Isnin, 16 Disember 2013

Pliding (Siri 3)

Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Pliding (Siri 3).

-              Pembelaan-Pembelaan
-              Tuntutan Balas

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tujuan dan pentingnya pliding secara amnya telah pun di sentuh dalam posting yang sebelum ini. Tambahan kepada apa yang telah dinyatakan tersebut elok juga kes berikut di kongsikan bersama bagi melihat kenapa pliding Penyata Pembelaan perlu di sediakan dengan sempurna.

Dalam kes NORMA @ NORMEK BINTI GHAZALI v MOHD ZAIN BIN ABDULLAH 19 [2005] 2  JH 278 isteri (seorang peniaga) menuntut pembayaran mut’ah sebanyak RM50,000.00 dari bekas suaminya (Defendan/Responden) yang mempunyai pendapatan tetap sebanyak RM2,400.00 sebulan hasil dari pencennya. Pembelaan Defendan adalah bahawa si isteri adalah isteri derhaka dan Defendan tidak mampu membayar RM50,000.00 yang dituntut. Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan memerintahkan mut'ah sebanyak RM5,000.00. isteri tidak berpuashati dan merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan Syariah menolak pembelaan suami tersebut dan telah merujuk kepada kitab I’aanah al-Talibin Jil 3 hlm 356 yang menyatakan: ‘bayaran mut’ah wajib keatas suami yang telah menceraikan isterinya setelah disetubuhi di mana perceraian itu bukan berpunca dari perbuatannya (isteri) seperti isteri murtad atau di fasakhkan nikah disebabkan keaiban suami atau isteri.’ dan berkata:

‘yang dimaksud suami telah menceraikan isteri isterinya itu ialah seperti perceraian biasa samada dengan persetujuan bersama atau sebagainya dan juga apa yang dimaksudkan dengan perbuatan isteri disini ialah seperti isteri murtad atau dia pohon fasakh nikahnya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila atau mati pucuk atau suami seorang seorang yang papa dan sebagainya. Begitu juga jika difasakhkan nikah oleh suami dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat ratak (ketumbuhan daging) atau qaran (ketumbuhan tulang).’

Mahkamah Rayuan Syariah seterusnya memutuskan bahawa kadar mut'ah RM10,000.00 hendaklah dibayar oleh suami secara beransur-ansur sebanyak RM500.00 sebulan. 

Kes NORMA diatas ini mengutarakan bahawa pembelaan ‘isteri tidak layak kerana derhaka’ adalah bukan suatu kausa pembelaan terhadap tuntutan mut’ah.

Dalam kes KAMARIAH BINTI SALIM v ZULKIFLI BIN PUTEH (kes Mal Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam No. 481-2001 – tidak di lapurkan) Mahkamag telah menolak Pliding Pembelaan suami kerana tidak menjawab tuntutan isteri (kes fasakh) bahkan Pliding Pembelaan itu sebaliknya berbentuk mengelak dan mengandungi pernyataan yang terjumlah kepada penghinaan Mahkamah serta institusi kehakiman.

Mahkamah ulang bicara dalam kes ZAINUDDIN  v ANITA 4 (1983) JH 73 berkata bahawa kedua-dua pihak hendaklah diberi peluang dan masa untuk memfailkan pliding masing-masing agar Mahkamah dapat melihat pliding semua pihak serta menentukan apa isu pertikaian mereka dan tidaklah timbul isu dalam perbicaraan penuh yang tiada dalam pliding asal masing-masing pihak. Dengan lain perkataan isu semasa bicara adalah berkisar hanya mengenai fakta atau persoalan yang dibangkitkan didalam pliding asal sahaja.

Manohara diberi tempoh seminggu failkan pembelaan
05/10/2009 6:39pm

KOTA BHARU 5 Okt.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini memberikan tempoh tujuh hari lagi kepada isteri Tengku Temenggong Kelantan, Cik Puan Temenggong Manohara Odelia Pinot untuk memfailkan pembelaannya terhadap dua tuntutan saman suaminya Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra bagi mengembalikan semula hutang dan perintah kembali taat.
Hakim Mohd. Yusof Awang memberikan tempoh itu berkuatkuasa hari ini selepas Manohara gagal berbuat demikian selepas tempoh 14 hari yang diberikan sejak 2 Ogos lalu.
Sepatutnya pihak defendan tidak memberikan alasan untuk tidak memfailkan pembelaan itu yang mahkamah telah memberikan tempohnya. Pihak defendan sepatutnya mematuhi perintah yang telah dibuat.
Mahkamah putuskan peguam defendan perlu memfailkan pembelaan dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, katanya ketika membuat keputusan itu pada sebutan semula kes tersebut hari ini. - Bernama
Artikel Penuh: 


Maka jelaslah bahawa pliding Pliding Pembelaan perlu di sediakan dengan sempurna. Untuk tujuan itu keperluan seksyen-seksyen berikut perlu di rujuk sebelum Pembelaan yang berkenaan di sediakan. Seksyen-seksyen ini adalah yang diperuntukan oleh Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002.

Seksyen 64. Defendan hendaklah menyampaikan Pembelaan

(1) Defendan yang mempertikaikan tanggungannya bagi keseluruhan atau sebahagian mana-mana tuntutan dalam tindakan itu boleh -

(a) pada bila-bila masa sebelum hari kehadiran, menyampaikan kepada plaintif suatu Pembelaan; atau

(b) hadir pada hari kehadiran dan mempertikaikan tuntutan plaintif.

(2) Jika defendan hadir di Mahkamah dan mempertikaikan tuntutan plaintif, Mahkamah boleh memerintahkannya supaya menyampaikan suatu Pembelaan dalam apa-apa tempoh masa yang diarahkannya.

(3) Pembelaan hendaklah dikemukakan dalam Borang MS 16.

JADUAL KETIGA - Borang MS 16

(Subseksyen 64 (3))

PEMBELAAN

(Tajuk Am)

(Nyatakan dalam perenggan bernombor pengakuan atau penafian pengataan-pengataan matan dalam pernyataan tuntutan setiap pengataan hendaklah, setakat yang sesuai, terkandung dalam perenggan yang berasingan, misalnya)

1. Defendan mengaku bahawa ................................................ sebagaimana yang dikatakan dalam perenggan ...................... pernyataan tuntutan itu tetapi menafikan bahawa ....................................

2. Tentang perenggan ................................................................. pernyataan tuntutan itu defendan berkata bahawa ....................................................... ..................................................................

3. Selanjutnya atau sebagai pilihan defendan berkata bahawa .............. ...........................................

4. Jika (yang adalah dinafikan) plaintif .................. ................. ..................... maka defendan berkata bahawa ................................ .................. .................................................

5. Kecuali sebagaimana yang diakui dengan nyata terdahulu daripada ini defendan menafikan setiap dan tiap-tiap pengataan fakta yang terkandung dalam perenggan ................................................... (perenggan ........ ke ........) pernyataan tuntutan seolah-olah ia dinyatakan dalam Pembelaan ini dan disangkal secara khusus.

TUNTUTAN BALAS

1. Defendan mengulangi perenggan ..................... dan menuntut sebanyak RM ......... yang merupakan baki amaun yang kena dibayar sebagaimana yang disebut terdahulu setelah ditolak tuntutan plaintif.

Bertarikh pada .................... haribulan ................. 20 ........


......................................................
Defendan
(atau Peguam Syarie bagi Defendan)


Seksyen 65. Bentuk Pembelaan

(1) Tiap-tiap Pembelaan hendaklah ditandatangani oleh defendan atau Peguam Syarienya dan hendaklah —

(a) sama ada mengaku atau menafikan tiap-tiap pengataan fakta yang material dalam pernyataan tuntutan;

(b) menyatakan dengan ringkas lagi padat apa-apa fakta baru yang dijadikan sandaran oleh defendan sebagai pembelaan; dan

(c) membangkitkan dengan ringkas lagi padat dan tanpa hujah apa-apa perkara undang-undang yang perlu.

(2) Penafian di bawah perenggan (1) (a) tidak boleh berbentuk mengelak tetapi hendaklah menjawab perkara isi.

Seksyen 66. Tuntutan balas

(1) Tiap-tiap tuntutan balas hendaklah mengandungi perkara dan butir-butir yang sama seperti pernyataan tuntutan dan hendaklah ditandatangani oleh defendan atau Peguam Syarienya.

(2) Tuntutan balas tidak boleh dibuat terhadap mana-mana orang yang pada ketika itu bukan pihak dalam tindakan itu, tetapi jika suatu tindakan balas dibuat, suatu perintah penyatuan boleh dibuat oleh Mahkamah.

Seksyen 67. Pembelaan terhadap tuntutan balas

(1) Jika mana-mana defendan membuat tuntutan balas, plaintif hendaklah, jika dia berhasrat hendak membuat pembelaan terhadap tuntutan balas itu, memfailkan dan menyebabkan disampaikan kepada defendan suatu Pembelaan kepada tuntutan balas itu dalam apa-apa tempoh masa yang diarahkan oleh Mahkamah.

(2) Jika plaintif tidak mematuhi subseksyen (1), seksyen 16 hendaklah terpakai seolah-olah plaintif ialah seorang defendan.

Seksyen 16. Tuntutan atau Pembelaan lisan

(1) Walau apa pun apa-apa jua dalam Enakmen ini, Mahkamah boleh, mengikut budi bicaranya, membenarkan apa-apa tuntutan atau Pembelaan dibuat secara lisan:

Dengan syarat bahawa dalam hal sedemikian Mahkamah hendaklah merekodkan butir-butir tuntutan atau Pembelaan itu dengan mengambil kira kehendak Enakmen ini yang berhubungan dengan saman atau permohonan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Mahkamah hendaklah menyampaikan satu salinan rekod yang dibuat di bawah subseksyen (1) kepada pihak yang baginya butir-butir tuntutan atau Pembelaan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, direkodkan.

(3) Apabila dia menerima rekod yang tersebut dalam subseksyen (2), pihak yang kepadanya rekod itu disampaikan hendaklah -

(a) memperakui butir-butir yang terkandung dalamnya dengan menurunkan tandatangannya atau cap ibu jari kanannya pada rekod itu;

(b) menyediakan salinan yang mencukupi bagi rekod itu supaya satu salinan boleh disampaikan kepada setiap pihak lain dalam prosiding itu; dan

(c) menyampaikan satu salinan rekod itu kepada tiap-tiap pihak itu sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum hari kehadiran.

(4) Jika Mahkamah membenarkan suatu tuntutan atau Pembelaan dibuat mengikut subseksyen (1), maka Mahkamah hendaklah mengenakan apa-apa fi yang ditetapkan sebagai tambahan kepada apa-apa fi lain yang kena dibayar di bawah Enakmen ini.

Seksyen 68. Pembelaan tawaran

Jika suatu pembelaan tawaran sebelum tindakan dibangkitkan maka defendan hendaklah, apabila memfailkan Pembelaannya, membayar ke dalam Mahkamah amaun yang dikatakan telah ditawarkan itu.

Berikut pula ialah sinopsis ringkas beberapa kes pilihan untuk menunjukkan pembelaan-pembelaan tertentu yang telah di gunakan terhadap tuntutan mut’ah.

Dalam kes AHMAD SHAH AHMAD TABRANI v NORHAYATI YUSOFF 18 [2004] 1 JH 33 isteri menuntut mut’ah sebanyak RM250,000.00 dari bekas suaminya (Perayu/Defendan). Sebagai pembelaannya Suami mengatakan dan mendakwa bahawa beliau telah membayar mut’ah sebanyak RM4,000.00 tetapi gagal membuktikan pengataan dakwaannya itu. Isteri sebaliknya mengatakan bahawa bayaran RM4,000.00 itu adalah dibayar sebagai nafkah anak. Suami membuat rayuan kerana tidak berpuashati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang memutuskan beliau dikehendaki membayar mut’ah sebanyak RM70,000.00.
Dalam kes ini diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan bahawa jumlah Mut'ah adalah sebanyak RM50,000.00 dan dibayar secara ansuran RM1,000.00 sebulan. Oleh kerana jumlah RM4,000.00 yang dikatakan telah dibayar sebagai mu’tah tidak mempunyai cukup bukti sokongan maka isteri dihukumkan membuat sumpah menafikan ada menerima bayaran RM4,000.00 dan setelah itu Defendan/Perayu bersumpah Rad dan dipotong jumlah RM4,000.00 dari jumlah RM50,000.00 itu. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat al-Dar Qutni dan al-Baihaqi:

‘bahawa Nabi s.a.w. telah jalankan Yamin mardudah keatas Yang Mendakwa kerana Yang Kena Dakwa apabila enggan bersumpah setelah diminta berbuat demikian ternyata kebenaran yang mendakwa dan memihak kepadanya’.

Dalam kes HASNAH BINTI OMAR v OTHMAN BIN YA @ ZAKARIA - 26  [2008] 1 JH  43 isteri menuntut mut’ah sebanyak RM140,000.00 manakala suami menawarkan sejumlah RM5,000.00. Tawaran ini dipanggil sebagai pembelaan tawaran hanya sekiranya semasa memfailkan Pembelaannya, Defendan/suami membayar ke dalam Mahkamah amaun yang dikatakan telah ditawarkan itu. Ini nampaknya tidak dilakukan oleh suami. Dalam kes ini isteri tidak bersetuju dengan jumlah tawaran suami itu. Maka kes dibicarakan dan Mahakamah Tinggi Syariah Kelantan meluluskan jumlah mut’ah sebanyak RM10,000.00. isteri tidak berpuashati dan merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan yang kemudiannya memerintahkan bahawa jumlah mut’ah adalah sebanyak RM15,000.00 yang perlu dibayar dalam tempoh 3 bulan dan jika gagal maka suami dihukumkan dibawah seksyen 133(1) Undang-Undang keluarga Islam (Kelantan) 2002 untuk dipenjarakan selama 3 bulan.

Dalam kes NORANI BINTI ABD RAHMAN v MD TAIB BIN HANAPI  17 [2004] 1 JH 27 isteri menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM30,000.00. Sebagai pembelaannya suami mengatakan bahawa telah menyediakan sebuah kereta kancil kepada Plaintif dan kos pembelian kereta itu yang telah dibayar oleh suami adalah melebihi RM30,000.00. Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bahawa kereta berkenaan adalah merupakan hibah dari suami/Defendan kepada isteri/Plaintif dan bukannya pembayaran mut’ah. setelah meneliti keterangan yang ada Mahkamah membenarkan tuntutan mut’ah setakat sebanyak RM3,500.00.

Kes NORANI BINTI ABD RAHMAN ini telah di ulas oleh Dr Najibah Mohd Zin dalam Jurnal Hukum yang sama 17 [2004] 1 JH 123 di ms 125:

‘... Walaubagaimanapun, isu ini lebih merupakan kepada pemilikan aset harta dalam perkahwinan atau apa yang disifatkan sebagai harta perkahwinan yang boleh di bahagi mengikut kadar sumbangan. Oleh kerana tidak ada tuntutan mengenai harta perkahwinan, kemungkinan mahkamah memutuskan ianya hanyalah pemberian suami kepada isteri.’

Namun saya berpandangan bahawa kes ini seharusnya diteruskan dengan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah kerana isu mengenai pemberian samada sebagai pemberian hibah atau sebagai saguhati mut’ah adalah hanya timbul atau di ambil kira menurut masa ketika ‘pemberian’ itu mula berlaku atau berkuatkuasa. Jika pemberian itu berlaku sebelum perceraian maka semestinya ia bukan pemberian mut’ah kerana isu bayaran mut’ah adalah hanya terjadi selepas kejadian perceraian nikah berlaku. Jika pemberian itu terjadi selepas perceraian maka ketika itu barulah timbul isu persoalan samada pemberian itu adalah merupakan bayaran mut’ah atau hibah atau nafkah dan sebagainya.

Jenis-Jenis Pliding Pembelaan

Dari perbincangan diatas dapat di rumuskan bahawa pliding Pembelaan mempunyai beberapa jenis seperti berikut:

1. Pembelaan kepada Pernyataan Tuntutan Plaintif (oleh Defendan);
2. Pembelaan kepada Pernyataan Tuntutan Plaintif beserta dengan Tuntutan Balas Defendan (oleh Defendan);
3. Pembelaan Kepada Tuntutan Balas Defendan (oleh Plaintif);
4. Pembelaan Lisan kepada Pernyataan Tuntutan Plaintif (oleh Defendan);
5. Pembelaan Lisan Kepada Tuntutan Balas Defendan (oleh Plaintif);
6. Pembelaan Dalam Bentuk Tawaran kepada Pernyataan Tuntutan Plaintif (oleh Defendan).

Bentuk Pembelaan

Seksyen 65 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 telah memperuntukkan bahawa setiap pliding Pembelaan hendaklah:

i.   ditandatangani oleh defendan atau Peguam Syarienya;

ii. sama ada mengaku atau menafikan tiap-tiap pengataan fakta yang material dalam pliding tuntutan pihak lawannya. Penafian itu tidak boleh berbentuk mengelak tetapi hendaklah menjawab perkara isi;

iii. menyatakan dengan ringkas lagi padat apa-apa fakta baru yang dijadikan sandaran oleh defendan sebagai pembelaan; dan

iv. membangkitkan dengan ringkas lagi padat dan tanpa hujah apa-apa perkara undang-undang yang perlu.

Berdasarkan peruntukan ini maka isu pembelaan kepada tuntutan mut’ah atau tuntutan balas mut’ah adalah antaranya mengenai dan terhadap isu-isu berikut:

a. unsur-unsur atau rukun mut’ah;
b. kelayakan membuat tuntutan mut’ah;
c. hilang kelayakan atau gugurnya hak menuntut mut’ah;
d. tempoh masa membuat tuntutan;
e. set-off / pengenepian; dan
f. kadar jumlah bayaran mut’ah.

Kesemua isu pembelaan tersebut telah di sentuh secara langsung dan tidak langsung dalam posting-posting blog ini.

Dalam keadaan berikut isteri tidak berhak mendapat muta'ah:

1. Jika isteri bersetuju dalam perjanjian yang dibuat selepas perceraian bahawa dia tidak akan menuntut mut'ah daripada suaminya.

2. Jika isteri telah membuat perceraian secara tebus talaq atau menukarkan hak muta'ahnya sebagai 'iwad atau bayaran bagi tebus talaq.

3. Jika pembubaran perkahwinan disebabkan oleh pernikahan fasid atau batil yang tidak sah.

4. Jika isteri diceraikan sebelum disetubuhi tetapi telah dibayar kepadanya maskahwin (1/2 mahar muthamma)

5. Jika perceraian berpunca daripada isteri kerana isteri murtad, enggan memeluk Islam, isteri bertukar menjadi mahram suami akibat susuan atau wati' syubhah.

6. Jika perceraian disebabkan oleh kematian suami atau anggapan kematian (mafqud).

7. Isteri yang di ceraikan secara fasakh atas keaiban pada dirinya atau suaminya.

8. Jika perceraian berpunca daripada isteri melakukan zina atau khalwat.

Pliding Pembelaan kepada tuntutan Plaintif

Jika Defendan setelah diserahkan dengan suatu pernyataan tuntutan dan beliau ingin membela prosiding itu, suatu pliding Pembelaan (borang MS 16) hendaklah difailkan dan disampaikan kepada pihak yang menuntut (Plaintif). Pliding ini hendaklah difailkan dalam tempoh tertentu menurut seksyen 65 enakmen. Jika Defendan gagal memfailkan pliding Pembelaannya dalam masa tempoh yang di tetapkan dalam Enakmen Tatacara Mal tersebut maka tempoh lanjutan masa boleh di mohon kepada Mahkamah secara lisan atau bersurat. Namun Mahkamah mempunyai budibicara samada mahu meneruskan perbicaraan tanpa pliding Pembelaan di failkan ataupun memberi kebenarannya bergantung kepada keadilan kesemua pihak yang terlibat.

Perenggan bernombor dalam pliding Pembelaan itu hendaklah selaras dengan perenggan bernombor dalam pernyataan tuntutan apabila menyangkal dakwaan tersebut.

Pliding Pembelaan hendaklah memasukkan butir-butir pembelaan yang positif dan termasuk maklumat yang cukup untuk memaklumkan kepada hakim dan pihak-pihak lain berkenaan sifat dan butiran pembelaan. Oleh itu langkah-langkah tertentu perlu di ambil sebelum pliding Pembelaan di sediakan dan di failkan serta di serahkan. Berikut ialah proses yang biasa di ambil oleh pihak Peguam Syarie. Maka pihak yang ingin mendapatkan khidmat Peguam Syarie untuk menyediakan Pliding Pembelaan dan mewakili beliau di Mahkamah perlulah memberi perhatian akan proses penyediaan Pembelaan. Ketelitian dan langkah tersebut amat penting di laksanakan agar pembelaan oleh pihak Defendan (Orang Yang Kena Dakwa) dapat di utarakan sepenuhnya semasa perbicaraan. Sekiranya keterangan atau fakta versi pembelaan tidak di kemukakan semasa di peringkat keterangan kes pihak Plaintif tetapi sebaliknya hanya di timbulkan oleh Defendan semasa kes Defendan maka keterangan sedemikian tidak boleh di kemukakan samasekali atas alasan ianya merupakan suatu kejutan di sisi istilah. Maka rugilah pembelaan. Ia tidak akan di dengar lagi kerana Plaintif tiada peluang ketika itu untuk mematahkan keterangan sedemikian. Plaintif tidak perlu atau di benarkan untuk di panggil semula memberi keterangan kerana jika di panggil maka saksi perlu di panggil untuk menyokong keterangan Plaintif di peringkat itu. Jika ia di benarkan maka kes akan menjadi tiada kesudahan. Begitu juga kesannya terhadap keterangan dalam bentuk dokumentari yang ingin dikemukakan oleh Defendan buat pertama kali semasa kes dalam peringkat pembelaan sedang berlangsung, keterangan sedemikian juga tidak dapat di kemukakan lagi. Maka seluruh keterangan fakta berbentuk lisan dan dokumentari perlu di berikan sepenuhnya kepada pengetahuan Peguam Defendan untuk di gambarkan di dalam pliding Pembelaan. Justeru itu proses dan langkah-langkah dalam penyediaan pliding Pembelaan perlu di ambil perhatian dan di laksanakan setepat yang mungkin.

Proses Untuk Menyediakan Pliding Pembelaan (terhadap tuntutan mut’ah)

Secara ringkas berikut ialah langkah-langkah yang biasa di ambil oleh Peguam Syarie apabila hendak menyediakan pliding Pembelaan anakguamnya (istilah ‘anakguam’ ini juga di rujuk sebagai ‘klien’ iaitu pelanggan kepada Peguam Syarie):

Langkah 1 :  Mengumpul apa yang di perlukan untuk prosiding tuntutan itu;
Langkah 2: Mencatat dalam diari akan tarikh untuk penyerahan dan pemfailan pliding Pembelaan;
Langkah 3 :  Mengadakan temubual dengan klien;
Langkah 4 :  Menganalisakan kes;
Langkah 5 :  Menyediakan draf pliding Pembelaan;
Langkah 6 : Menyemak semula dan memuktamadkan draf pliding Pembelaan;
Langkah 7: Menyerahkan pliding Pembelaan kepada pihak lawan  dan memfailkan pliding itu di Mahkamah;

Di samping itu pihak pembelaan perlu juga sentiasa mengkaji serta merujuk kepada nas, sumber rujukan perpustakaan, statut/enakmen, kaedah peraturan dan lain-lain yang berkaitan.

Langkah 1. Mengumpul apa yang di perlukan

Peguam akan mengumpulkan dokumen dan maklumat seperti berikut dari kliennya dan dari sumbernya:

i.   salinan Saman dan pernyataan tuntutan beserta lampirannya (jika ada);
ii.  Nota hasil dari temubual dengan kliennya;
iii. Salinan apa-apa dokumen dalam milikan dan kawalan klien, termasuk dokumen perjanjian klien dengan pihak lawan, surat-menyurat, pengecualian, resit bayaran, perintah mahkamah, dan lain-lain yang berkaitan.

Peguam juga akan mengumpulkan dan membuat rujukan kepada perkara yang berkaitan yang terdapat dalam:

-   Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2005;
-   Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002;
-   Enakmen Keterangan 2005;
-   Arahan Amalan dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia;
-  Borang-borang yang terdapat dalam Enakmen Tatacara Mal  Mahkamah Syariah seperti berikut:

o Borang MS 1, Tajuk am Borang-borang;
o Borang MS 2, Saman dan Pernyataan Tuntutan;
o Borang MS 26, Afidavit Penyampaian;
o Borang MS 27, Pengenalpastian Ekshibit;
o Borang MS 16, pliding Pembelaan;
o Borang MS 5, Wakalah Peguam Syarie;
o Borang MS 16, Tuntutan Balas (Terhadap Pihak Plaintif);

-    Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991; dan
-   Duluan-duluan yang jelas, jika ada, dan sumber-sumber perpustakaan sebagai bahan-bahan contoh dan rujukan nas.

Langkah 2: mencatat dalam diari akan tarikh untuk penyerahan dan pemfailan pliding Pembelaan

Peguam terlebih dahulu perlu menjalankan pencarian konflik menggunakan nama  semua pihak untuk mengelak terdapatnya konflik kepentingan di antara Peguam dengan mana-mana pihak di mana sekiranya terdapat konflik kepentingan beliau hendaklah tidak mewakili sesiapa dalam prosiding itu, contohnya apabila beliau merupakan saksi penting dalam kes prosiding itu.

Jika defendan itu diserahkan Saman maka beliau bolehlah menyampaikan pliding Pembelaannya kepada Plaintif sebelum hari kehadiran. Maka tarikh hari kehadiran hendaklah di catatkan dalam diari. Tarikh hari kehadiran adalah merujuk kepada tarikh Defendan perlu hadir ke Mahkamah setelah penyerahan Saman dan Pernyataan Tuntutan yang merupakan tarikh yang di nyatakan di atas Saman tersebut. (Lihat seksyen 64 (1)(a) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah). Seksyen 3 Enakmen menakrifkan ‘hari kehadiran’ sebagai:

‘hari  yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan untuk pendengaran apa-apa prosiding itu.’

Jika Defendan diberi tempoh lanjut oleh Mahkamah di bawah seksyen 64 (2) Enakmen Tatacara Mal untuk menyerahkan dan memfailkan Pembelaannya maka tarikh lanjutan tersebut hendaklah di catatkan dalam diari.

Langkah 3: Temubual klien

Di peringkat ini temubual dibuat untuk tujuan-tujuan berikut:

•  dapat berbincang dengan klien mengenai kesemua dakwaan yang terkandung di dalam Pernyataan Tuntutan. Tujuannya adalah untuk mendapatkan versi klien mengenai peristiwa-peristiwa, termasuk tarikh yang  berkaitan, lokasi, pihak-pihak  dan lain-lain dokumen. Nota terperinci akan di ambil sebagai hasil temubual;

•  dapat membuat semakan dan membuat salinan mana-mana dokumen yang berkaitan (dokumen-dokumen berbentuk bertulis dan elektronik) dalam milikan dan kawalan klien, termasuk perjanjian, surat-menyurat, e-mel, pengguguran hak, resit, perintah Mahkamah dan lain-lain dokumen;

•  dapat menasihati klien mengenai kewajipan klien untuk memastikan bahawa semua dokumen yang berkaitan sentiasa berada dalam kuasa, pemilikan atau kawalan klien, termasuk dokumen-dokumen berbentuk elektronik;

• sejurus selepas temuduga tersebut, Peguam dapat menyediakan memorandum untuk memfailkan ringkasan maklumat yang diperolehi daripada klien menyatakan, antara lain, langkah-langkah seterusnya yang akan diambil ke atas fail;

•   dapat menyediakan dokumen wakalah Peguam Syarie dan merumuskan perbincangan semasa temubual-klien serta mengenalpasti langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil. Juga dapat menyatakan kepada klien butiran mengenai tugas-tugas yang perlu diambil oleh klien, dan termasuk tarikh tempohmasa perlu laksana;

•   dapat dicatatkan mengenai tarikh yang ditetapkan untuk dilaksanakan langkah-langkah tindakan lanjut.

Langkah 4: Menganalisa dan mengkaji kes

Di peringkat ini Peguam akan mengambil tindakan berikut:

•  mengujudkan teori hipotesis kes ini berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada klien. Hasilnya adalah Peguam dapat mengenalpasti pembelaan yang mungkin ada terhadap dakwaan yang terkandung di dalam pernyataan tuntutan;

•  mengkaji pernyataan tuntutan dan pertimbangkan samada diperlukan permintaan untuk butir-butir lanjut. Jika ya, perlu sediakan dan sampaikan suatu surat permintaan bagi butir-butir lanjut. Jika plaintif gagal untuk memberi butir-butir itu dalam masa tujuh hari dari tarikh permintaan untuk butir-butir, Defendan melalui Peguamnya boleh memohon kepada Mahkamah untuk memerintahkan Plaintif membekalkan butir-butir lanjut tersebut (seksyen 71 Enakmen Tatacara Mal). [Perkara ini akan di nyatakan di dalam siri yang akan datang];

•  sekiranya pernyataan tuntutan merujuk kepada dokumen-dokumen tertentu, Peguam akan pertimbangkan samada dokumen-dokumen ini perlu diperolehi menurut permintaan untuk memeriksa dokumen (seksyen 85 dan 86 Enakmen Tatacara Mal);

• menjalankan penyelidikan undang-undang yang perlu untuk menganalisa pembelaan yang mungkin ada dan kausa tindakan yang mungkin boleh digunakan sebagai tuntutan balas, tuntutan-bersilang dan / atau tuntutan pihak ketiga. Sediakan nota memo penyelidikan undang-undang agar penyelidikan undang-undang telah siap-sedia serta dapat dikemaskini  dan untuk kegunaan dalam prosiding itu kelak;

•   menyediakan kronologi peristiwa dalam bentuk nota ringkas, termasuk rujukan kepada dokumen utama;

•  menyediakan ringkasan isi dokumen utama yang boleh dikemaskini semasa kes berkembang.

Langkah 5: Menyediakan draf pliding Pembelaan

Apabila mendarafkan pliding Pembelaan bertulis Peguam akan:

•  merujuk kepada contoh yang kukuh dan sumber perpustakaan untuk bahan duluan yang akan membantu dalam proses penggubalan / mendraf pliding Pembelaan;

•  menyediakan tajuk umum (Borang MS 1) termasuk nama Mahkamah yang berkenaan dan tajuk prosiding itu, nama penuh pihak-pihak dan sifat apa mereka telah dinamakan sebagai pihak;

• menggunakan format Borang MS 16 sebagai asas untuk pliding Pembelaan, tuntutan-bersilang atau tuntutan balas yang digabungkan dengan pliding Pembelaan, dengan pindaan yang perlu kepada kandungannya;

•  menyatakan perkara yang berikut dalam  perenggan bernombor yang berturutan:

o  setiap dakwaan yang terkandung dalam perenggan pernyataan tuntutan yang diakui Defendan;
o  setiap dakwaan yang terkandung dalam perenggan pernyataan tuntutan yang Defendan nafikan; dan
o  setiap dakwaan yang terkandung dalam perenggan pernyataan tuntutan yang mana Defendan tidak mempunyai pengetahuan;

•   dalam baki perenggan bernombor berturutan itu, menyatakan (dengan jelas dengan menggunakan bahasa yang jelas) mengenai apa-apa fakta material yang disandarkan sebagai asas untuk pembelaan, tetapi bukannya bukti/keterangan  yang dengannya fakta-fakta itu hendak dibuktikan (lihat seksyen 65 Enakmen Tatacara Mal);

• sekiranya suatu tuntutan-bersilang atau tuntutan balas yang digabungkan dengan pliding Pembelaan, taipkan tajuk yang berasingan untuk tuntutan-bersilang atau tuntutan balas selepas bahagian pliding Pembelaan itu. Selepas tajuk itu barulah dinyatakan dakwaan utama tuntutan-bersilang atau tuntutan balas tersebut dalam bentuk perenggan bernombor yang berturutan;

•  mempertimbangkan menggunakan tajuk dan sub-tajuk, terutamanya terhadap dokumen yang panjang kandungannya yang di rujuk dalam pliding itu. Satu jadual atau senarai mengenai dokumen-dokumen yang di rujuk dalam pembelaan mungkin sesuai apabila sesuatu pernyataan mengenai kandungan dokumen itu sangat panjang dan kompleks. Istilah yang ditakrifkan akan digunakan di mana perlu;

•   jika bantahan ingin dibuat kepada prosiding itu sebagai bantahan awal, Peguam bolehlah memasukkan pengataan yang bermaksud sedemikian dalam pliding Pembelaan sekiranya mahu. Namun kebiasaannya Peguam tidak memfailkan mahupun menyerahkan pliding Pembelaan dalam situasi dimana Defendan ingin membangkitkan bantahan awal kepada prosiding yang difailkan Plaintif, sebaliknya akan terus memfailkan dan menyerahkan Notis Bantahan Awal secepat mungkin;

• memasukkan tarikh, nama serta alamat firma peguam yang mengendalikan fail (lihat seksyen 40).

Langkah 6: Mengkaji semula dan memuktamadkan draf pliding Pembelaan

Setelah kesemua langkah di atas diambil maka langkah seterusnya adalah Peguam Syarie kepada Defendan itu akan:

•   berikan kliennya mengkaji semula pliding Pembelaan untuk melihat dan memastikan pliding itu tidak mempunyai kesilapan, ketinggalan dan ketidaktepatan serta memastikan semua fakta penting yang telah dimasukkan ke dalam pliding Pembelaan. Sekiranya ada maka pembetulan akan di buat serta merta sehingga pliding itu tiada cacat celanya;

•  Peguam kemudiannya akan membuat apa-apa semakan perlu dan dapatkan bantuan (sekiranya ada) seseorang untuk menyemak ketepatan bahasa dan nahu pliding Pembelaan. Setelah siap semakan sedemikian barulah pliding Pembelaan di muktamadkan dan di jadikan dalam bentuk beberapa salinan sebanyak yang di perlukan beserta surat litupnya untuk tujuan penyerahan dan pemfailan.

Langkah 7: Penyampaian pliding Pembelaan

Langkah terakhir ialah penyampaian dan pemfailan pliding Pembelaan beserta bukti penyampaian (lihat kehendak seksyen 49, 43 dan 64 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002). Maka Defendan atau Peguam Syarienya hendaklah:

•  ingat bahawa istilah "menyampaikan" dokumen adalah bermaksud penyerahan dan pemfailan dokumen dengan bukti penyampaian;

•   memastikan bahawa satu salinan pliding Pembelaan diserahkan kepada Plaintif atau Peguam Syarienya;

•  memastikan bahawa terdapat bukti penyampaian pliding Pembelaan untuk difailkan dalam bentuk suatu afidavit penyampaian;

•   memfailkan satu salinan pliding Pembelaan dengan bukti penyampaian di Mahkamah di mana prosiding itu dimulakan;

·  menyimpan satu salinan pliding Pembelaan dan bukti penyampaian dalam fail dan sediakan salinan yang sama untuk fail dan maklumat klien beliau;

•   Tambah satu lagi salinan pliding Pembelaan untuk brief pliding.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan