Isnin, 28 April 2014

NOTIS RAYUAN

 – penyerahan Notis Rayuan kepada Responden

Setelah Mahkamah membuat keputusannya terhadap tuntutan mut’ah yang di bicarakannya mungkin ada pihak dalam prosidng itu tidak berpuashati samada dengan keseluruhan ataupun sebahagian dari penghakiman / perintah keputusan Mahkamah itu.

Di bawah Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 ada di nyatakan bahawa sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah yang membicarakan kes atau tuntutan maka pihak itu mempunyai pilihan untuk membuat rayuan kepada Mahkamah yang lebih tinggi dengan memfailkan suatu dokumen yang di istilahkan sebagai Notis Rayuan, di Mahkamah yang membicarakan dalam tempoh 14 hari tarikh keputusan di umumkan oleh Mahkamah itu. Pihak yang merayu itu di namakan sebagai Perayu dan pihak yang satu lagi di dalam prosiding rayuan itu di namakan sebagai Responden.

Ini adalah kaedah am’ namun sekiranya ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan Notis Rayuan tidak di failkan dalam tempoh 14 hari tersebut maka pihak yang berhajat untuk merayu hendaklah terlebih dahulu memohon kebenaran lanjutan masa (untuk pemfailan dan penyerahan notis rayuan) secara formal kepada mahkamah yang akan mendengar rayuannya kelak dalam kadar segera dengan memberikan alasan-alasan kelewatannya untuk memfailkan notis rayuannya serta sebab-sebab yang patut kenapa lanjutan masa perlu di berikan. Begitu juga keadaannya jika keputusan penghakiman di umumkan secara ex-parte yakni semasa ketidakhadirannya di Mahkamah – lihat keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dalam kes ABDUL KARIM BIN KALAPADATHIL KUTTY ALI v FARISYA BT MOIDEEN KUTTY 37 (2013) 2 JH 141. 

Dalam kes ini Mahkamah Rayuan berkata bahawa permohonan lanjutan masa itu adalah di bawah seksyen 238(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 yang memperuntukkan:

Mahkamah boleh, atas apa-apa terma yang difikirkan adil melalui perintah, melanjutkan atau memendekkan tempoh yang dalamnya seseorang dikehendakki atau dibenarkan oleh Akta ini atau mana-mana penghakiman, perintah atau arahan untuk melakukan apa-apa perbuatan dalam mana-mana prosiding.
Salah satu proses sebelum kes yang ingin dirayui tersebut dapat di dengar meritnya di peringkat rayuan itu ialah Notis Rayuan itu hendaklah diserahkan juga kepada pihak yang satu lagi ataupun di istilahkan sebagai Responden itu.

Posting kali ini ingin menyentuh mengenai isu penyerahan Notis Rayuan kepada pihak Responden sebagaimana yang di putuskan dalam kes KRISNA HADAJANI v AZIAN BINTI OMAR 37 (2013) 2 JH 229 sebuah keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang di berikan pada 11.06.2013. Aspek yang di sentuh adalah mengenai persoalan-persoalan berikut:

         1.   Perlukah Notis Rayuan di serahkan kepada Responden dan berapa lamakah tempoh yang di berikan untuk melaksanakannya;

         2.   bolehkah Notis Rayuan di katakan telah di serahkan kepada Responden jika hanya dengan memasukkan dokumen Notis Rayuan itu ke dalam peti surat premis/rumah Responden atas alasan kerana Responden beliau tiada di alamat itu ketika penyerahan Notis hendak di lakukan;

       3.   bolehkah Notis Rayuan di sampaikan secara penyampaian gantian seperti melalui tampalan, iklan dan sebagainya;

       4.   perlukah Afidavit Penyampaian Notis Rayuan itu di failkan di Mahkamah sebagai membolehkan Rayuan di dengar;

     5.   adakah kegagalan memfailkan Afidavit Penyampaian sedemikian akan menyebabkan Rayuan di batalkan oleh Pendaftar di bawah Arahan Amalan No. 12 tahun 2004;

Walaupun Arahan Amalan No. 12 tahun 2004 adalah sebagaimana berikut sahaja namun Arahan Amalan ini telah di perluaskan maksud pemakaiannya oleh kes KRISNA HADAJANI v AZIAN BINTI OMAR ini. Maksud terma ‘rekodnya’ dalam para 1 Arahan Amalan tersebut nampaknya telah di jelaskan sebagai merangkumi ‘Afidavit Penyampaian Notis Rayuan’ juga – lihat para 18 penghakiman.


Arahan Amalan No.12 Tahun 2004
Tatacara Penolakan Kes Rayuan Mal Yang Tidak Mengikut Aturan

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 1 Tahun 2004 pada 8-9hb. Jun 2004 bersamaan 19 - 20 Rabiulakhir, 1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung tatacara penolakan kes rayuan mal yang tidak mengikut aturan Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri adalah seperti berikut:-

1. Mahkamah bolehlah membatalkan sesuatu kes rayuan yang mana rekodnya tidak dihantar seperti mana yang diperuntukkan di dalam seksyen yang berkaitan setelah tamatnya tempoh yang ditetapkan di dalam Undang-Undang yang berkenaan.

2. Sebelum melaksanakan tindakan di atas, mahkamah hendaklah mengeluarkan notis tunjuk sebab mengapa kes rayuan ini tidak boleh dibatalkan dalam masa 30 hari dari tarikh penerimaan notis.

3. Jika sesuatu notis tunjuk sebab tidak dijawab dalam masa yang ditetapkan, Perayu hendaklah disifatkan sebagai tidak berminat meneruskan rayuan dan Pendaftar hendaklah memanjangkan fail kes rayuan tersebut kepada Hakim yang mendengar rayuan untuk mendapatkan perintah pembatalan.

4. Pendaftar setelah mendapat perintah itu, hendaklah memanjangkannya kepada pihak-pihak yang terlibat.

Arahan ini berkuatkuasa mulai 8 Jun 2004


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut ialah bahagian tertentu dari Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes KRISNA HADAJANI v AZIAN BINTI OMAR 37 (2013) 2 JH 229:

Penyerahan Notis Rayuan

[6] Kami dengan hormatnya merujuk kepada peruntukkan yang dirujuk oleh pihak Responden iaitu subseksyen 139(8) Enakmen Tatacara Mal 2003 yang memperuntukkan sebagaimana berikut:

‘Notis Rayuan hendaklah disampaikan oleh Perayu dalam tempoh masa yang dihadkan bagi pemfailan rayuan kepada semua pihak yang terlibat dengan rayuan itu atau kepada peguam syarie masing-masing.’

...

[8]      Dalam Afidavit Responden beliau menyatakan tidak menerima Notis Rayuan ini dalam tempoh yang ditetapkan oleh Enakmen tersebut. Manakala dalam Hujah Jawapan Perayu, beliau menyatakan bahawa ia telah disampaikan kepada Perayu pada 26/11/2010 (iaitu hari yang sama Notis Rayuan difailkan) dengan cara meletakkan dalam Peti Surat rumah pihak Responden kerana Responden tiada di rumah  pada masa penyampaian tersebut. Penyampaian  tersebut dinyatakan oleh pihak Perayu dibuat oleh Kerani Penghantar Notis yang berkhidmat dengan Peguam Syarie Perayu dan beliau melampirkan Afidavit Penyampaian  tersebut di dalam Hujah Jawapannya. Berhubung dengan penyampaian ini, pihak Responden dalam hujahnya menyatakan bahawa beliau sama sekali tidak menerima atau melihat apa-apa dokumen atau Notis yang dimasukkan ke dalam peti surat rumah beliau dan hanya menyedari kewujudan prosiding rayuan melalui penerimaan  Notis Bicara/Sebutan bertarikh 01/12/2011 dan Notis Tangguhan Bicara bertarikh 23/11/2011.

...

[11]    Isu sama ada penyampaian Notis Rayuan dengan cara memasukkannya ke dalam Peti Surat Responden sah menurut undang-undang? Pihak Responden berhujah bahawa penyampaian tersebut menyalahi peruntukkan subseksyen 41 (1) Enakmen Tatacara Mal 2003 yang menetapkan:-

“Tertakluk kepada bahagian ini, sesuatu  saman atau dokumen lain hendaklah disampaikan kediri dan hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan saman atau dokumen lain itu, atau dengan mengemukakannya untuk diperiksa dan menyerahkan satu salinan saman atau dokumen lain itu, kepada orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendaklah disampaikan.”

...

[13]    Kami memahami bahawa frasa “dokumen lain” cuba ditafsirkan oleh pihak Perayu sebagai dokumen permohonan sahaja. Pada  pendapat kami analogi pihak Perayu bahawa subseksyen 41 (1)  tidak terpakai kepada notis rayuan atas alasan ia tidak mempunyai meterai  mahkamah  sebagaimana saman adalah jauh dari kebenaran kerana dalam kes permohonan, ia juga tidak perlu kepada meterai mahkamah sebagaimana yang dapat dilihat dalam Borang MS 3. Oleh itu tafsiran pihak Perayu bahawa “dokumen lain” yang disebut di dalam subseksyen itu hendaklah yang bermeterai  Mahkamah adalah tidak tepat. Malah tiada apa-apa peruntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal yang  mengkhususkan  penyampaian Kediri hanya kepada saman dan permohonan. Oleh kerana itu kami berpendapat jika ada apa-apa dokumen yang  memerlukan  penyampaian dibuat kepada pihak satu lagi, maka seksyen 141 (1) itu terpakai. Dalam  kes notis rayuan, ia jelas dari peruntukkan seksyen 139 (8) Enakmen Tatacara Mal bahawa notis rayuan perlu diserahkan kepada Responden.

[14] berdasarkan hujah-hujah Perayu juga kami dapat memahami bahawa pihak Perayu menganggap penyampaian Notis Rayuan tidak sepenting penyampaian dan notis permohonan sehingga boleh meletakkannya dalam peti surat di alamat terakhir yang di ketahui Responden tinggal. Kami berpendapat anggapan tersebut tidak tepat kerana notis rayuan sama penting dengan saman dan permohonan bahkan ia lebih penting apabila diteliti tujuan penyampaian tersebut, iaitu bagi membolehkan pihak Responden memfailkan notis rayuan balas mengikut seksyen 140 Enakmen Tatacara Mal 2003 yang menetapkan sebagaimana berikut:

“Seseorang responden dalam mana-mana rayuan boleh dalam masa tujuh hari dari tarikh penyampaian notis rayuan itu kepadanya memfailkan di mahkamah yang mendengar rayuan dan menyampaikan kepada perayu notis dalm borang MS 31 tentang cadangannya untuk mengemukakan hujah pada pendengaran rayuan itu bahawa keputusan yang dirayukan itu patut diubah.”

[15]    Berdasarkan  seksyen 140 itu, jelas bahawa  pihak Responden  boleh memfailkan rayuan balas dalam  tempoh 7 hari dari tarikh penyampaian. Tanpa mengetahui bila ia diserahkan, sudah  pasti menyebabkan  Responden terlepas peluang untuk memfailkan notis rayuan  balas sebagaimana yang dihujahkan oleh pihak Responden. Oleh kerana itu kami berpandangan penyampaian Kediri dalam kes notis rayuan  adalah amat penting supaya pihak Responden dapat mengetahui bilakah tarikh terakhir beliau boleh memfailkan notis rayuan balas. Kemungkinan untuk pihak Responden  memfailkan notis rayuan  balas wujud  memandangkan tuntutan balasnya ditolak oleh Mahkamah Bicara. Apatah  lagi Responden dalam hujahnya menyatakan hak rayuan balasnya dinafikan kerana tidak menerima notis rayuan tersebut dan hanya mengetahui adanya rayuan apabila menerima notis bicara rayuan.

[16]    Selain daripada itu cara penyampaian yang dibuat oleh pihak Perayu adalah termasuk dalam  pengertian penyampaian ganti di bawah subseksyen 48 (1) Enakmen Tatacara  Mal yang mana ia hanya boleh dibuat dengan kebenaran Mahkamah dan dalam kes ini tiada kebenaran sedemikian diberikan.

[17]    Oleh kerana itu kami berpendapat jika betul sekalipun wujudnya penyampaian tersebut, namun  ia suatu penyampaian yang tidak sah dan kes rayuan pihak Perayu ini tidak boleh diteruskan melainkan kecacatan yang menjejaskan keadilan tersebut diperbaiki. Pada peringkat ini kecacatan tersebut tidak mampu dibaik pulih melainkan pihak Perayu memohon  pelanjuan tempoh  masa penyerahan  notis rayuan kepada pihak Responden.

[18]    Akhir sekali kami perlu memberikan panduan disini bahawa apabila penyampaian notis rayuan kepada pihak Responden amat penting, maka pihak pendaftar hendaklah memastikan Afidavit Penyampaian secara Kediri atau Afidavit Penyampaian Ganti (setelah mendapat kebenaran Mahkamah) difailkan. Jika tiada Afidavit Penyampaian, maka pihak Pendaftar hendaklah mengguna pakai proses membatalkan rayuan yang ditetapkan oleh Arahan Amalan No. 12 Tahun 2004. Pada pemerhatian kami Arahan Amalan tersebut hanya diguna pakai terhadap kegagalan pemfailan Alasan Rayuan dan Rekod Rayuan. Maka bermula hari ini Arahan Amalan itu juga hendaklah terpakai kepada kegagalan memfailkan Afidavit Penyampaian Notis Rayuan  yang  mana penyampaian tersebut hendaklah mengikut Enakmen Tatacara Mal.


Keputusan kes diatas ini adalah sebenarnya mengenai bantahan awal Responden untuk Mahkamah Rayuan Syariah ini menolak serta membatalkan prosiding rayuan Perayu atas alasan ketak-akuran prosedur. Jika dilihat kepada Alasan Penghakiman tiada pula dinyatakan samada ketak-akuran yang berlaku memprejudiskan Responden atau adalah amat fatal mahupun nas serta peruntukan seksyen mana yang disandarkan oleh Mahkamah namun saya merasakan bahawa Mahkamah mungkin mendasarkan antara lain kepada peruntukan tatacara mal mengenai kesan ketakpatuhan demi untuk keadilan yang nyata dan tidak semata-mata atas dasar teknikaliti/formaliti.  Mengenai kesan ketakpatuhan prosedur ini ianya telah di sentuh dalam posting blog ini terdahulu. Berikut ialah keputusan Mahkamah Rayuan Syariah tersebut yang membawa maksud seperti diatas.


Keputusan

SETELAH Kami meneliti Notis Permohonan, Afidavit Pemohon dan setelah meneliti hujah-hujah kedua-dua belah pihak, MAKA kami sebulat suara memutuskan:-

[1]      Prosiding rayuan pihak Perayu hanya sah setakat pemfailan Notis Rayuan dan segala dokumentasi lain yang difailkan oleh Perayu selepas pemfailan Notis Rayuan adalah dibatalkan.

[2]      Pihak Perayu boleh memfailkan permohonan melanjut tempoh penyerahan Notis Rayuan kepada pihak Responden bagi membolehkan prosiding rayuan disambung semula.

[3]      Pihak Perayu diperintahkan membayar kos dalam kausa.

Jelaslah bahawa Bantahan Awal oleh Responden dalam kes ini tidaklah sampai dapat membatalkan prosiding rayuan yang difailkan Perayu. Namun Responden dipampaskan dengan kos dalam kausa yakni kos permohonan bantahan awalnya diperintahkan di tanggung dan dibayar oleh Perayu kepada Responden sekiranya dalam prosiding rayuan sebenar kelak Mahkamah menolak rayuan Perayu. Mengenai isu kos ini ada pihak yang merasakan ianya hanya patut diperintahkan oleh Mahkamah hanya dalam keadaan yang bertujuan menghukum (punitif) kerana Mahkamah Syariah adalah tempat untuk mencari dan menegakkan keadilan serta hukum syarak. Apapun ia adalah suatu persolan yang tidak berkaitan secara signifikan kepada tajuk posting ini.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^