Isnin, 10 Februari 2014

WAKALAH PEGUAM SYARIE – Siri 2



^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Isu Pertama: samada dokumen wakalah peguam syarie yang lain/baru perlu di failkan lagi di setiap kes dan peringkat rayuan kes yang berkenaan di Mahkamah Syariah.  

Isu ini bermaksud bahawa sekiranya terdapat rayuan dalam tiga keadaan:
  
       1.   Rayuan di buat ke Mahkamah Tinggi Syariah terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah;  
     2.   Rayuan di buat ke Mahkamah Rayuan Syariah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tidak kira samada keputusan yang di rayui itu merupakan kes bicara asal penuh mahupun kes rayuan dari Mahkamah Rendah Syariah; dan
        3.   Bagi setiap kes yang di failkan secara berasingan namun dalam semua kes itu pihak yang menuntut dan pihak kena tuntut adalah pihak yang sama serta adalah di dalam Mahkamah bicara yang sama;

Adakah perlu bagi setiap peringkat rayuan itu, dokumen wakalah peguam syarie yang lain/baru di buat dan di failkan oleh semua peguam yang terlibat dalam kes rayuan itu? Dengan kata lain wakalah yang difailkan dalam kes/prosiding di peringkat terdahulu tidak lagi terpakai dan untuk peguam syarie itu mewakili anakguamnya dalam prosiding rayuan/lanjutan suatu wakalah perlantikan peguam syarie yang lain perlu di laksanakan dan di failkan terlebih dahulu?

YAA Datuk Syeikh Ghazali dalam sebuah rencana bertajuk Proses Penghakiman dan Menjatuhkan Keputusan di Mahkamah Syariah: Suatu Penilaian 13 (2005) 2 JH 189 di ms 194 telah berkata:

Baik samada di dalam kes mal atau jenayah bagi pihak-pihak yang menggunakan khidmat peguam syarie, Hakim Mahkamah Syariah hendaklah memastikan pihak-pihak telah memfailkan wakalah Peguam Syarie dengan sewajarnya mengikut kehendak undang-undang. Tanpa wakalah yang sah oleh pihak-pihak kepada Peguam Syarienya, kes tersebut tidak sah dibawa oleh Peguam Syarie. Jika seseorang peguam syarie yang mewakili seseorang di Mahkamah Rendah masih ingin mewakili pihak-pihak di Mahkamah yang lebih tinggi dalam rayuan – pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa wakalah yang baru telah difailkan sewajarnya. Namun begitu bagi Peguam Syarie yang telah menerima wakil daripada seseorang yang dinyatakan untuk mewakilinya dimana-mana peringkat Mahkamah secara umum, wakalah yang baru tidak diperlukan.
Seterusnya di ms 195 – 196 beliau berkata:

Perkara ini disentuh kerana telah ada satu kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan iaitu kes ABDUL RAVUFF BIN A.S. DAWOOD lwn PASLA HOLDINGS SDN BHD dan 23 yang lain (Rayuan Mal No. 02-01-99 belum dilapurkan).
Pada asalnya isu yang di bangkitkan di Mahkamah Tinggi Syariah ialah tentang bidangkuasa mahkamah untuk mendengar dan memutuskan tentang kes harta pusaka Allahyarham A.S Dawood  s/o Abdul Razak. Apabila Mahkamah Rayuan mendengar hujah kedua belah pihak isu yang dibangkiytkan oleh wakil Perayu ialah tentang wakalah di mana tiada pelantikan peguam dibuat pihak responden-responden kecuali Responden Ketiga iaitu Dato Dr Rahiman A.S Dawood telah melantik En Zuri Zabudin untuk mewakilinya. Peguam Responden yang lain tidak mempunyai locus standi (keahlian) dalam kes ini dan lafaz wakalah kes yang dirujuk oleh beliau ialah kes mal bil. 198 tahun 1997 (perintah tegahan) dan tiada kaitan dengan kes mal bil. 197 tahun 1997. Ini bermakna kesemua Pihak Yang Kena Tuntut tidak mempunyai  wakalah dalam kes mal bil. 197 tahun 1997.
Peguam Responden juga dalam hujahnya mempertikaikan kesahan wakalah perayu yang dibuat tanpa tandatangan dan tarikh. Ini dapat dibuktikan oleh Peguam Responden dengan merujuk muka surat 34 Rekod Rayuan. Dalam hal ini Mahkamah Rayuan Syariah telah menyemak fail kes dan dapati bahawa dakwaan kedua belah pihak adalah benar.
...
Dalam kes ini tiada wakalah difailkan terhadap kes yang dibicarakan. Lafaz wakalah juga tidak dilafazkan bagi kes yang dibicarakan itu. Oleh itu Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa perbicaraan dan keputusan di mahkamah Tinggi Syariah di dalam kes mal bil. 197 tahun 1997 adalah tidak sah dan terbatal kerana ianya dijalankan tanpa wakalah yang sah oleh wakil Defendan-Defendan menurut hukum syarak dan undang-undang di dalam kes tersebut dan kes tersebut hendaklah dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.
Mengenai isu ini terdapat pula Arahan Amalan No. 2 Tahun 2004 mengarahkan bahawa mulai 08.06.2004 penggunaan lafaz wakalah di Mahkamah Rendah tidak boleh berurutan ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi dan hanya sah digunakan sebagaimana tajuk prosiding itu sahaja kecuali dinyatakan dengan jelas di dalam lafaz.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Isu Kedua: samada terdapat Arahan Amalan dikeluarkan oleh kerana peruntukan mengenai wakalah Peguam Syarie dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pahang 2002 adalah tidak ‘exhaustive’ (lengkap sepenuhnya).

Memang terdapat Arahan-Arahan Amalan mengenai tatacara yang berkenaan di keluarkan namun penambah-baikan masih di perlukan.

Berikut ialah beberapa Arahan Amalan yang berkaitan:

1.      Arahan Amalan No. 6 Tahun 2002
Wakalah / Iqrar / Afidavit

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil. 3 Tahun 2002 pada 7 Mei 2002 di Johor Bahru bersamaan 25 Safar 1423 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan amalan berhubung lafaz Wakalah, Iqrar dan Afidavit bolehlah dibacakan di Hadapan Hakim, Pendaftar, Pegawai Sulh, Penolong Pendaftar atau mana-mana orang yang diturunkan kuasa berhubung dengannya.

Arahan amalan ini berkuatkuasa 1 Jun 2002.

2.      Arahan Amalan No.2 Tahun 2004
Penggunaan Wakalah

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Bil 1 Tahun 2004 pada 8hb.-9hb. Jun 2004 bersamaan 19-20hb. Rabiulakhir 1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung penggunaan lafaz wakalah di Mahkamah Rendah tidak boleh berurutan ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi dan hanya sah digunakan sebagaimana tajuk prosiding itu sahaja kecuali dinyatakan dengan jelas di dalam lafaz.

Arahan ini berkuatkuasa mulai 8 Jun, 2004.

3.      Arahan Amalan No. 7 Tahun 2000
Kehadiran Wakil Bagi Pihak Peguam Syarie Pada Hari Sebutan Kes

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil.1/2000 pada 11 Mei 2000 di Kota Bharu Kelantan dan keputusan Mesyuarat Ketua-ketua Hakim Syarie kali ke 16 pada 26 Jun 2000 bersamaan 26 Rabiulawal 1421 di Kota Kinabalu Sabah telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan berhubung ketidakhadiran Peguam Syarie yang bertindak bagi pihak anakguamnya dalam sesuatu kes pada hari sebutan. Sebaliknya Peguam Syarie yang lain hadir menyebut kes tersebut bagi pihaknya. Mulai dari 1 Mac 2001, hanya Peguam Syarie yang diberikan Wakalah Perlantikan Peguam dalam kes tersebut boleh hadir untuk menjalankan apa-apa prosiding kes di Mahkamah.

Arahan ini berkuatkuasa mulai 1 Mac 2001.

4.      Arahan Amalan No. 5 Tahun 2004
Kehadiran Pihak-Pihak dan Wakil Semasa
Prosiding Semakan Kes Mal

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil. 1 Tahun 2004 pada 8-9hb Jun 2004 bersamaan 19-20hb Rabiulakhir, 1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan amalan berhubung kehadiran pihak-pihak dan wakil masing-masing semasa prosiding semakan kes Mal bolehlah di benarkan dan tertakluk kepada budi bicara Hakim.

Arahan amalan ini berkuatkuasa 8 Jun 2004.

5.      Arahan Amalan No. 4 Tahun 2002
Etika Peguam Syarie

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil.3 Tahun 2002 pada 7 Mei 2002 di Johor Bahru bersamaan 25 Safar 1423 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan amalan berhubung semua Peguam Syarie yang yang beramal di Mahkamah Syariah adalah terikat dengan Etika Peguam Syarie 2001.

2. Etika Peguam Syarie yang dimaksudkan adalah sebagaimana lampiran.

Arahan amalan ini berkuatkuasa 1 Jun 2002.


Lampiran

AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM

ETIKA PEGUAM SYARIE

PADA menjalankan kuasa yang diberi menurut ( peruntukan undang-undang yang sedia ada...) maka diperbuat etika berikut :

1. Nama

Etika ini bolehlah dinamakan Etika Peguam Syarie.

2. Tafsiran

Dalam etika ini, melainkan jika konteksnya menghendaki maknanya yang lain –

“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah (peruntukan undang-undang yang sedia ada...)

“Peguam Syarie” ertinya seseorang berkelayakan yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah (peruntukan undang-undang yang sedia ada...) dan termasuklah mana-mana Pendakwa Syarie, dan mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3(2) Akta Bantuan Guaman 1971, Akta 26.

3. Akhlak dan peranan Peguam Syarie

Peguam Syarie hendaklah mempunyai akhlak, sikap dan tingkah laku yang mulia, dan dalam melaksanakan tugas dan peranannya hendaklah bersifat amanah, jujur dan berniat baik untuk menegakkan keadilan.

4. Meningkatkan pengetahuan

Peguam Syarie hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan Hukum Syarak dan undang-undang supaya tugas guaman dapat dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan.

5. Peguam Syarie tidak diwajibkan bertindak bagi tiap-tiap orang

Tiada seorang Peguam Syarie diwajibkan bertindak sebagai penasihat atau peguambela bagi tiap-tiap orang yang hendak menjadi kelayannya; tetapi dia hendaklah sanggup menerima apa-apa arahan Mahkamah-mahkamah di mana dia menjalankan amalan dengan bayaran profesional yang wajar bergantung kepada lamanya tempoh yang diperlukan bagi menyediakan dan juga rumitnya kes itu; dengan syarat bahawa jika terdapat keadaan khas yang tidak mengizinkan, dia boleh, menurut budi bicaranya enggan menerima sesuatu arahan tertentu.

6. Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan (brief/kemahuan kelayan/kehendak kelayan) jika dalam keadaan serbasalah.

(a) Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan (brief/kemahuan kelayan/kehendak kelayan) jika dengan menerimanya dia akan berada dalam keadaan serba salah.

(b)   Keadaan serbasalah itu mungkin timbul –

(i)  Jika dia dapati ada dalam miliknya maklumat sulit hasil daripada nasihat yang telah diberi sebelumnya kepada seorang lain berkenaan dengan perkara yang sama;

(ii) Jika ada sesuatu perhubungan peribadi antaranya dengan suatu pihak atau seorang saksi dalam perbicaraan itu.

7. Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan jika kelakuan profesionalnya mungkin dipersoalkan.

Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan dalam sesuatu kes jika dia tahu atau ada sebab bagi mempercayai bahawa kelakuan profesionalnya sendiri mungkin dipersoalkan.

8. Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan (brief/kehendak kelayan/kemahuan kelayan) jika dia sukar menyenggara kebebasan profesionalnya.

(a)  Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan jika penerimaan itu menyebabkan atau akan menyebabkan dia sukar untuk menyenggara kebebasan profesionalnya atau bertentangan dengan kepentingan pentadbiran keadilan yang terbaik.

(b)   Peguam Syarie yang telah, pada bila-bila masa, menasihatkan atau membuat guaman, atau bertindak bagi suatu pihak berhubung dengan mengadakan atau menjalankan pendakwaan atau membela sesuatu guaman, rayuan atau lain-lain perbicaraan tidak boleh bertindak, hadir atau berguam bagi pihak lawan dalam guaman, rayuan atau lain-lain perbicaraan tersebut.

9. Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan jika dia tidak dapat hadir

Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan melainkan dia dengan pasti secara munasabah akan dapat hadir dan mewakili kelayan itu pada hari yang kehendaki.

10. Peguam Syarie tidak boleh dilepaskan dari tugasan.

Tertakluk kepada apa-apa kaedah Mahkamah yang dibuat bagi maksud ini. Peguam Syarie yang ditugaskan dalam sesuatu perkara mal atau jenayah –

(a)  melainkan dengan persetujuan Mahkamah, tidak boleh menarik diri dari sesuatu tugasan setelah sahaja tugasan itu diterima, tanpa sebab yang mencukupi melainkan notis yang berpatutan dan mencukupi diberi kepada kelayan itu;

(b)   hendaklah sentiasa menjalankan segala daya usahanya dalam pertugasan itu jika tidak mendapat persetujuan Mahkamah untuk menarik diri.

11. Peguam Syarie hendaklah menjalankan pembelaan dengan cara yang saksama dan terhormat

Peguam Syarie yang menjalankan pembelaan bagi seseorang dalam apa-apa perkara jenayah, hendaklah bertanggungan dengan segala cara yang saksama dan terhormat mengemukakan setiap pembelaan yang dibenarkan oleh undang-undang.

12. Fi bagi perkara-perkara yang rumit atau dipertikaikan

Bagi menentukan amaun fi bagi perkara-perkara yang rumit atau di pertikaikan yang melibatkan seseorang kelayan di wakili dalam Mahkamah, maka wajarlah di ambilkira –

(a)   masa, tenaga dan kemahiran yang diperlukan;
(b)   kebaharuan dan rumitnya soalan yang terlibat;
(c)    sama ada penerimaan tugasan tertentu itu akan menghalang harapannya untuk hadir bagi pihak-pihak lain;
(d)   fi biasa profesion bagi perkhidmatan yang serupa;
(e)   amaun yang dipertikaikan;
(f)    faedah yang akan didapati oleh kelayan dari perkhidmatannya;
(g)   corak tugasan itu – sama ada luar jangka atau bagi kelayan yang tetap; dan
(h)   kedudukan khas atau kekananan Peguam Syarie tertentu.

13. Peguam Syarie tidak boleh menjalankan kes mal yang dimaksudkan untuk melambatkan perbicaraan

Peguam Syarie tidak boleh menjalankan sesuatu atau membuat pembelaan yang mana adalah dimaksudkan semata-mata untuk melambatkan perbicaraan atau menyusahkan atau memudaratkan pihak lawan atau untuk melakukan penindasan atau sesuatu yang salah.

14. Menghormati Mahkamah

Peguam Syarie hendaklah sentiasa menghormati dan tidak boleh melakukan perdayaan ke atas Mahkamah.

15. Peguam Syarie hendaklah mempertahankan kepentingan keadilan, kelayannya dan kehormatan profesionnya.

Peguam Syarie hendaklah, sambil bertindak dengan segala tertib di hadapan mahkamah di mana ia hadir, dan berani mempertahankan kepentingan keadilan, kelayannya dan kehormatan profesionnya.

16. Peguam Syarie hendaklah berkelakukan jujur, tertib dan saksama

Peguam Syarie hendaklah berkelakuan jujur, tertib dan saksama di hadapan Mahkamah dan lain-lain Peguam Syarie

17. Peguam Syarie tidak boleh merujuk atau menegaskan kepada fakta yang tidak dibuktikan.

Dalam membuka sesuatu kes atau mengemukakan hujahnya, Peguam Syarie tidak boleh merujuk atau menegaskan apa-apa fakta dalam kes itu yang tidak dapat dibuktikannya.

18. Peguam Syarie hendaklah mengemukakan kepada Mahkamah keputusan yang masih berkuatkuasa.

(a) Peguam Syarie hendaklah mengemukakan kepada Mahkamah apa-apa keputusan yang masih berkuatkuasa yang dia tahu adalah berkaitan dengan perkara yang sedang dipertimbangkan di hadapan Mahkamah, sama ada keputusan itu menyokong atau menentang hujahnya.

(b)   Etika ini adalah terpakai khususnya dalam prosiding ex-parte

19. Penyalahnyataan (misquote) adalah tidak wajar

Peguam Syarie tidak wajar –

(a)  menyalahnyatakan dengan diketahuinya kandungan sesuatu kertas, keterangan seseorang saksi, hujah pihak lawan atau bahasa sesuatu penghakiman atau buku teks;

(b)   menyatakan sebagai otoriti suatu keputusan yang telah dibatalkan atau suatu status yang telah dimansuhkan;

20. Peguam Syarie boleh membawa kepada perhatian Mahkamah kedudukan dan keputusan undang-undang.

(a) Jika selepas keterangan dan hujah ditutup dan semasa keputusan ditangguhkan, seseorang Peguam Syarie dapat tahu akan suatu kedudukan undang-undang atau akan suatu keputusan undang-undang, yang mana adalah berkaitan secara langsung, dia hendaklah membawanya kepada perhatian Mahkamah dan pihak lawan dan pihak itu hendaklah bersetuju dengan kedudukan atau keputusan itu walaupun menentangnya.

(b)  Jika pihak lawan tidak bersetuju, Peguam Syarie yang mengemukakan kedudukan atau keputusan undang-undang masih boleh mengemukakan otoriti tambahan itu kepada Mahkamah dengan satu salinan suratnya kepada pihak lawannya untuk membolehkannya memberi ulasan mengenainya jika dibenarkan oleh Mahkamah.

21. Peguam Syarie hendaklah memberi kepada Mahkamah semua maklumat

Peguam Syarie hendaklah memberi kepada Mahkamah segala maklumat mengenai jangkamasa yang dijangkakan bagi sesuatu kes dan kemungkinan suatu penyelesaian.

22. Peguam Syarie hendaklah sedia untuk perbicaraan pada hari yang ditetapkan

(a)  Peguam Syarie hendaklah menjalankan segala usaha supaya sedia untuk perbicaraan pada hari yang ditetapkan.

(b)  Peguam Syarie hendaklah memohon penangguhan sesuatu kes yang telah ditetapkan perbicaraannya hanya atas sebab-sebab yang baik dan memaksa.

(c)  Kecuali dalam kecemasan, adalah tak wajar bagi Peguam Syarie memohon sesuatu penangguhan jika Peguam Syarie bagi pihak yang satu lagi itu tidak hadir melainkan jika ia telah memberi kepada semua Peguam Syarie yang berkenaan notis sekurangnya empat puluh lapan jam mengenai cadangan hendak membuat permohonan itu.

23. Peguam Syarie hendaklah menzahirkan kepada kelayan segala hal keadaan

Peguam Syarie pada masa dia dilantik hendaklah menzahirkan kepada kelayan segala hal keadaan hubungannya dengan pihak-pihak yang berkenaan, dan apa-apa kepentingan berhubung dengan perbalahan itu, yang mungkin mempengaruhi kelayan dalam memilik Peguam Syarie.

24. Peguam Syarie tidak boleh mengelirukan

Peguam Syarie hendaklah mengelakkan segala perkara yang boleh mengelirukan pihak yang tidak diwakili oleh Peguam Syarie.

25. Peguam Syarie tidak boleh hadir jika dia mempunyai kepentingan kewangan

(a)  Peguam Syarie tidak boleh hadir dalam apa-apa perkara dalam mana dia mempunyai kepentingan kewangan secara langsung atau tidak langsung;

(b)   Etika ini tidak dipakai bagi seseorang Peguam Syarie yang hadir sendiri untuk menetapkan kosnya sendiri.

26. Peguam Syarie tidak boleh hadir mengendalikan sesuatu kes di mana dia menjadi saksi.

(a)  Peguam Syarie tidak boleh hadir mengendalikan sesuatu kes di dalam Mahkamah atau dalam Kamar di mana dia ada sebab bagi mempercayai bahawa dia akan menjadi seorang saksi mengenai sesuatu soal fakta yang matan dan dipertikaikan, dan jika semasa hadir dalam mengendalikan sesuatu kes dia didapati akan menjadi saksi sebagai demikian, dia hendaklah jangan hadir mengendalikan kes itu seterusnya.

(b)  Peguam Syarie tidak boleh hadir mengendalikan kes di hadapan Mahkamah Rayuan jika dalam kes yang menjadi perkara rayuan itu dia telah menjadi seorang saksi mengenai sesuatu soal fakta yang matan dan dipertikaikan dalam Mahkamah di peringkat bawah;

(c)   Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Etika ini boleh menghalang seseorang Peguam Syarie daripada mengangkat sumpah atau berikrar sesuatu affidavit mengenai fakta-fakta normal atau fakta-fakta yang tidak dipertikaikan mengenai perkara-perkara dalam mana dia bertindak mengendalikan kes atau hadir sebagai saksi.

27. Peguam Syarie hadir sebagai satu pihak atau saksi tidak boleh memakai jubah

(a)   Peguam Syarie semasa hadir sendiri sebagai satu pihak atau apabila berada dalam kandang saksi tidak boleh memakai jubah;

(b)   Kecuali dalam upacara-upacara dan di tempat-tempat yang di tetapkan oleh Mahkamah, seseorang Peguam Syarie tidak boleh memakai jubah di tempat awam lain daripada dalam mahkamah atau dalam perjalanan pergi atau balik dari Mahkamah.

28. Peguam Syarie hendaklah mempertahankan kehormatan dan profesionnya

Tiap-tiap Peguam Syarie hendaklah sentiasa mempertahankan kehormatan dan taraf profesionnya.

29. Perasaan kelayan tidak boleh mempengaruhi kelakuan peguam

Walau apapun perasaan yang sedia ada di antara kelayan-kelayan, perasaan itu tidak boleh dibiarkan mempengaruhi Peguam Syarie dalam kelakuan dan tingkah lakunya terhadap satu sama lain atau terhadap pihak-pihak dan saksi-saksi mereka dalam kes itu.

30. Peguam Syarie hendaklah sentiasa melayan saksi pihak yang menentang dengan saksama dan timbang timbangrasa

Peguam Syarie hendaklah sentiasa melayani saksi-saksi dan pihak-pihak yang menentang dengan saksama dan timbangrasa dan dia hendaklah jangan sekali-kali memberi galakan kepada niat jahat atau prasangka seseorang kelayan dalam menjalankan sesuatu kes.

31. Peguam Syarie tidak boleh menyalahgunakan kepercayaan yang diletakkan padanya oleh kelayan.

(a)  Peguam Syarie hendaklah jangan melakukan sesuatu untuk faedah atau keuntungannya dengan menyalahgunakan atau mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diletakkan padanya oleh kelayan.

(b)   Peguam Syarie hendaklah mengekalkan kepercayaan kelayannya dan kewajipan itu hendaklah dikekalkan sepanjang penggajiannya.

32. Peguam Syarie hendaklah mencegah kelayannya daripada melakukan kelakuan tak baik terhadap Mahkamah dll

Peguam Syarie hendaklah berikhtiar sedaya upaya untuk mencegah kelayannya daripada melakukan perkara-perkara yang Peguam Syarie sendiri tidak patut lakukan, terutama sekali berkenaan dengan kelakuannya terhadap Mahkamah dan pegawai-pegawai kehakiman, saksi-saksi dan pihak-pihak yang berkenaan. Jika seseorang kelayan berkeras hendak melakukan perbuatan salah seperti itu, Peguam Syarie itu hendaklah menamatkan perhubungannya.

33. Peguam Syarie yang menulis untuk akhbar tidak boleh memperihalkan dirinya sebagai Peguam Syarie

Tetakluk kepada etika 34, seseorang Peguam Syarie yang menulis untuk akhbar atau untuk diterbitkan kecuali atas sifat profesionalnya mestilah mengambil langkah-langkah munasabah untuk menjamin supaya tiada apa perihal mengenainya sebagai seorang Peguam Syarie atau mengenai tugas undang-undangnya terhadap berhubung dengan makalahnya.

34. Pengecualian

Etika 33 tidak boleh dipakai bagi yang berikut:

(a)  Di mana seseorang Peguam Syarie menerbitkan suatu buku teks undang-undang (sama ada atau tidak bersesama dengan seorang yang bukan Peguam Syarie) nama dan kelulusannya serta rujukan mengenai buku-buku teks lain yang mungkin telah ditulis olehnya boleh dinyatakan pada kulit atau muka surat tajuknya atau dalam iklan-iklan mengenainya.

(b)   Seseorang Peguam Syarie yang telah bersara dari amalan boleh menulis riwayat pengalaman-pengalamannya sebagai Peguam Syarie, tetapi hendaklah sentiasa ingat bahawa dia tidak berhak mengkhianati kepercayaan yang telah diletakkan padanya oleh kelayan-kelayan;

(c)  Di mana seseorang Peguam Syarie menulis makalah untuk jurnal undang-undang.

35. Peguam Syarie tidak boleh memperihalkan dirinya sebagai Peguam Syarie tanpa izin Jawatankuasa

Peguam Syarie yang hendak memberi suatu syarahan atau suatu siaran mengenai suatu perkara undang-undang atau quasi undang-undang tidak boleh membenarkan dirinya diperihalkan, tanpa izin Jawatankuasa.

36. Peguam Syarie tidak boleh menjadi penjamin

Peguam Syarie tidak boleh menjadi seorang penjamin atau bailor bagi kelayannya yang dikehendaki bagi maksud apa-apa perbicaraan undang-undang.

37. Peguam Syarie tidak boleh berhubung dengan orang yang diwakili oleh Peguam Syarie lain

Peguam Syarie tidak boleh berhubung dengan seseorang mengenai apa-apa perkara yang berkenaan dengannya dia tahu orang tersebut adalah diwakili oleh seorang Peguam Syarie lain kecuali dengan izin yang nyata dari Peguam Syarie yang lain itu.

38. Peguam Syarie tidak boleh membangkitkan perselisihan dan guaman

Seseorang Peguam Syarie tidak boleh menawar nasihat tanpa diminta kepada seseorang supaya membawa sesuatu tindakan atau supaya membangkitkan perselisihan dan guaman.

39. Peguam Syarie tidak boleh menjalankan secara aktif apa-apa tred

(a)   Peguam Syarie tidak boleh secara aktif atau mengambil bahagian dalam atau menjadi seorang pekongsi apa-apa tred yang boleh menjejaskan apa-apa perkhidmatan kepada kelayannya.

(b)   Peguam Syarie tidak boleh menjadi pekerja bergaji sepenuh masa bagi mana-mana orang, firma (lain daripada Peguam Syarie dan peguamcara atau firma peguambela dan peguamcara) atau perbadanan selagi dia menjalankan amalan dan hendaklah apabila memegang apa-apa pekerjaan seperti itu memberitahu hal itu kepada Jawatankuasa dan mengambil langkah-langkah untuk berhenti menjalankan amalan sebagai Peguam Syarie selagi dia memegang pekerjaan itu , dengan syarat perenggan ini tidak terpakai bagi Peguam Syarie Biro Bantuan Guaman dan Panel Peguam yang dilantik di bawah seksyen 5 Akta BBG 1971.

40. Peguam Syarie tidak boleh mengiklan

Peguam Syarie tidak boleh memujuk rayu kerja atau mengiklan, sama ada secara langsung atau secara tak langsung, sama ada dengan pekeliling, iklan, melalui peraih langganan, perhubungan sendiri, temuramah yang tidak diperlukan oleh pertalian peribadi, dengan memberi atau menimbulkan komen-komen suratkhabar atau dengan mendapatkan gambarnya disiarkan berhubung dengan kes-kes dalam mana dia telah dipertugaskan atau mengambil bahagian.

41. Peguam Syarie tidak boleh mengiklankan dirinya

Peguam Syarie tidak boleh melakukan atau menyebab atau membenar dilakukan apa-apa perkara dengan tujuan utamanya untuk mengiklan dirinya, atau apa-apa perkara yang dikira sebagai menyarankan bahawa dia adalah bertujuan sedemikian.

42. Peguam Syarie tidak boleh mengadakan temuramah

Peguam Syarie tidak boleh mengadakan temuramah dengan akhbar atau memberi maklumat kepadanya mengenai kehidupan, amalan atau pendapatannya sebagai Peguam Syarie.

43. Peguam Syarie tidak boleh menyiarkan fotografnya

Peguam Syarie tidak boleh mengambil langkah-langkah untuk mendapatkan fotografinya sebagai Peguam Syarie disiarkan dalam akhbar atau mana-mana terbitan berkala.

44. Peguam Syarie tidak boleh memujuk rayu untuk mendapatkan laporan

Peguam Syarie tidak boleh memujuk rayu untuk mendapatkan laporan dibuat mengenai apa-apa perkara dalam mana dia telah dipertugaskan secara profesional, tetapi dia boleh menimbangkan dan menyemak laporan-laporan mengenai kes-kes dalam mana dia telah dipertugaskan secara profesional bagi mempastikan laporan itu adalah tepat.

45. Peguam Syarie tidak boleh mengiklankan alamat

(1)  Peguam Syarie tidak boleh mengiklankan alamatnya atau alamat firmanya dalam apa-apa buku, risalah, akhbar, terbitan berkala, penerbitan lain, media cetak atau media elektronik atau mengizin diterbitkan sama ada dalam akhbar atau lain-lain terbitan notis-notis atau makalah-makalah mengenai kelulusan atau merit profesionnya dengan syarat bahawa etika ini tidak dipakai bagi percetakan nama dan alamat mana-mana Peguam Syarie dalam senarai Undang-Undang, Buku Panduan Undang-Undang, Diari Undang-Undang dan apa-apa buku panduan lain yang diizinkan oleh Jawatankuasa yang dari semasa ke semasa, atau dalam mana-mana buku panduan telefon dalam Malaysia, termasuk bahagiannya yang dikhaskan untuk iklan-iklan dan dikenali sekarang sebagai “halaman kuning” atau dalam notis-notis biasa undang-undang yang disiarkan dalam akhbar atau lain-lain terbitan.

(2)    Bagi maksud perenggan ini, ukuran bagi iklan yang dibenarkan adalah seperti berikut:-

(a)   papan tanda firma berukuran tidak lebih 75 cm X 60 cm   
(b)    kad perniagaan berukuran biasa dengan tidaklebih 9cm X 5.5cm.

46. Peguam Syarie tidak boleh melakukan atau menyebabkan dilakukan meraih langganan

Peguam Syarie tidak boleh melakukan atau menyebab atau membenar dilakukan apa-apa perkara bagi maksud meraih langganan secara langsung atau secara tak langsung, atau yang dikira sebagai menyarankan bahawa ia adalah dilakukan bagi maksud tersebut.

47. Kos atau keuntungan dengan mana-mana orang yang tak berkelayakan tidak boleh dibahagi-bahagi

(1)   Peguam Syarie tidak boleh:-

(a)  membahagikan atau bersetuju membahagikan mana-mana kos yang diterima atau keuntungan yang diperolehi dari perniagaan guamannya dengan mana-mana orang yang tidak berkelayakan; atau

(b)  membayar, memberi atau bersetuju membayar atau memberi apa-apa kamsen atau ganjaran atau balasan berharga kepada mereka yang tidak berkelayakan, untuk mendapatkan atau mempengaruhi atau kerana telah mendapatkan atau mempengaruhi apa-apa urusan undang-undang dan sama ada pembayaran, pemberian atau perjanjian ini dibuat berdalihkan perkhidmatan yang diberi atau selainnya; tetapi etika ini tidak dimaksudkan untuk melarang pembayaran bonus-bonus biasa kepada kakitangan;

(2)   Peguam Syarie tidak boleh mengenakan caj untuk perkhidmatannya kurang atau lebih daripada skala yang ditetapkan oleh undang-undang kecuali atas sesuatu sebab yang khas di mana caj tidak dikenakan langsung.

48. Kamsen agensi atau kos keuntungan

Kamsen agensi atau kos keuntungan boleh dibenarkan di antara Peguam Syarie yang menjalankan amalan dalam Malaysia dengan ejen atau ejen-ejennya yang dilantik untuk menjalankan amalan guaman dalam atau luar Malaysia.

49. Peguam Syarie tidak boleh hadir bagi sesuatu pihak yang diwakili oleh Peguam Syarie lain

Jika dalam apa-apa perkara atau perbicaraan nama seseorang Peguam Syarie atau nama firmanya terdapat dalam rekod bagi mana-mana pihak, atau seseorang Peguam Syarie diketahui sebagai bertindak bagi sesuatu pihak dalam sesuatu perkara sama ada dalam Mahkamah atau tidak, tiada Peguam Syarie lain boleh, dengan diketahuinya, bersetuju, hadir atau bertindak seterusnya bagi pihak itu dalam perkara atau perbicaraan tersebut melainkan jika –

(a)    dia mendapat izin Peguam Syarie yang pertama tersebut; atau

(b)    dia berpuas hati bahawa saraan profesional yang wajar bagi Peguam Syarie yang pertama tersebut telah dibayar atau dia mengakujanji bahawa dia akan dibayar; atau

(c)   dia telah pun, tanpa mengetahui nama itu ada dalam rekod tersebut atau Peguam Syarie tersebut telah bertindak sedemikian, bersetuju hadir atau bertindak bagi pihak tersebut dan tidak boleh oleh sebab hal keadaan atau keperluan yang mendesak atau oleh apa-apa sebab seumpamanya, enggan hadir atau bertindak selanjutnya bagi pihak tersebut, tanpa mendedahkan dirinya kepada pertuduhan melanggar kewajipan profesional, atau

(d)  Peguam Syarie yang pertama tersebut itu tidak sanggup atau telah enggan bertindak selanjutnya bagi pihak tersebut dan dalam hal demikian dia hendaklah, jika dikehendaki, melindungi apa-apa lien yang mungkin ada pada Peguamcara yang pertama tersebut itu terhadap kos.

50. Lien Peguam Syarie

Kecuali bagi maksud membolehkannya mendapatkan lien seseorang Peguam Syarie boleh menahan kertas kelayan hingga memudaratkan kepentingan kelayan itu.

51. Penghakiman kerana engkar

Jika nama Peguam Syarie atau nama firmanya terdapat dalam rekod Mahkamah atau jika fakta mengenai perwakilan adalah diketahui oleh pihak yang satu lagi itu, tiada Peguam Syarie yang mewakili pihak yang satu lagi itu dalam perbicaraan itu boleh mengambil tindakan untuk mendapatkan hukuman kerana engkar terhadap kelayan Peguam Syarie yang pertama tersebut itu atau mengambil kesempatan atas kelambatan Peguam Syarie yang pertama tersebut itu membuat guaman atau memfailkan dokumen-dokumen dalam bentuk guaman atau dalam mengambil apa-apa langkah yang perlu atau dalam mematuhi mana-mana perintah dalam perbicaraan itu, melainkan jika dia telah memberi kepada Peguam Syarie yang pertama tersebut itu notis bertulis mengenai tujuannya hendak berbuat demikian, dan tempoh tujuh hari telah berlalu selepas notis itu diserahkan kepada Peguam Syarie yang pertama tersebut itu.

52. Lanjutan masa untuk pliding

Jika suatu lanjutan masa untuk membuat pliding diberi kepada sesuatu pihak, Peguam Syarie yang mewakili pihak itu hendaklah, jika dikehendaki, bersetuju menerima notis singkat untuk perbicaraan diadakan pada persidangan Mahkamah yang berikutnya mengenai sesuatu kes di mana, jika sekiranya pliding itu diserahkan dalam masa yang biasanya dihadkan tanpa apa-apa lanjutan, pihak yang membenarkan lanjutan masa tentu sekali boleh memberi notis untuk perbicaraan diadakan pada persidangan Mahkamah yang tersebut.

53. Pejabat cawangan tidak boleh diadakan tanpa Peguam Syarie

(1) Peguam Syarie tidak boleh menyelenggarakan suatu pejabat cawangan melainkan jika pejabat cawangan itu diawasi sepenuhnya dan berterusan oleh seorang Peguam Syarie.

(2)   Peguam Syarie tidak boleh menjalankan amalan profesionnya dalam Negeri-negeri di Malaysia dalam atau sebagai pekongsi bagi dua atau lebih dari satu firma pada bila-bila masa tanpa izin Jawatankuasa.

(3)    Peguam Syarie tidak boleh menjalankan amalan profesionnya melainkan jika ia menyelenggarakan suatu pejabat dalam mana-mana negeri di Malaysia.

54. Agensi tiada kaitan

Peguam Syarie tidak boleh membiarkan dirinya dikawal atau dieksploitasi oleh mana-mana agensi tiada kaitan yang menjadi perantaraan antara kelayan dengannya.


6.      ARAHAN AMALAN NO. 5 TAHUN 2011
Amalan Mengenai Penangguhan Kes Oleh Peguam Syarie

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2011 pada 12 Muharram 1433H bersamaan 7hb Disember 2011 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai tatacara merekod dan melaporkan amalan penangguhan kes oleh Peguam Syarie seperti berikut :-

1. Ketika mengendalikan sebutan, pengurusan kes perbicaraan sesuatu kes mal, semua Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dan Pendaftar (dalam sebutan pengurusan kes) hendaklah merekodkan tarikh, masa, no. kes, nama peguam serta firma peguam yang “terlalu kerap” memohon penangguhan kes-kes yang dikendalikannya dan melaporkannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri masing-masing menggunakan “Borang Laporan Kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri” sebagaimana dalam lampiran untuk tindakan.

2.  Dalam konteks arahan ini maksud perkataan “terlalu kerap” adalah apabila seseorang peguam yang sama memohon penangguhan kes sama ada dalam sesuatu kes tertentu atau pun kes yang berlainan menggunakan alasan yang tidak munasabah yang melebihi 3 kali.

3. Semua Hakim dan Pendaftar hendaklah mengamalkan kuasa budi bicara masing-masing (power of discretion) dengan bijaksana dalam menimbangkan permohonan sesuatu penangguhan oleh peguam agar tidak menjejaskan kepentingan pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan.

4. Borang laporan tersebut yang telah lengkap diisi dan ditandatangani hendaklah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri masing-masing dan satu salinan kepada Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 7 Disember 2011.
  
BORANG LAPORAN
KEPADA
PENGERUSI JAWATANKUASA PEGUAM SYARIE NEGERI .....................
BERKAITAN ARAHAN AMALAN NO. 5 TAHUN 2011
MENGENAI PENANGGUHAN KES OLEH PEGUAM.

Kepada,

Pengerusi,
Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri ........................

Nama Pelapor

Jawatan

No. Kes terlibat

Nama Peguam

Nama Firma Guaman

No. Kes Lain (Jika berkaitan)


Berikut adalah aduan saya berkenaan peguam di atas berkaitan permohonan tangguhan kes yang telah dipohon, ditimbangkan dan diputuskan oleh saya.

Bil.
Tarikh Tangguhan
Dipohon
Alasan

1


2


3


4


5



Ulasan Pengadu:








 


.............................................                                     ...................................
Tandatangan Pengadu                                                               Tarikh
(Cop Rasmi Pengadu)


7.      ARAHAN AMALAN NO. 2 TAHUN 2012
Perjanjian Penyelesaian/Persetujuan yang dibuat oleh Peguam Syarie
atau pihak-pihak

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2012 pada 14 Muharram 1434H bersamaan 28hb Disember 2012 telah bersetuju dan mengesahkan bahawa bagi kes-kes yang disertakan Perjanjian Penyelesaian/Persetujuan yang dibuat oleh Peguam Syarie atau pihak-pihak tidak perlu dirujuk ke Majlis Sulh pada peringkat pendaftaran.

Arahan ini hendaklah di baca bersama dengan Arahan Amalan No. 1 Tahun 2010.

Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 14hb Januari 2013.


8.      ARAHAN AMALAN NO. 1 TAHUN 2010
Penentuan Kes Yang Perlu Dirujuk Ke Majlis Sulh
Pada Peringkat Pendaftaran Kes

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2010 pada 14 Sya’ban, 1431H bersamaan 26hb. Julai 2010 telah bersetuju dan mengesahkan bahawa kes-kes yang dinyatakan di bawah ini perlu dirujuk ke Majlis Sulh semasa peringkat pendaftaran kes di Mahkamah Syariah.

009 - Tuntutan Gantirugi Pertunangan
016 - Tuntutan Muta’ah
017 - Tuntutan Harta Sepencarian
018 - Tuntutan Nafkah Isteri
019 - Tuntutan Nafkah Kepada Pihak Tak Upaya
020 - Tuntutan Cagaran Nafkah
021 - Tuntutan Nafkah Eddah
022 - Tuntutan Mengubah Perintah Nafkah
023 - Tuntutan Tunggakan Nafkah
024 - Tuntutan Nafkah Anak
025 - Tuntutan Mengubah Perintah Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak
026 - Tuntutan Mengubah Perjanjian Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak
028 - Tuntutan Hadhanah
049 - Tuntutan Gantirugi Perkahwinan
059 - Tuntutan Hak Tempat Tinggal
060 - Tuntutan Perintah Supaya Suami Tinggal Bersama Semula
062 - Tuntutan Isteri Kembali Taat
063 - Tuntutan Mas Kahwin 4

2. Bagi kes-kes ex-parte (interim) tidak perlu melalui proses Sulh.

3. Bagi kes-kes yang telah melalui proses pengantaraan di Jabatan Bantuan Guaman Malaysia tidak perlu dirujuk ke Majlis Sulh pada peringkat pendaftaran.

4. Arahan Amalan No. 1 Tahun 2000, No. 9 Tahun 2003, No. 14 Tahun 2004 dan No. 14 Tahun 2005 adalah berkaitan.

Arahan ini berkuatkuasa mulai 30 Julai 2010.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan