Selasa, 14 Januari 2014

WAKALAH PEGUAM SYARIE – Siri 1

WAKALAH PEGUAM SYARIE – Siri 1

Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pahang 2002 ada memperuntukkan mengenai topik persoalan untuk menggunakan khidmat Peguam Syarie bagi mewakili pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah di negeri Pahang. Pihak-pihak di benarkan untuk melantik atau menukarkan Peguam Syarie masing-masing di bawah Bahagian 5 Enakmen tersebut. Seksyen 3 (1) -nya ada memberi maksud Peguam Syarie sebagaimana berikut:

Seksyen 3. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“Peguam Syarie” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

‘Enakmen Pentadbiran’ yang di maksudkan dalam tafsiran tersebut menurut seksyen yang sama adalah ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991 (Pahang):

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 [Enakmen No. 3 tahun 1991];

Perkataan dan phrasa tertentu seperti ‘Mahkamah Syariah’; ‘Pegawai Undang-Undang Kerajaan Persekutuan’; dan ‘Peguam Syarie’ ada di tafsirkan oleh seksyen 2 ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991 [Enakmen No. 3 Tahun 1991] tersebut sebagaimana berikut:

Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan konteksnya menghendaki makna yang lain -

...
"Mahkamah Syariah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 42;
...
"pegawai undang-undang Kerajaan Persekutuan" ertinya seseorang Peguam Kanan Persekutuan, Peguam Persekutuan dan termasuklah seseorang Pembantu Undang-Undang;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang dilantik di bawah seksyen 66;

Di bawah Enakmen Pentadbiran tersebut "Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang"  adalah pihak berwajib yang melantik mana-mana orang yang berkelayakan sebagai Peguam Syarie. Menurut seksyen 2 diatas "Peguam Syarie" ertinya seseorang yang dilantik di bawah seksyen 66 (Enakmen Pentadbiran). Peruntukan seksyen 66 itu adalah seperti berikut:

Seksyen 66. Peguam Syarie.

(1) Majlis boleh melantik mana-mana pegawai undang-undang Kerajaan Persekutuan beragama Islam dan mana-mana peguambela dan peguamcara beragama Islam yang memiliki sijil sah yang dikeluarkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166], atau mana-mana orang yang berkelayakan menjadi Peguam Syarie untuk hadir dan mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah Syariah.

(2) Kelayakan bagi perlantikan sebagai Peguam Syarie hendaklah ditetapkan oleh peraturan yang dibuat oleh Majlis.

(3) Peraturan tersebut boleh memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang yang dilantik menjadi Peguam Syarie hendaklah memiliki Sijil yang dikeluarkan oleh Majlis dan ditandatangani oleh Yang Dipertua setelah dibayar fee yang ditetapkan. Sijil tersebut hendaklah dipanggil Sijil Peguam Syarie.

(4) Majlis boleh pada bila-bila masa membatalkan Sijil Peguam Syarie yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3).

(5) Majlis boleh mengecualikan mana-mana pegawai undang-undang Kerajaan Persekutuan daripada memiliki Sijil Peguam Syarie untuk hadir dan mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah Syariah.

Bagi setiap orang/pihak yang ingin menggunakan khidmat Peguam Syarie untuk mewakili beliau di dalam apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah hendaklah terlebih dahulu mematuhi prosedur/tatacara Mahkamah Syariah yang tertentu. Salah satunya ialah berkenaan penyempurnaan wakalah peguam syarie. Sehubungan dengan itu mari kita lihat apa yang terjadi dalam kes BADARIAH HARON v IDRIS MAHMUD 20 [2005] 1 JH  57 serta alasan penghakiman kes tersebut.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Dalam kes BADARIAH HARON v IDRIS MAHMUD  ini Plaintif membuat tuntutan mut’ah dan harta sepencarian terhadap bekas suaminya. Terhadap prosiding ini pihak Defendan (suami) memfailkan suatu Notis Bantahan Awal untuk membatalkan tindakan tuntutan Plaintif tanpa perlu memfailkan Pliding Pembelaan mahupun di jalankan perbicaraan untuk prosiding induk yang berkenaan. Isu utama dalam bantahan awal itu adalah berkaitan Wakalah samada ia di sempurnakan dengan teratur mengikut prosedur dan syarak. Defendan mengatakan bahawa wakalah di antara Plaintif dan Peguam Syarienya tidak berlaku di hadapan Pendaftar atau Hakim sepertimana peruntukan seksyen 34(1) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 berikut:

Pelantikan seseorang Peguam Syarie hendaklah dilafazkan oleh orang yang melantiknya, dan diterima oleh Peguam Syarie yang dilantik sedemikian, di hadapan Mahkamah atau Pendaftar.
YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dalam Penghakimannya berkata di ms 63 – 66:

Defendan juga mendakwa tandatangan Peguam Syarie Plaintif di dalam pliding mut’ah dan harta sepencarian adalah tidak sah kerana Plaintif tidak melafazkan wakalah kepada Peguam Syarienya sebagaimana aturan di bawah sek. 34(1) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003 sebenarnya telah tidak berlaku. Dengan kata lain Plaintif hendaklah menyempurnakan wakalah terlebih dahulu kepada Peguam Syarienya, barulah Peguam Syarie Plaintif boleh menandatangani pliding plaintif dalam tuntutan mut’ah dan harta sepencarian sebagaimana di peruntukan di dalam sek. 63(1) berbunyi:

‘Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh Plaintif atau Peguam Syarienya ...’

Mahkamah bersetuju dengan hujahan balas Defendan bahawa keadaan ini jika benar-benar berlaku bukan lagi satu kesilapan atau khilaf dari segi fakta yang akan membawa kesan kepada keseluruhan prosiding kedua-dua tuntutan Plaintif. Kesilapan Plaintif tersebut adalah dari segi pliding iaitu wakalah perlantikan Peguam Syarienya yang boleh membawa kepada tindakan Peguam Syarienya adalah tidak sah sejak mula.

Kesilapan wakalah tidak boleh diperbetulkan atau dipinda tetapi hanya boleh dibatal, dilepaskan atau ditarik balik atau di buat pertukaran Peguam Syarie baru seperti di peruntukan didalam sek. 36, 37 dan 39 Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003.

Soalnya adakah benar seperti dakwaan Defendan bahawa wakalah di antara Plaintif dan Peguam Syarienya tidak berlaku dan sekiranya berlaku adakah tandatangan Plaintif dan Peguam Syarienya adalah menjadi satu syarat perlantikan Peguam atau wakil?

Sebelum menjawab kedua-dua isu di atas suka Mahkamah merujuk kepada penghujahan Plaintif dan nas syarie – bagaimana perlantikan peguam atau wakil dan berkuatkuasa. Plaintif dalam hujahan balasnya menyatakan Defendan telah melampau dan mempunyai niat jahat apabila mempertikaikan satu dokumen rasmi Mahkamah yang telah disempurnakan mengikut aturan dan kehendak sek. 34(1) dan (2) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 .

Dokumen tersebut telah dimetraikan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timor di Keramat Selangor pada 20.12.2004 sebagaimana ditunjukkan secara kolektif dalam lampiran 1 Plaintif.

Mengikut Arahan Amalan N0. 6 Tahun 2002, lafaz wakalah, ikrar dan Affidavit bolehlah dibacakan di hadapan Hakim, Pendaftar, Pegawai Sulh, Penolong Pendaftar atau mana-mana orang yang diturunkan kuasa berhubung dengannya.

Isu samada tandatangan Plaintif di dalam Borang MS 5 Wakalah Peguam Syarie sebagai palsu adalah dinafikan Plaintif. Sebaliknya Mahkamah dapati tiada kenyataan yang boleh di pertikaikan bahawa Peguam Syarie Plaintif telah menarik balik perwakilannya di mana-mana peringkat prosiding.

Di sini Mahkamah merujuk kepada nas-nas syarie yang dengan jelas ada di nyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj Jld 3 hlm 317 dengan maksud:

‘wakalah berlaku apabila sesorang itu mewakilkan urusannya kepada seseorang yang lain atau apabila seseorang mengambil tempat orang lain.’

Merujuk firman Allah SWT di dalam Surah al-Kahfi ayat 19 berbunyi:

          .............

Bermaksud: ‘Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke Kota dengan membawa wang perakmu itu dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik. Maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu sedikit habuan daripadanya.’

Pengertian nas-nas di atas ialah bahawa penyerahan sesuatu urusan kepada orang lain sebagai wakilnya tanpa bantahan atau penolakan maka berlakulah wakalah perlantikan.

Rukun wakalah adalah:

1.   Pihak atau orang yang mewakilkan (al muwakkil);
2.   Pihak atau orang yang menerima wakil (al wakil);
3.   Perkara atau benda yang diwakilkan (al muwakal fih);
4.   Sighah atau lafaz.

Menurut pendapat Imam Syafie. Orang yang memberi wakil hendaklah melafazkan ijab wakalahnya. Pihak yang menerima wakil tidak disyaratkan untuk menjawab atau menerimanya, memadai ia tidak membuat bantahan.

Isu samada Plaintif menandatangani atau tidak Borang MS 5 tersebut tidak relevan lagi kerana tandatangan hanya sebagai petunjuk bahawasanya Plaintif telah berlafaz sighah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timor di Keramat Selangor pada 20.12.2004 dan disahkan. Masalah tandatangan Plaintif tidak sama tidaklah membawa kepada terbatasnya orosiding asalkan Peguam Syarie Plaintif atau wakilnya tidak menolak perwakilan Plaintif tersebut.

Keputusan

SETELAH MAHKAMAH meneliti bantahan awal Defendan adalah berkaitan wakalah Plaintif dalam tuntutan-tuntutan yang Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskannya DAN Hujah Jawapan bertarikh 8.2.3005 dengan sokongan Lampiran-Lampiran yang di tunjukkan, Hujah Balas Defendan bertarikh 21.3.2005 juga disokong Lampiran-Lampiran yang di tunjukkan, semuanya adalah teratur. MAKA MAHKAMAH BERPUASHATI DAN MEMERINTAHKAN SEPERTI BERIKUT:

    1.   Bantahan awal Defendan ditolak dengan kos;
    2.   Defendan hendaklah memfailkan pembelaan dan/atau Tuntutan Balas jika      ada dalam masa 14 hari dalam kes Mal Bil 10200-016-0389-2005.


Dalam Penghakiman diatas Mahkamah ada menyentuh mengenai persoalan-persoalan seperti berikut: kenapa perlunya wakalah dibuat dengan sempurna; kesan kesilapan wakalah; nas mengenai wakalah; rukun wakalah; masalah berbeza tandatangan; dan juga jika berlakunya wakalah yang silap maka apa recourse yang perlu di ambil untuk meremedikannya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Setelah melihat dan meneliti kes diatas maka di perturunkan di bawah ini peruntukan-peruntukan seksyen-seksyen 34 hingga 39 yang terdapat di dalam Bahagian V kepada Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pahang 2002. Bahagian ini adalah mengenai perlantikan; penukaran; perlepasan; penarikan diri dari mewakili; serta penamatan khidmat Peguam Syarie dalam mengendalikan dan mewakili anakguam/klien/pelanggannya di Mahkamah Syariah. Walaupun sedemikian peruntukannya namun kesemua peruntukan ini masih tertakluk kepada Hukum Syarak terutama dalam Bab Hukum Perwakilan yakni mengenai bab wakalah bi al-khusumah.  Ini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 245 Enakmen yang berikut:

Seksyen 245. Hukum Syarak

(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Enakmen ini yang tak konsisten dengan Hukum Syarak adalah terbatal setakat yang ia tak konssiten itu.

(2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.

Peruntukkan-peruntukan seksyen 34 hingga 39 ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH PAHANG 2002

-       
-      BAHAGIAN V - PEGUAM SYARIE

Seksyen 34. Wakalah

(1)   Pelantikan seorang Peguam Syarie hendaklah dilafazkan oleh orang yang melantiknya, dan diterima oleh Peguam Syarie yang dilantik sedemikian, di hadapan Mahkamah atau Pendaftar.
(2)   Jika seorang Peguam Syarie telah menerima perlantikannya di bawah subseksyen (1), dia hendaklah, sebelum mengambil apa-apa langkah dalam prosiding itu, memfailkan suatu wakalah dalam Borang MS 5.


ENAKMEN 9 TAHUN 2002

JADUAL KETIGA - Borang MS 5

(Subseksyen 34 (2))
WAKALAH PEGUAM SYARIE

(Tajuk Am)

Saya ....................................................................... Plaintif (atau defendan) yang dinamakan di atas K.P.P.N. No. ................................ yang beralamat di ..................................................... dengan ini melantik .............. ......................... daripada Tetuan ................................... untuk mewakili saya dan bertindak bagi pihak saya dalam kes ini dan untuk hadir dalam prosiding yang berhubungan dengannya.

Bertarikh pada ................ haribulan ........... 20 ......

.................................
Plaintif/atau Defendan

Saya ............................................................ dengan ini menerima pelantikan yang disebut terdahulu.

Bertarikh pada .............. haribulan ............. 20 .......

........................
Peguam Syarie
Di hadapan saya,

.........................
Hakim/Pendaftar

Wakalah ini difailkan oleh Tetuan ............................... bagi pihak plaintif (atau defendan) yang beralamat di ................. .......... ............ ................... ......................... ....................... .................

Seksyen 35. Penyampaian kepada Peguam Syarie

Jika seorang Peguam Syarie mewakili lebih daripada satu pihak dalam apa-apa prosiding, penyampaian satu salinan apa-apa dokumen kepada Peguam Syarie itu hendaklah menjadi penyampaian yang mencukupi kepada semua pihak itu.

Seksyen 36. Menukar Peguam Syarie

(1)   Jika suatu pihak berhasrat menukar Peguam Syarienya, dia hendaklah memfailkan suatu notis penukaran dalam Borang MS 6 dan menyampaikan satu salinan notis itu kepada semua pihak.
(2) Seksyen 34 hendaklah terpakai berhubungan dengan penukaran Peguam Syarie sebagaimana seksyen itu terpakai berhubungan dengan pelantikan Peguam Syarie.


JADUAL KETIGA - Borang MS 6

(Subseksyen 36 (1))
NOTIS PENUKARAN PEGUAM SYARIE

(Tajuk Am)

Kepada Pendaftar,


Ambil perhatian bahawa saya ................................. plaintif (atau defendan) yang dinamakan di atas yang beralamat di .................................... ................... ....................... telah melantik ................... ............ ............... (Nama Peguam Syarie yang baru) untuk bertindak bagi pihak diri saya dalam prosiding ini menggantikan ........................ ............................ (nama Peguam Syarie yang dahulu)

Alamat bagi penyampaian (nama Peguam Syarie yang baru) yang dinamakan di atas ialah ................ .................... ............ .................... ..............................................


Bertarikh pada .................. haribulan ............ 20 .....

...................................
Plaintif (atau Defendan)

Kepada
1.    defendan (atau plaintif) atau Peguam syarienya; dan
2.    kepada (dengan menamakan Peguam Syarie plaintif (atau defendan) yang dahulu).

Seksyen 37. Pelepasan Peguam Syarie

Jika suatu pihak ingin melepaskan Peguam Syarienya, dia hendaklah memfailkan suatu notis pelepasan itu dalam Borang MS 7 dan menyampaikan suatu salinan notis itu kepada semua pihak.


JADUAL KETIGA - Borang MS 7

(Seksyen 37)
NOTIS PELEPASAN PEGUAM SYARIE

(Tajuk Am)

Kepada Pendaftar,

Ambil perhatian bahawa saya ..................................................... .................................................... plaintif (atau defendan) yang dinamakan di atas telah melepaskan Peguam Syarie saya (nama Peguam Syarie) ........ .......... .................................  yang telah dilantik untuk bertindak sebagai Peguam Syarie plaintif (atau defendan) dalam prosiding ini.

Bertarikh pada .................... haribulan ................. 20 .......

..........................
Plaintif/Defendan

Kepada:
           defendan (atau plaintif) atau Peguam Syarienya.


Seksyen 38. Pelepasan atas permohonan Peguam Syarie

Jika Peguam Syarie yang mewakili suatu pihak memohon untuk dilepaskan, dia hendaklah memfailkan suatu notis penarikan diri dalam Borang MS 8 dan menyampaikan suatu salinan notis kepada pihak yang diwakilinya.


JADUAL KETIGA - Borang MS 8

(Seksyen 38)

NOTIS PENARIKAN DIRI PEGUAM SYARIE

(Tajuk Am)

Kepada

Pendaftar,

Ambil perhatian bahawa saya ............................................................... Peguam Syarie bagi plaintif (atau defendan) dengan ini menarik diri dan terhenti menjadi Peguam Syarie yang bertindak bagi pihak plaintif (atau defendan) yang tersebut dalam prosiding yang disebut di atas.

Bertarikh pada .................... haribulan ............... 20 ......

.......................
Peguam Syarie

Notis ini dikeluarkan oleh ........................................................ ...................... (nama Peguam Syarie) yang beralamat di ............................ .............................................................................................

Peguam Syarie bagi .................. ...................... ................ .......... ....................................................

Kepada
           plaintif (atau defendan) atau Peguam Syarienya.


Seksyen 39. Kematian
Wakalah seseorang Peguam Syarie hendaklah tamat dengan kematian Peguam Syarie itu atau pihak yang diwakilinya.



^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan