seorang banduan maka Saman itu hendaklah diserahkan kepada Pegawai Yang Menjaga penjara yang berkenaan. Pegawai tersebutlah yang akan menyebabkan Saman itu diserahkan kepada Defendan dan menguruskan kehadiran Defendan di Mahkamah. Ini di peruntukkan oleh seksyen 47 (3) enakmen tatacara mal.

Sekiranya Defendan berada di Pusat Serenti atau Puspen maka serahan Saman secara amalannya diberikan kepada Pegawai Yang Menjaga Pusat tersebut dan Pegawai tersebutlah yang akan menyebabkan Saman itu diserahkan kepada Defendan dan menguruskan kehadiran Defendan di Mahkamah. Ini kerana Defendan yang sedemikian tidak boleh keluar dari Pusat tanpa Pegawai mengiringi.

Sekiranya Defendan adalah seorang anggota Angkatan Tentera maka Saman itu hendaklah diserahkan kepada pegawai pemerintah atau adjutan unitnya. Pegawai tersebutlah yang akan menyebabkan Saman itu diserahkan kepada Defendan dan menguruskan kehadiran Defendan di Mahkamah. Ini di peruntukkan oleh seksyen 47 (4) enakmen tatacara mal.

Jika Defendan adalah seorang anggota beruniform yang lain seperti anggota Polis, Bomba dan Maritim tiada peruntukan mengenai cara khas penyerahan. Maka proses penyampaian biasa hendaklah dipatuhi.

Seksyen 47. Kes khas

(1) Penyampaian kepada seseorang orang tak berkeupayaan hendaklah dibuat kepada penjaga ad litemnya, jika ada.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), Mahkamah boleh, atas permohonan, memerintahkan supaya penyampaian kepada seseorang orang tak berkeupayaan dibuat kepada mana-mana orang lain.

(3) Penyampaian kepada seseorang di dalam penjara hendaklah dibuat kepada pegawai yang menjaga penjara itu, yang hendaklah menyebabkan saman atau dokumen lain itu diberikan kepada orang itu.

(4) Penyampaian kepada mana-mana anggota Angkatan Tentera hendaklah dibuat kepada pegawai pemerintah atau adjutan unitnya, yang hendaklah menyebabkan saman atau dokumen lain itu diberikan kepada anggota itu.  

Penyampaian ganti
Apabila terdapat keadaan dimana Saman tidak dapat diserahkan secara kediri kerana Defendan gagal ditemui atau tidak diketahui berada dimana dan seumpamanya, maka penyampaian Saman sebagai pilihan kedua, boleh di perintahkan oleh Mahkamah agar dibuat secara tampalan di papan kenyataan Mahkamah dan dipremis tempat tinggal Defendan yang terakhir diketahui serta mengiklankan dalam surat khabar. Penyampaian sebegini diistilahkan sebagai penyampaian ganti dan terpakai bagi penyampaian Saman tidak kira samada Defendan yang berkenaan berada dalam kawasan bidangkuasa Mahkamah atau diluar kawasan bidangkuasa.

Kes-kes Mahkamah yang berikut telah membuat Perintah penyampaian ganti dan boleh dijadikan rujukan serta panduan : Halimah v Mohamed Nasir (1982) 2 JH 292; Siti Zainab v Muhammad Ishak (1982) 2 JH 323; Rukiah v Abu Bakar (1983) 4 JH 90; Zaharah v Johari (1983) 4 JH 123; Tuminah v Arifin (1983) 4 JH 84; Siteh v Mat Desa (1984) 5 JH 408.

Seksyen 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 mempunyai peruntukan yang jelas mengenai penyampaian Saman secara gantian ini.

Seksyen 48. Penyampaian ganti

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa atas apa-apa alasan yang mencukupi saman atau dokumen lain itu tidak dapat disampaikan secara biasa, Mahkamah boleh memerintahkan supaya saman atau dokumen lain itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan Mahkamah dan juga di suatu tempat yang mudah dilihat di bangunan tempat orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan terakhir diketahui tinggal, atau mengikut apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh juga, dalam mana-mana hal yang termasuk dalam subseksyen (1), membuat perintah supaya penyampaian dibuat melalui iklan dalam mana-mana akhbar tempatan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

(3) Penyampaian ganti hendaklah mempunyai kesan yang sama seperti penyampaian ke diri.

(4) Dalam hal penyampaian ganti, Mahkamah hendaklah, jika perlu, menetapkan masa bagi pihak yang berkenaan itu hadir di Mahkamah.

(5) Tiada perintah bagi penyampaian ganti boleh dibuat berkenaan dengan –

(a) sesuatu sepina; atau
(b) apa-apa dokumen yang memulakan prosiding bagi penangkapan atau pengkomitan mana-mana orang. (tidak berkaitan dengan Saman)

(6) Apa-apa permohonan bagi perintah di bawah seksyen ini hendaklah disokong dengan afidavit yang menyatakan fakta yang menjadi asas permohonan itu.

Berikut ialah contoh Permohonan untuk mendapatkan Perintah Serahan Gantian:


DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ???      TAHUN 2013

ANTARA

AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ]                                            … PLAINTIF

DAN

CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]                                                …DEFENDAN

PERMOHONAN (EX-PARTE)
[Seksyen 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002]

Ambil perhatian bahawa AAAA BINTI BBBB Plaintif yang dinamakan diatas akan memohon kepada Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lipis pada hari           pada     haribulan                      2013 pukul         pagi/petang untuk mendapatkan suatu Perintah bahawa:-

i.             Penyampaian Saman dan Pernyataan Tuntutan dalam tindakan ini keatas Defendan dibenarkan untuk dilaksanakan dengan cara menampalkan suatu salinannya  beserta Perintah Penyampaian Ganti ini dipapan kenyataan Mahkamah ini dan juga di suatu tempat yang mudah dilihat dialamat terakhir Defendan yang diketahui iaitu di No. 4 Jalan  XYZ, 40170 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan; dan/atau

ii.           Penyampaian keatas Defendan hendaklah juga dibuat melalui iklan selama satu (1) hari didalam mana-mana akhbar tempatan berbahasa Malaysia; dan/atau

iii.          Lain-lain relif atau Perintah yang Mahkamah ini rasakan sesuai.

Alasan-alasan permohonan adalah:-

a.     kerana percubaan untuk menyampaikan Saman serta Pernyataan Tuntutan secara kediri keatas Defendan tidak dapat dilaksanakan; dan

b.     sepertimana yang dinyatakan didalam Afidavit Sokongan yang dilampirkan. 

Bertarikh pada     haribulan Oktober 2013.

                                                                                                ....................................
              Peguam Syarie Plaintif

PERMOHONAN ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.


DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ???      TAHUN 2013
                             
ANTARA

AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ]                                            … PLAINTIF

DAN

CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]                                                …DEFENDAN

AFIDAVIT

Saya RRRR [KPPN NO: ------] yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang berikrar dan menyatakan seperti berikut :-

i. Bahawa saya telah diarahkan Plaintif dengan sempurnanya untuk mengikrarkan afidavit ini bagi pehaknya selaku Peguam Syarie. Plaintif ingin memfailkan suatu tindakan untuk menuntut pembayaran mut’ah terhadap Defendan yang beralamat di No. 4 Jalan  XYZ, 40170 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Tempat tersebut adalah disatu kawasan diluar bidangkuasa Mahkamah Yang Mulia ini.

ii. Bahawa saya sesungguhnya percaya bahawa Defendan adalah satu pihak yang perlu dan patut dalam tindakan tersebut selaku pihak yang terlibat. Plaintif dengan itu tidak dapat meneruskan tindakan ini dengan wajar terhadap Defendan jika Saman dan dokumen yang diperlukan dalam tindakan ini tidak dapat diserahkan terlebih dahulu keatas Defendan.

iii. Bahawasanya  pada ... Penghantar Notis Mahkamah Syariah Shah Alam telah pergi ke alamat Defendan untuk menyerahkan Saman dan lain-lain dokumen berkaitan tetapi telah diberitahu oleh ibu Defendan ... bahawa Defendan tiada di rumah serta tidak dapat dikesan.

Saya kepilkan disini sesalinan Afidavit Tanpa Serahan oleh FFFFF BIN GGGG bertarikh ikrar pada ... dan ditanda sebagai ekshibit 'A'.

iv.  Saya bagi pehak Plaintif dengan rendah diri memohon agar permohonan penyampaian gantian ini dibenarkan.

Di ikrarkan pada    haribulan Oktober 2013         ]
di                                                                        ]               
oleh RRRR                                                          ]

Dihadapan saya


……………………………….
Hakim/Pendaftar

AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.



DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ???      TAHUN 2013
                             
ANTARA

AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ]                                            … PLAINTIF

DAN

CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]                                                …DEFENDAN


SIJIL PERAKUAN EKSHIBIT

Saya dengan ini memperakui bahawa berikut adalah ekshibit yang bertanda “A” yang dirujuk dalam Afidavit Sokongan RRRR yang diikrarkan pada        haribulan Oktober 2013.


Di hadapan saya,



..............................................
HAKIM / PENDAFTAR


AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.


Mengenai serahan gantian ini pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengeluarkan beberapa Arahan Amalan kepada Ketua Hakim Mahkamah Syariah diseluruh Malaysia untuk dilaksanakan dan dipatuhi.

1. Arahan Amalan No. 8 tahun 2000 mengarahkan bahawa mulai dari 1 Mac 2001, iklan bagi Saman Gantian selain di akhbar yang meluas penyebarannya dan mengunakan bahasa yang difahami oleh pihak yang dimaksudkan, hendaklah juga dipaparkan di papan kenyataan Mahkamah, Masjid dan lain-lain bangunan yang munasabah sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh perbicaraan.

 Arahan Amalan No. 8 Tahun 2000
Saman Gantian Secara Iklan

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil.1/2000 pada 11 Mei 2000 di Kota Bharu Kelantan dan keputusan Mesyuarat Ketua-ketua Hakim Syarie kali ke 16 pada 26 Jun 2000 bersamaan 26 Rabiulawal 1421 di Kota Kinabalu Sabah telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan bagi tujuan penyelarasan amalan saman gantian secara iklan di Mahkamah Syariah diseluruh Negara. Mulai dari 1 Mac 2001, Iklan bagi Saman Gantian selain di akhbar yang meluas penyebarannya dan mengunakan bahasa yang difahami oleh pihak yang dimaksudkan, hendaklah juga dipaparkan di papan kenyataan Mahkamah, Masjid dan lain-lain bangunan yang munasabah sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh perbicaraan.

Dengan terdapatnya peruntukan seksyen 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 Arahan Amalan No. 8 tahun 2000 ini tidak lagi mempunyai kesan perundangan dan sebaliknya batal. Seksyen 48 (1) hanya memerlukan Saman dan Perintah Penyampaian ganti itu ditampalkan di papan kenyataan Mahkamah dan juga di suatu tempat yang mudah dilihat di bangunan tempat Defendan terakhir diketahui tinggal, atau mengikut apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah. Tidak perlu di masjid atau surau atau balairaya dan sebagainya lagi. Mengenai iklan pula ia hendaklah di dalam dalam mana-mana akhbar tempatan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah [s. 48(2)]. Mengenai tempoh 7 hari sebelum hari kehadiran seksyen 45 Enakmen telahpun jelas.

2. Arahan Amalan No. 3 tahun 2003 mengarahkan bahawa mulai dari 1 November 2003 semua bentuk iklan penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut format yang diarahkan oleh Arahan Amalan ini. Berikut ialah Arahan Amalan tersebut:

 Arahan Amalan No. 3 Tahun 2003
Format Pemakaian Iklan Penyampaian Ganti Di Akhbar

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 4 Tahun 2003 pada 22-24hb Ogos 2003 bersamaan 24-26 Jamadilakhir 1424H di Shah Alam, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan pemakaian iklan Penyampaian Ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut format pemakaian iklan Penyampaian Ganti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia seperti di dalam lampiran bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman.

2. Arahan Amalan ini adalah tertakluk kepada Arahan Amalan No.8 Tahun 2000

Arahan amalan ini berkuatkuasa mulai 1 November 2003.

lampiran
format seragam iklan penyampaian ganti
di dalam akhbar-akhbar tempatan

Lebar ruangan iklan : 6 cm; Panjang ruangan ke bawah : 8 cm

Dalam Mahkamah Tinggi / Rendah Syariah ……………….
Kes Mal No. …………………….

Di Antara :

(Nama Plaintif) 

Dengan

(Nama Defendan) 

Kepada:
(Nama dan No. K.P. Defendan)

AMBIL PERHATIAN bahawa kamu diminta hadir ke Mahkamah
Tinggi  /  Rendah Syariah ………… pada ……
 jam…………. Bicara tuntutan (mut’ah) oleh Plaintif.

Hadir / tidak, keputusan dibuat.

Bertarikh ……………………..



3.  Arahan Amalan No. 7 tahun 2005 telah membatalkan Arahan Amalan No. 3 tahun 2003 diatas dan mengarahkan bahawa semua bentuk iklan penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut format baru yang diarahkan oleh Arahan Amalan ini. Berikut ialah Arahan Amalan No. 7 tahun 2005 tersebut:

Arahan Amalan No.7 Tahun 2005
Pindaan Format Pemakaian Iklan Penyampaian Ganti
Di Akhbar

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil. 1 Tahun 2005 pada 10hb.-12hb. April 2005 bersamaan 1hb.-3hb. Rabiulawal 1426H di Shah Alam, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan perubahan format pemakaian iklan Penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut fotmat pemakaian iklan penyampaian Ganti seperti di dalam lampiran bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman.

2. Format pemakaian iklan Penyampaian Ganti seperti di dalam lampiran Arahan Amalan No. 3 tahun 2003 adalah dibatalkan.

Arahan Amalan ini berkuatkuasa serta merta.

Arahan Amalan No. 7 Tahun 2005
( Lampiran )

Lebar ruangan iklan : 3 cm; Panjang ruangan ke bawah : tiada had

       
Dalam Mahkamah Tinggi/Rendah Syariah.....
Kes Mal No.....

Di Antara:
Plaintif….
Dengan:
Defendan….

Kepada (Nama) No. K.P ______________

AMBIL. PERHATIAN bahawa kamu diminta hadir ke Mahkamah Tinggi/Rendah Syariah .............. pada .............. jam .......... bicara tuntutan ..................... oleh Plaintif.

Hadir/tidak , keputusan dibuat.

Bertarikh......


4. Arahan Amalan No. 3 tahun 2011 telah mengarahkan bahawa berkuatkuasa mulai 07.12.2011 penyampaian Saman Gantian hendaklah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh Perintah Saman Gantian dikeluarkan. Berikut ialah Arahan Amalan No. 3 tahun 2011 tersebut:

Arahan Amalan No. 3 tahun 2011
Tempoh Penyampaian Saman Gantian Dalam Masa 14 Hari
Dari Tarikh Perintah Saman Gantian Dikeluarkan

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2011 pada 12 Muharram 1433H bersamaan 7hb Disember 2011 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan bagi tujuan penyelarasan tempoh proses penyempurnaan saman gantian. Tempoh penyampaian Saman Gantian hendaklah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh Perintah Saman Gantian dikeluarkan.

Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 7 Disember 2011.

5.  Arahan Amalan No. 9 tahun 2012 telah membatalkan Arahan Amalan No. 7 tahun 2005 diatas dan mengarahkan bahawa mulai 14.01.2013 semua bentuk iklan penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut format baru yang diarahkan oleh Arahan Amalan ini. Berikut ialah Arahan Amalan No. 9 tahun 2012 tersebut:

Arahan Amalan No.9 Tahun 2012
Penjelasan Format Pemakaian
Iklan Penyampaian Ganti Di Akhbar

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2012 pada 14 Muharram 1434H bersamaan 28hb November 2012 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung Penjelasan Format Pemakaian Iklan Penyampaian Ganti Di Akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut ukuran saiz dan format ayat seperti yang dinyatakan di lampiran bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman.

2. Arahan Amalan No. 7 Tahun 2005 adalah dibatalkan.

Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 14 Januari 2013.

Lampiran kepada Arahan Amalan No. 9 tahun 2012

Lebar ruangan iklan : 3 cm; Panjang ruangan ke bawah : tiada had

                
Dalam Mahkamah
Tinggi/Rendah Syariah
Kes Mal No.....

Di Antara:
Plaintif….
Dengan:
Defendan….

Kepada (Nama)
No. K.P ______________

AMBIL PERHATIAN bahawa kamu hendaklah hadir ke Mahkamah
Tinggi/Rendah Syariah .................. pada .............. jam .......... bicara tuntutan ..................... oleh Plaintif.

Hadir/tidak, keputusan
dibuat.

Bertarikh......



Bukti Penyampaian
Samada penyampaian Saman itu disempurnakan secara kediri atau secara serahan gantian dan samada dilaksanakan di dalam kawasan bidangkuasa Mahkamah mahupun di luar bidangkuasa orang yang melakukan penyampaian Saman tersebut hendaklah mengikrarkan suatu afidavit sebagai bukti pelaksanaan penyampaian Saman itu. Ini di peruntukkan oleh seksyen 49 Enakmen Tatacara Mal yang berkenaan. Selain dari seksyen ini seksyen yang berkaitan adalah di Bahagian XIV Bab 3 (seksyen 112 hingga seksyen 118) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. Untuk posting kali ini memadailah di rujuk seksyen 49 sahaja manakala perbincangan/posting mengenai afidavit penyampaian/tampalan kita tangguhkan dahulu.

Seksyen 49. Bukti penyampaian

(1) Penyampaian saman atau dokumen lain boleh, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya, dibuktikan melalui afidavit orang yang melaksanakan penyampaian itu dan, jika penyampaian itu adalah ke diri dan orang yang kepadanya saman atau dokumen lain itu hendak disampaikan tidak dikenalinya sendiri, melalui afidavit orang yang mengecamkan orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.

(2) Orang yang kepadanya saman atau dokumen itu disampaikan hendaklah menandatangani suatu pengakuterimaan penyampaian, tetapi keengganan atau ketakupayaannya menandatangani sedemikian tidaklah akan menjejaskan keesahan penyampaian itu.

Mengubah Perintah –
Setiap perintah Mahkamah mengenai penyampaian atau penyampaian ganti sepertimana kebiasaan boleh di ubah oleh Mahkamah yang mengeluarkannya demi untuk mencapai keadilan dan mengelak ketidakadilan. Keadaan ini ada diperuntukan oleh seksyen 50 Enakmen.

Seksyen 50. Mengubah perintah
Suatu perintah bagi penyampaian, atau bagi penyampaian ganti, boleh diubah oleh Mahkamah.

Pengeluaran waran tangkap-
Jika perlu dan keadaan yang dinyatakan dalam seksyen 51 Enakmen ujud Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah agar suatu waran tangkap keatas Defendan di keluarkan bagi memastikan kehadiran Defendan ke Mahkamah. Seksyen 51 itu dengan jelas memperuntukkan:

Seksyen 51. Mengeluarkan waran sebagai ganti atau tambahan kepada saman

Mahkamah boleh, dalam mana-mana hal yang Mahkamah berkuasa mengeluarkan saman bagi kehadiran mana-mana orang, setelah merekodkan alasannya, mengeluarkan waran untuk menangkapnya jika —

(a) sama ada sebelum atau selepas saman dikeluarkan tetapi sebelum masa yang ditetapkan bagi kehadirannya, Mahkamah berpendapat ada alasan untuk mempercayai bahawa dia telah melarikan diri atau tidak akan mematuhi saman itu; atau

(b) pada masa itu dia tidak hadir dan saman itu dibuktikan telah disampaikan dengan sempurna dalam masa yang mencukupi bagi memastikan kehadirannya mengikut saman itu dan tiada alasan munasabah diberikan bagi ketakhadiran itu.

************************

b. Penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang berada di luar negeri Pahang.

Di bawah Bahagian VI Bab 2 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 penyampaian ini disebut sebagai penyampaian di luar bidangkuasa. Seksyen-seksyen yang terkandung dalam bab 2 ini adalah seksyen 52 sehingga seksyen 55 enakmen. Oleh kerana seksyen-seksyen itu jelas dan tidak mempunyai kekeliruan maka diperturunkan sahaja seksyen-seksyen itu disini tanpa ulasan.

Seksyen 52. Bila dibenarkan

(1) Mahkamah boleh memerintahkan penyampaian saman atau permohonan di luar bidang kuasa jika —

(a) keseluruhan hal perkara tindakan itu berhubungan dengan harta tak alih yang terletak dalam Negeri Pahang; (tiada kaitan)

(b) apa-apa relief diminta terhadap mana-mana orang yang berdomisil atau biasanya bermastautin atau menjalankan perniagaan di Negeri Pahang;

(c) tindakan itu dibawa dengan sepatutnya terhadap seseorang yang kepadanya penyampaian dibuat dengan sempurna di Negeri Pahang, seseorang di luar negeri Pahang ialah suatu pihak yang perlu atau patut dalam tindakan itu; atau

(d) dalam apa-apa hal yang berbangkit daripada perkahwinan, kemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan itu pada masa permohonan itu ialah di Negeri Pahang.

(2) Tertakluk kepada seksyen 54, apa-apa perintah yang memberikan kebenaran untuk melaksanakan penyampaian di luar bidang kuasa hendaklah mengarahkan cara penyampaian itu hendak dilaksanakan dan bagaimana penyampaian itu boleh dibuktikan.

Seksyen 53. Bentuk perintah
Suatu perintah bagi penyampaian di luar bidang kuasa hendaklah menetapkan hari kehadiran orang yang kepadanya penyampaian hendak dibuat dan Mahkamah hendaklah mengambil kira dan boleh menghendaki keterangan tentang cara perhubungan dan pengangkutan.

Seksyen 54. Cara penyampaian di luar bidang kuasa di dalam Malaysia

(1) Apa-apa saman atau permohonan bagi penyampaian di luar bidang kuasa di dalam Malaysia bolehlah dihantar kepada mana-mana Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa di dalam kawasan tempatan di mana orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan dikatakan berada.

(2) Saman atau permohonan yang hendak disampaikan itu boleh dihantar melalui pos atau selainnya bersama dengan permintaan bertulis bagi penyampaian yang ditandatangani oleh Hakim atau Pendaftar.

Seksyen 55. Mengubah perintah
Sesuatu perintah bagi penyampaian di luar bidang kuasa boleh diubah oleh Mahkamah.

Perintah untuk membenarkan agar Saman disampaikan kepada Defendan yang berada di luar bidangkuasa boleh di buat secara ex-parte dan dimohon serentak dan semasa memfailkan Saman untuk kes tuntutan mut’ah. Perintah itu boleh di keluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Syariah yang berkenaan atau Penolong Pendaftar sebagaimana yang di maksudkan oleh Arahan Amalan No. 16 tahun 2002  yang berikut:

Arahan Amalan No. 16 Tahun 2002
Penyerahan Saman Luar Kawasan
Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil.3 Tahun 2002 pada 7 Mei 2002 di Johor Bahru bersamaan 25 Safar 1423 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan amalan berhubung tindakan penyerahan saman diluar bidangkuasa, Pendaftar dan Penolong Pendaftar bolehlah diperturunkan kuasa bagi mengeluarkan arahan berkaitan dengan perkara tersebut bagi menyegerakan prosiding kes.
Arahan amalan ini berkuatkuasa mulai 1 Jun 2002

##################

Penutup -
Seksyen 241 Enakmen elok juga di rujuk untuk memantapkan lagi pemahaman mengenai serahan atau penyampaian Saman:

Seksyen 241. Penyampaian oleh Mahkamah lain
Mana-mana proses atau dokumen yang dikehendaki disampaikan oleh seseorang pegawai Mahkamah atau sesuatu pihak boleh disampaikan oleh mana-mana Mahkamah yang lain.

#########################






Tiada ulasan:

Catat Ulasan