Rabu, 2 Julai 2014

Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah – siri 2



Penghinaan Mahkamah

Salah satu cara untuk menangani tindakan suami yang gagal atau enggan atau cuai membayar mut’ah kepada isteri sebagaimana yang telah di perintahkan oleh Mahkamah Syariah adalah melalui permohonan kepada Mahkamah agar suatu prosiding penghinaan Mahkamah di jalankan di bawah seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. Tindakan suami sedemikian itu di sebut sebagai perlakuan penghinaan di luar Mahkamah (intihak al-mahkamah ghair mubasyir) atau juga di kenali sebagai ex-facie contempt of court di Mahkamah Sivil.
Seksyen 229 tersebut memperuntukkan:

Seksyen 229. Notis menunjukkan sebab.

(1) Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

(2) Jika penghinaan dilakukan di dalam Mahkamah maka tidaklah perlu bagi Mahkamah menyampaikan notis untuk menunjukkan sebab tetapi Mahkamah hendaklah memastikan bahawa orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu faham tentang jenis kesalahan yang dikatakan yang dikatakan terhadapnya dan diberi peluang untuk didengar untuk membela dirinya, dan Mahkamah hendaklah membuat suatu rekod yang sepatutnya mengenai prosiding itu.

(3) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.


Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah tidak memperuntukkan borang yang khusus untuk ‘Notis Menunjukkan Sebab’ itu. Juga enakmen tidak memberi peruntukkan bagaimana permohonan perlu di buat agar Notis tersebut di keluarkan oleh Mahkamah.

Arahan Amalan Mahkamah Syariah juga tidak memperincikan mengenai hal ini melainkan memberi arahan terhadap perkara substantif Penghinaan di Luar Mahkamah sahaja sebagaiman yang di nyatakan di dalam Arahan Amalan No. 13 tahun 2004 yang berikut:


Arahan Amalan No.13 Tahun 2004
Penghinaan Di Luar Mahkamah

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 1 Tahun 2004 pada 8-9hb Jun 2004 bersamaan 19 - 20 Rabiulakhir, 1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung prosedur dan carta aliran kerja kes Penghinaan Mahkamah adalah seperti berikut:-

1.   Penghinaan Di Luar Mahkamah

         a.    Penghinaan diluar Mahkamah termasuklah:-

i. Keengganan mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah; atau
ii. Mengeluarkan apa-apa kenyataan samada secara lisan atau bertulis oleh mana-mana orang atau badan atau pertubuhan atau organisasi yang adalah satu perbuatan menghina Mahkamah Syariah.

b. Prosiding Penghinaan di luar Mahkamah bolehlah dimulakan oleh samada Pendakwa Syarie atau mana-mana orang yang berkepentingan.

c. Mahkamah hendaklah mendaftar dan membicarakan permohonan penghinaan mahkamah mengikut undang-undang yang diperuntukkan.

d. Jika Mahkamah berpuashati bahawa orang yang menghina Mahkamah harus dikomitkan ke penjara, perintah pengkomitan ke penjara hendaklah ditetapkan bahawa pesalah itu hendaklah dipenjarakan sehingga pesalah itu membersihkan diri dari kesalahan penghinaan mahkamah itu dengan meminta maaf tanpa syarat kepada Mahkamah dan orang lain yang ada kepentingan dan juga mematuhi perintah Mahkamah yang diingkari atau memberhentikan perbuatan lain yang menghina Mahkamah dan sekiranya pesalah gagal berbuat demikian, pesalah akan dipenjara sehingga tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah yang tidak melebihi had maksima penjara bagi kesalahan menghina mahkamah.

e. Tiada apa-apa permohonan atau tuntutan dari orang yang dituduh menghina mahkamah itu boleh didengar oleh Mahkamah selagi perintah penghakiman terdahulu belum dipatuhi dengan sepenuhnya.

Arahan ini berkuatkuasa mulai 8 Jun 2004.


Saya mengambil pendekatan bahawa Permohonan dan Notis Tunjuk Sebab itu perlu menggunakan Borang-Borang sepertimana yang di gunapakai dalam perkara permohonan Notis Penghakiman kes Saman Penghutang Penghakiman di bawah seksyen 179 dengan menggunakan Borang MS 44. Notis Penghakiman pula menggunakan Borang MS 45 (lihat sekayen 180).


Seksyen 179. Permohonan untuk mendapatkan notis penghakiman

(1) Jika seseorang penghutang penghakiman tidak mematuhi mana-mana perintah yang dibuat oleh Mahkamah terhadapnya di bawah seksyen 178, pemiutang penghakiman boleh, melalui notis penghakiman, meminta penghutang penghakiman itu hadir di Mahkamah untuk menunjukkan sebab mengapa dia tidak patut dikomitkan ke penjara kerana keingkaran itu.

(2) Sesuatu permohonan untuk mendapatkan notis penghakiman di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat dan diangkat sumpah oleh pemohon dalam Borang MS 44.



JADUAL KETIGA - Borang MS 44

(Subseksyen 179 (2))

PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN NOTIS PENGHAKIMAN

(Tajuk Am)

Saya .................................................... yang beralamat di ........................ plaintif (atau defendan) dan pemiutang penghakiman yang dinamakan di atas memohon supaya suatu notis penghakiman dikeluarkan terhadap penghutang penghakiman untuk menunjukkan sebab mengapa dia tidak patut dikomitkan ke penjara kerana ingkar membuat pembayaran.

(butir-butir penghakkiman dan penghutang penghakiman)

(a) Nama dan alamat penuh penghutang penghakiman.

(b) Tarikh dan butir-butir peirntah bagi pembayaran yang berkenaan dengannya kemungkiran telah dilakukan.

(c) Jumlah amaun yang telah dibayar sejak tarikh perintah itu.

(d) Jumlah wang atau ansuran yang berkenaan dengannya kemungkiran telah dilakukan.

(e) Tarikh jumlah wang atau ansuran itu sepatutnya telah dibayar mengikut perintah itu.

(f)  Pekerjaan penghutang, hal keadaan dan kemampuannya untuk membayar, setakat yang diketahui oleh pemohon.

Bertarikh pada ....... haribulan ....................... 20 ......

....................................
Plaintif (atau Defendan)

AFIDAVIT SOKONGAN

Saya, ............................................................. pemiutang penghakiman yang dinamakan di atas bersumpah dan menyatakan:

Bahawa butir-butir yang dinyatakan di atas adalah benar sepanjang yang saya ketahui dan percaya.

Diangkat sumpah (seperti dalam Borang MS 26).



JADUAL KETIGA - Borang MS 45

(Subseksyen 180 (1))

NOTIS PENGHAKIMAN

(Tajuk Am)

Kepada penghutang penghakiman,

Ambil perhatian bahawa anda dikehendaki hadir di Mahkamah ............. Syariah di ................... pada hari ................ pada ......... haribulan ........................ 20 ...... pukul .......... pagi/petang untuk menunjukkan sebab mengapa anda tidak patut dikomitkan ke penjara kerana mengingkari perintah Mahkamah bertarikh ............ haribulan ................. 20 ....... iaitu kerana telah melakukan kemungkiran dalam pembayaran ansuran ........................ yang kena dibayar di bawah perintah itu (atau nyatakan perintah yang diingkari atau yang tidak dipatuhi itu).

Bertarikh pada ......... haribulan ................. 20 ....

Catatan No. ........ tahun 20 ......

Kerani

(Meterai)

.................
Pendaftar


Jika menurut seksyen 13 bentuk permohonan adalah sepertimana borang MS 3:


Seksyen 13. Bentuk permohonan

(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan kemudian daripada ini, tiap-tiap permohonan hendaklah dibuat melalui notis dalam Borang MS 3 dan disokong dengan afidavit yang diangkat sumpah mengikut Enakmen ini.

(2) Tiap-tiap permohonan hendaklah menyatakan dengan sepenuhnya jenis perintah yang dipohon, dan megandungi fakta yang cukup terperinci untuk menyokong permohonan itu, dan melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya, hendaklah disampaikan kepada semua pihak dan orang yang berkepentingan dalamnya.

(3) Dalam sesuatu permohonan, penentang hendaklah disebut sebagai responden.


Dengan yang demikian saya mencadangkan Permohonan dan Notis Tunjuk Sebab adalah seperti berikut boleh di gunapakai:


DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI ...
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO:                               -2014

ANTARA
...                                                                                           …  PEMOHON
DAN
...                                                          ... RESPONDEN                                    

PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN
NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB

[Seksyen 229 (3) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002]

Saya ... [KPPN NO: ... ] Pemohon yang dinamakan di atas yang beralamat di No. ... memohon supaya suatu Notis Menunjukkan Sebab dikeluarkan terhadap Responden untuk menunjukkan sebab mengapa tindakan/prosiding tidak boleh diambil terhadapnya untuk suatu perintah pengkomitan kerana menghina Mahkamah.

BUTIR-BUTIR PERINTAH DAN RESPONDEN:

  1. Nama dan alamat penuh Responden:

...

  1. Tarikh dan butir-butir Perintah bagi melakukan suatu perbuatan yang berkenaan dengannya kemungkiran telah dilakukan:

Perintah Mahkamah bertarikh ... yang memerintahkan bahawa:

i.             Responden hendaklah membayar bayaran mut’ah sebanyak RM ... kepada Pemohon kedalam akaun Pemohon di ... Berhad [No. Akaun: ....].

  1. Perbuatan  yang berkenaan dengannya kemungkiran telah dilakukan:

Enggan dan/atau gagal membuat sebarang bayaran mut’ah kepada Pemohon yang berjumlah sebanyak RM ... kedalam akaun Pemohon di ... Berhad [No. Akaun: ....].

  1. Tarikh pembayaran jumlah penghakiman sebanyak RM ... itu sepatutnya telah di buat mengikut Perintah itu:

Serta-merta selepas tarikh Perintah Penghakiman.

Bertarikh pada     haribulan                       2014.




........................................
Pemohon

PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB ini  difailkan oleh

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI ...
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO:                               -2014

ANTARA
...                                                                                           …  PEMOHON
DAN
...                                                                                         ... RESPONDEN

AFIDAVIT SOKONGAN

Saya ... [KPPN NO: ... ] yang beralamat di No. ... Pemohon yang dinamakan diatas bersumpah dan menyatakan:

bahawa butir-butir yang dinyatakan didalam permohonan diatas adalah benar sepanjang yang saya ketahui dan percaya.

Diangkat Sumpah oleh ...                                  )
di                                                                     )   ......................................
pada        hb           2014                                  )


Dihadapan saya,




.......................................
Hakim / Pendaftar



PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB ini  difailkan oleh ...

****************
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI ...
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO:                               -2014

ANTARA
...                                                                                           …  PEMOHON
DAN
...                                                                                         ... RESPONDEN

NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB

Kepada Responden:

...

Ambil perhatian bahawa anda dikehendaki hadir di hadapan Mahkamah Rendah Syariah ... pada hari           pada       haribulan          2014 pukul  pagi/petang untuk menunjukkan sebab mengapa tindakan/prosiding tidak boleh diambil terhadap anda untuk suatu perintah pengkomitan kerana menghina Mahkamah apabila mengingkari Perintah Mahkamah bertarikh ... iaitu kerana:

enggan dan gagal membuat sebarang bayaran mut’ah kepada Pemohon yang berjumlah sebanyak RM ... kedalam akaun Pemohon di ... Berhad [No. Akaun: ....].

Sesalinan Perintah tersebut dikepilkan disini.

Bertarikh pada         haribulan                     2014.

                                               
                                                                             ............................
                                                                             Hakim/Pendaftar

NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB ini difailkan oleh ...


Panduan dari beberapa kes di Mahkamah Syariah yang telah di putuskan.

Dalam kes NOR RELA BINTI HAMZAH v MUSTAPA KAMAL BIN MOHD NASIR  29  (2009) 1 JH  43 di mukasurat 60 - 61 Mahkamah Tinggi Syariah Selangor menyatakan:

Apabila Responden hadir pada hari yang ditetapkan aturan ini hendaklah dipatuhi iaitu Pertama, berkaitan siapakah yang sebenarnya harus menjalankan pemeriksaan terhadap Responden?

‘Seksyen [229(3)] diatas tidak menyatakannya namun Mahkamah merujuk kepada kes Zainip Binti Ahmad lwn Abdul Aziz Bin Hussain yang telah diputuskan pada 18hb Mei 2007, dimana Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar berpendapat bahawa Mahkamah mempunyai kuasa untuk memeriksa Responden secara bersendirian tanpa memberi ruang kepada Pemohon untuk memeriksa Responden berasaskan bahawa prosedur ini sedikit unik dan berbeza dengan prosedur lain seperti Saman Penghutang Penghakiman dan Notis Penghakiman. Oleh itu adalah lebih baik mahkamah menggunakan prinsip ‘inquistorial’ iaitu mahkamah sendiri menyiasat dan bukannya pihak-pihak walaupun jika pihak-pihak diwakili Peguam. Walaubagaimanapun Mahkamah BOLEH memberi peluang kepada pihak-pihak terutamanya yang diwakili Peguam Syarie sama ada untuk memeriksa atau membela diri Responden sekiranya perlu. Dengan kata lain, ia adalah tertakluk kepada BUDIBICARA Mahkamah yang mendengar kes tersebut.’

Dalam kes tersebut YA Hakim telah merujuk kepada kes ROSLAILI BT ABDUL GHANI v AHMAD AZMAN BIN YAACOB  19 [2005] 2  JH 283 (suatu kes yang di putuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam) yang mengatakan bahawa:

‘...
6.   pada tarikh yang ditetapkan, Defendan akan diperiksa oleh Mahkamah.
7.   sekiranya Tunjuk Sebab diterima dan diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak menghina Mahkamah, Defendan dilepaskan.
8.  sekiranya Mahkamah tidak menerima Tunjuk Sebab berkenaan, Mahkamah perlu membuat hukuman di bawah seksyen 229 dan Perintah Pengkomitan dikeluarkan sekiranya hukuman penjara dikenakan.
9.  sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang penghakiman dan Defendan  telah dipenjarakan, penghutang boleh dilepaskan jika penenuaian hutang telah dibuat.’

Maka dengan itu dalam prosiding Notis Tujuk Sebab, Mahkamah seharusnya mngambil pendekatan untuk melihat kepada dua isu penting yang berikut:

(a)   Samada pelanggaran kepada Perintah telah berlaku; dan
(b)   Samada pelanggaran itu adalah terjumlah kepada penghinaan kepada kredibiliti Mahkamah.

Dalam kes HASNAN BIN YUSOF v YASMIN BT MOHD YACOB 25 [2008] 1 JH 89 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berkata bahawa persoalannya adalah :

‘(1) samada Responden melakukan pelanggaran terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 18hb Mei 2004;
(2) Sekiranya perintah dilanggari, samada Mahkamah merasa terhina dengan pelanggaran tersebut dan samada Responden telah berjaya atau berupaya memberi sebab atau alasan yang wajar dan boleh diterima oleh Mahkamah supaya Responden tidak dikenakan perintah pengkomitan atas kegagalan Responden mematuhi perintah.’

Dalam kes HASNAN ini hak lawatan anak telah diberikan kepada Pemohon tetapi setiap kali melawat anaknya beliau hanya dapat bermesra dengan anak di hadapan pintu premis Responden yang dibatasi dengan jeriji (grill). Beliau di bahagian luar pintu grill yang berkunci itu manakala anak berada dalam rumah. Pemohon memohon tindakan pengkomitan (penghinaan mahkamah) diambil keatas Responden kerana tidak memberikan hak lawatan sepenuhnya. Responden memberi alasan bahawa  beliau berbuat sedemikian kerana Pemohon pernah melarikan anak itu semasa lawatan terdahulu. Mahkamah menerima penjelasan Responden dan menolak permohonan Pemohon.

Dalam kes SALEH FEHED S.AL-ABDULWAHED v SHARIFAH SORAYA BINTI SYED MAHMOOD 19 [2005] 2 JH 292 permohonan adalah dibuat di bawah seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 08.01.2001 buat pertama kali. Kes itu kemudiannya ditangguhkan beberapa kali kerana Notis Tunjuk sebab gagal diserahkan kepada Responden kerana Responden telah lari meninggalkan Malaysia dan berada diluar negeri. Waran tangkap yang dikeluarkan juga gagal dilaksanakan. Oleh kerana kegagalan penyerahan notis tersebut maka pada 07.12.2004 Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam berpendapat bahawa kes ini tidak wajar untuk diterskan lagi dan dengan itu kes ini dibatalkan.

Dalam kes ROSLAILI BT ABDUL GHANI v AHMAD AZMAN BIN YAACOB  19 [2005] 2  JH 283 Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam setalah mendengar kesemua hujahan dari Pemohon dan Responden telah memutuskan untuk menolak permohonan yang dibuat di bawah seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah kerana Perintah yang dikatakan telah dilanggari itu sendiri adalah tidak jelas serta tidak lengkap dan mengelirukan pula. Mahkamah di m.s. 289 berkata:

‘Mahkamah bersetuju dengan hujah Defendan mengatakan Perintah yang diperolehi oleh Plaintif adalah tidak jelas kerana tidak dinyatakan tentang di mana dan bagaimana serahan dan pengambilan anak-anak tersebut harus di buat.’

Jika prinsip kes Roslaili ini di gunapakai maka permohonan penghinaan Mahkamah akan di tolak dan tidak di benarkan sekiranya Perintah yang didasarkan kepada permohonan penghinaan di luar mahkamah itu sendiri tidak jelas mengenai isu dakwaan apakah terma perintah yang dilanggari atau di ingkari. Sebagai contoh, dalam kes pihak suami telah diberikan peluang untuk membayar mut’ah itu secara ansuran atau bertempoh tetapi tiada di masukkan dalam Perintah itu klausa untuk hak isteri menuntut seluruh amaun mut’ah yang tertunggak dan belum tertunggak. Maka sekiranya berlaku kegagalan membayar mana-mana ansuran, pihak isteri hanya boleh menunut tunggakan yang belum di bayar sahaja dan bukan keseluruhan amaun mut’ah yang di hakimikan.  Sekiranya isteri memohon perintah atau sabitan penghinaan Mahkamah keatas keseluruhan amaun mut’ah dan bukannya tunggakan ansuran maka permohonannya akan di tolak Mahkamah.

Dalam kes Haji Azman bin Abdul Talib v Suhaila binti Ibrahim 16 [2003] 2 JH 175 M ahkamah Tinggi Syariah Pahang telah membebaskan Responden dari tuduhan menghina Mahkamah kerana Pemohon gagal membuktikan bahawa salinan Perintah Mahkamah yang di katakan telah di ingkari itu telah di serahkan kepada Responden. Dalam kes itu  Perintah yang dikemukakan adalah bukannya Perintah Bersih tetapi hanya Perintah Deraf tanpa tandatangan Hakim ataupun Pendaftar. Mahkamah telah merujuk kepada seksyen 135 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1987 sebagai peruntukan mengenai kesalahan menghina Mahkamah.

Kes haji Azman ini di putuskan sebelum Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah di gubal. Kini terdapat peruntukan seksyen 135 dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002.

Berdasarkan seksyen 135(2) Perintah mut’ah (umpamanya) tidak perlu diserahkan untuk membawa tindakan penghinaan terhadap suami sekiranya semasa Perintah mengenai kefarduan membayar jumlah mut’ah di putuskan oleh Hakim/Mahkamah si suami itu hadir di hadapan mahkamah. Sekiranya beliau tidak hadir sedemikian maka jika prosiding penghinaan Mahkamah ingin di ambil dengan jayanya maka:

i.              perintah mut’ah itu perlu diserahkan kepada suami; dan
ii.           dalam Perintah bermetrai itu perlu mengandungi indorsemen yang ditetapkan oleh seksyen 135 (3).

Berikut ialah peruntukan seksyen 135 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 dan Borang MS 28 sebagai rujukan mudah.


Seksyen 135. Penghakiman, dsb. yang menghendaki perbuatan dilakukan; masa untuk melakukannya

(1) Tiap-tiap penghakiman atau perintah yang menghendaki mana-mana orang melakukan apa-apa perbuatan, selain pembayaran wang, hendaklah menyatakan masa yang dalamnya perbuatan itu hendaklah dilakukan, dan jika masa tidak dinyatakan sedemikian, perbuatan itu hendaklah dilakukan dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman atau perintah itu.

(2) Jika orang yang dikehendaki melakukan perbuatan itu hadir sendiri atau diwakili oleh Peguam Syarienya semasa penghakiman atau perintah diberikan atau dibuat, maka salinan penghakiman atau perintah itu tidaklah perlu disampaikan kepadanya.

(3) Jika orang yang dikehendaki melakukan perbuatan itu tidak hadir sendiri atau tidak diwakili, tiada prosiding untuk penangkapan atau pengkomitannya boleh diambil melainkan jika suatu salinan penghakiman atau perintah itu yang diendorskan dengan notis dalam Borang MS 28, telah disampaikan kepadanya.


JADUAL KETIGA - Borang MS 28

(Subseksyen 135 (3))

PERINTAH/PENGHAKIMAN

(Tajuk Am)

(Nyatakan Jenis Perintah/Penghakiman)

Bertarikh pada .... haribulan .......................20 ...

..........................
Hakim/Pendaftar

PENGENDORSAN

Ambil perhatian bahawa, jika anda abai mematuhi perintah (atau penghakiman) ini, dalam masa yang dihadkan dalamnya, atau dalam masa empat hari selepas penyampaian perintah ini kepada anda, mengikut mana-mana yang terkemudian, maka anda melakukan suatu penghinaan Mahkamah dan dengan itu boleh dikomitkan ke penjara.


Kes-kes di atas adalah sebagai panduan sahaja. Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes  MAT GHANI BIN ISMAIL v SAMSIYAH BT MANSOR 36 (2013) 2 JH 64 DI MS 68-69 berkata:

‘Pada hemat kami keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tidak wajar di jadikan sebagai hujah dalam kes Mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan Syariah) walaupun keputusan tersebut betul. Oleh kerana itu kami hanya akan memberikan ulasan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Syariah sama ada prinsip-prinsip yang di tegaskan dalam kes-kes tersebut mempunyai kesamaan dalam kes di hadapan kami ini,’

PENUTUP

Sebagai penutup kita kongsi bersama artikal di bawah ini.


PENGHINAAN MAHKAMAH DI MAHKAMAH SYARIAH
OLEH:
NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Definisi Penghinaan Mahkamah

Bahasa: Beberapa perkataan Arab yang membawa maksud penghinaan: Ihtiqar, idhdira, imtihan, intihakul hurmah, istirdhal dan qillatul ihtiram. 1

Istilah: Penghinaan mahkamah bermaksud perlakuan tidak menghormati mahkamah, hakim atau keputusan-keputusan mahkamah yang berdasarkan hukum Islam. 2

Menurut pandangan Harith Suleiman Faruqi, penghinaan mahkamah bermaksud ‘tiap-tiap perbuatan atau sikap cuai yang bermaksud untuk menghina atau melemahkan perjalanan mahkamah, atau cuba menyimpang daripada maksud asal mahkamah atau perintah mahkamah’. 3 Kesalahan penghinaan mahkamah ini boleh terjadi sama ada melalui perkataan ataupun perbuatan. 4

Bentuk Penghinaan Mahkamah

Ia berlaku dalam dua bentuk, secara langsung atau secara tidak langsung. 5 Penghinaan mahkamah secara langsung ialah penghinaan yang dilakukan di hadapan hakim atau di dalam mahkamah, di mana seseorang itu bertujuan untuk menyimpangkan maksud atau tujuan mahkamah secara nyata dan keadaan tersebut dilihat sendiri oleh hakim. Contoh kesalahan ini ialah mempersendakan hakim atau seseorang di dalam mahkamah, meninggikan suara untuk mengganggu penumpuan hakim, menghina hakim dan sebagainya. 6

Saksi juga boleh terlibat dalam kesalahan menghina mahkamah secara langsung, seperti seseorang yang diperintahkan oleh mahkamah untuk menjadi saksi tetapi dia enggan, sedangkan kesaksian itu adalah wajib ke atasnya apabila diminta oleh hakim seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah, ayat 282 atau saksi menjawab soalan dengan nada yang menghina kehormatan mahkamah secara langsung.7

Penghinaan mahkamah secara tidak langsung (intihak al-mahkamah ghair mubasyir) ialah penghinaan yang dilakukan ketika tidak berada dalam kawasan premis mahkamah atau ketika tidak dilihat oleh hakim. Sebagai contoh, ingkar terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah atau mempengaruhi seseorang supaya tidak mentaati hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim dan sebagainya.8

Penghinaan Mahkamah Dalam Sejarah Islam

Persoalan berkaitan dengah sejarah penghinaan mahkamah di mahkamah syariah adalah sesuatu yang amat sukar untuk dijejaki. Ini berikutan konsep berkaitan penghinaan mahkamah diambil daripada sistem perundangan ciptaan manusia. Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa konsep penghinaan mahkamah di mahkamah syariah adalah selaras dengan pembentukan mahkamah itu sendiri.9 Dalam konteks Nabi Muhammad sebagai hakim, berlaku penghinaan terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh Nabi.

Penghinaan mahkamah dalam undang-undang Islam

Walaupun disebut di atas bahawa konsep penghinaan mahkamah diambil daripada sistem perundangan ciptaan manusia, namun dalam Islam kita boleh melihat beberapa bentuk kesalahan yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan menghina mahkamah. Contohnya: 1. Enggan patuhi perintah hakim hadir ke mahkamah

Dalam Islam, ada beberapa cara meminta seseorang hadir ke mahkamah: 10

i.   Menggunakan pegawai mahkamah.
ii. Menggunakan surat perintah yang bercap mohor mahkamah dan dialamatkan kepada pihak yang terlibat.
iii. Melalui pegawai mahkamah dengan disertakan surat perintah mahkamah

Pihak yang diminta hadir ke mahkamah mestilah menghadirkan diri ke mahkamah. Jika tidak, dianggap menghina mahkamah dan melambatkan prosiding mahkamah. Jika tidak dapat hadir ke mahkamah, alasan mesti diberi kepada hakim. Jika beliau seorang yang dipercayai, surat alasan tidak memerlukan 2 saksi. Jika tidak, 2 saksi adil diperlukan. Hal ini bagi mengelakkan pihak yang diminta hadir ke mahkamah itu dianggap menghina mahkamah dan boleh dikeluarkan waran tangkap.

Peruntukan Undang-Undang Tentang Penghinaan Mahkamah Syariah

Kebanyakan undang-undang bertulis tentang mahkamah syariah di Malaysia memperuntukkan kepada mahkamah syariah kuasa menghukum sesiapa yang melakukan kesalahan penghinaan mahkamah. Antara undang-undang bertulis yang memberi kuasa ini ialah enakmen syariah, iaitu Enakmen Prosedur Jenayah, Enakmen Prosedur Mal dan sebagainya bagi setiap negeri.11

Seksyen 210 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 memperuntukkan seperti berikut:

“Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana orang yang melakukan suatu penghinaan Mahkamah dengan hukuman denda yang tidak melebihi seratus ringgit.”

Sementara di Wilayah Persekutuan, peruntukannya berbunyi:

Seksyen 205 Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah 1991 (Selangor) memperuntukkan kuasa menghukum ke atas orang yang melakukan kesalahan menghina mahkamah ini dengan hukuman yang agak berat bagi mengingatkan mereka agar tidak lagi mengulangi kesalahan tersebut.12 Peruntukan tersebut berbunyi:

“Mana-mana mahkamah adalah mempunyai kuasa menghukum ke atas sesiapa yang melakukan penghinaan terhadapnya dengan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara bagi satu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”

Ini bermakna, mahkamah syariah juga mempunyai kuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan menghina mahkamah. Hukuman yang diperuntukkan itu adalah wajar bagi mempertahankan kedudukan dan kemuliaan mahkamah syariah, hakimnya dan semua yang terlibat dengan pentadbiran keadilan daripada dihina atau diaibkan oleh mana-mana pihak.13

Jika dilihat kepada peruntukan Seksyen 220, ia mempunyai dua subseksyen yang mirip kepada peruntukan mahkamah awam. Dalam penghinaan mahkamah di mahkamah awam terdapat dua jenis penghinaan terhadap mahkamah, iaitu ex-facie dan in-facie. Begitu juga keadaannya dengan mahkamah syariah, pembahagiannya adalah sama, terutama apabila merujuk kepada Subseksyen (1) dan (2) Seksyen 220 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah 1991 (Selangor). Subseksyen (1) merujuk kepada penghinaan secara in-facie, manakala Subseksyen (2) yang mempunyai tajuk kecil ‘Notis Menunjuk Sebab’ dalam Bahagian XXX (Penghinaan Mahkamah) memperuntukkan:

(1) Jika penghinaan dilakukan di hadapan mahkamah, mahkamah tidak perlu memberi notis kepada pesalah itu tetapi mahkamah hendaklah menentukan bahawa pesalah itu faham maksud kesalahan yang ditohmahkan terhadapnya dan diberi peluang untuk membela dirinya dan mahkamah hendaklah membuat catatan yang teratur mengenai prosiding.
(2) Dalam hal kes penghinaan mahkamah yang lain, notis menunjuk sebab mengapa pesalah tidak harus dipenjarakan atau didenda hendaklah disampaikan kepada pesalah sendiri.

Menurut sesetengah penulis undang-undang, penghinaan mahkamah adalah suatu perbuatan salah yang serius, kerana melibatkan nama baik satu institusi yang sepatutnya dihormati.14

Dalam sesetengah kes, hakim telah mengenakan perintah penjara kepada mereka yang didapati menghina mahkamah. Antaranya kes Kamariah Salim lwn Zulkifli Puteh 15 Kes ini pada awalnya merupakan permohonan tuntutan fasakh daripada pihak isteri (Kamariah Salim) kepada suaminya (Zulkifli Puteh). Pernyataan pembelaan di pihak suami banyak mengandungi pernyataan yang menghina mahkamah dan institusi kehakiman. Sepatutnya pernyataan pembelaan mengandungi jawapan kepada tuntutan pihak isteri. Pada kali pertama, hakim memerintahkan supaya pihak suami menarik balik pernyataan itu dan membuat jawapan tuntutan atau jawapan pembelaan yang lain. Suami akur dengan perintah mahkamah. Kali kedua, tiada perubahan yang berlaku dalam pernyataan pembelaan yang dibuat malahan pernyataan penghinaan yang dibuat semakin berat sehingga menyatakan ‘hakim syaitan.’.

Hakim kemudiannya mengarahkan Zulkifli supaya berjumpa pakar psikiatrik bagi menganalisa keadaan mentalnya. Tempoh masa yang diberikan adalah selama dua bulan. Selepas dua bulan, laporan tentang keadaan mentalnya diperolehi dan ia menunjukkan keadaan mental Zulkifli normal. Ini bermakna tindakan yang dibuat olehnya bukanlah kerana dia mempunyai penyakit mental. Berdasarkan laporan perubatan dan peluang yang diberikan, hakim telah mensabitkan kesalahan di bawah Seksyen 220 (1), iaitu penghinaan di dalam mahkamah dengan hukuman penjara selama tiga (3) hari. Tempoh tiga hari diberikan atas alasan sekiranya suami dipenjarakan terlalu lama dikhuatiri akan menimbulkan kemudaratan di pihak isteri yang memohon tuntutan fasakh.

Jelas dalam kes ini, penghinaan yang dilakukan adalah di dalam mahkamah, walaupun pihak dituntut diberi peluang untuk menarik balik pernyataannya yang berunsur menghina mahkamah. Tindakan atau pernyataan yang dinyatakan kepada hakim dikira terjumlah dalam penghinaan di dalam mahkamah.16
Namun ada perbezaan peruntukan di antara negeri-negeri berkenaan hukuman kepada mereka yang didapati menghina mahkamah. Contohnya peruntukan di negeri Terengganu:

Walaupun prosedur tentang penghinaan mahkamah diperuntukkan, garis panduan pelaksanaannya tidak wujud dalam kes-kes yang pernah diputuskan di mahkamah syariah. Ini menyukarkan para hakim membuat rujukan dalam penghakiman. Justru, hakim boleh membuat rujukan kepada penghakiman daripada mahkamah awam setakat mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Sebagaimana dalam kes Kamariah Salim lwn Zulkifli Puteh yang telah diputuskan, hakim merujuk kepada penghakiman yang telah dibuat oleh YA Hakim Mohd Salleh Abas dalam kes Public Prosecutor lwn Seeralan [1985] 2 MLJ 30. Dalam kes tersebut, YA menggariskan beberapa panduan dalam prosedur penghinaan terhadap mahkamah di mana ia berdasarkan jawapan kepada tiga soalan berikut:

(a) whether or not in law criminal contempt has been committed in the face of the court by the respondent by accusing the presiding magistrate in Port Dickson Magistrate’s Court Inquest No. 47/1984 of being biased, unfair and prejudiced and by refusing to leave the court when ordered to do so by the learned magistrate;
(b) if the answer to question (a) is in the affirmative, then whether it is right in law for the learned magistrate in the circumstances of this case to exercise his power of punishment for contempt of court summarily;
(c) if the answer to question (b) is in the affirmative, then whether it is right in law for the learned Judge to set aside the order of the learned magistrate committing the respondent for contempt of court in chambers without giving due notice or the right to be heard to the public prosecutor?

Dalam memberikan jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan itu, YA telah menggariskan beberapa panduan yang boleh diikuti dalam membuat penghakiman tentang penghinaan mahkamah di dalam mahkamah. Pada mulanya, ada juga hakim syarie kanan yang tidak senang hati dengan tindakan membuat rujukan kepada mahkamah awam. Tetapi apa yang jelas adalah rujukan kepada mahkamah awam tidak menjadi satu kesalahan kerana selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak, maka ia boleh diikuti sebagaimana pengadaptasian prosedur daripada mahkamah awam ke mahkamah syariah.

Seterusnya ialah kes Abdul Kadir bin Geroh 17 yang merupakan keingkaran pihak suami membayar tunggakan nafkah isteri dan anaknya sebanyak RM12,000.00. Si suami juga didapati gagal untuk menyerahkan anaknya kepada jagaan si isteri sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah. Hal ini menunjukkan bahawa pihak suami telah ingkar kepada perintah yang dibuat oleh mahkamah. Keingkaran dan kegagalan suami ini didapati tergolong kepada penghinaan mahkamah di luar mahkamah iaitu di bawah Seksyen 220 (2). Mahkamah memerintahkan hukuman penjara selama 10 hari ke atas pihak suami. Kemudian, pihak suami, setelah menjalani hukuman selama beberapa hari, telah berubah fikiran dan bersetuju untuk menjelaskan bayaran tertunggak tersebut. Bayaran itu kemudiannya dibayar beberapa hari kemudian.

Melihat kepada peruntukan Seksyen 221 yang dibaca bersama Seksyen 155 didapati bahawa perintah pelaksanaan perlu diutamakan berbanding dengan hukuman penjara. Tetapi apa yang berlaku di dalam kes yang telah diputuskan, hukuman penjara lebih diutamakan. Alasannya ialah bayaran denda yang boleh dikenakan maksimumnya hanyalah RM5,000.00 dan jumlah ini biasanya mampu dibayar berbanding hukuman penjara yang boleh membuatkan seseorang itu berasa malu kerana ia membabitkan maruah diri. 18

Kesimpulan:

Konsep penghinaan Mahkamah Syariah boleh diterima sebagai satu aspek penting dalam sistem Kehakiman Islam kini. Ia penting supaya perlaksanaan peruntukan undang-undang berkaitan dapat berjalan dengan adil, baik dan lancar. Mahkamah Syariah perlu kepada ‘ketahanan’ dan ‘kekuatan’ dalam melaksanakan keadilan kepada semua pihak. Justru, konsep ini perlu diperkasa dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Nota kaki

1    Hasan S. Karami, 1970. Al-Manar: English-Arabic Dictionary. Longman, Beirut: Librairie du Liban, hlm 131, Munir Baalbaki, Al-Mawrid: A Modern English-Arabic Dictionary, Beirut: Dar al-Ilmi li al-Malayin, hlm 211
2    Munir Ba’albaki op.cit., hlm 211
3    Harith Suleiman Faruqi, 1991. Faruqi’s Law Dictionary: English-Arabic. Beirut: Librairie du Liban, hlm. 162
4    Harith Suleiman Faruqi, op.cit., hlm 162
5    ibid
6    ibid
7    ibid
8    ibid
9    Abdul Basir Mohammad, op. cit. Penghinaan Mahkamah di mahkamah Syariah dalam Tajul Aris Ahmad Bustami, Mohd Hisham Mohd Kamal, Farid Sufian Shuaib Kaedah Perundangan, Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2005 hlm 98
10 Al-Mawardi, 1972, Adab al-Qadhi, Baghdad: Matba’at al-Ayni, Jil 2 hlm 322
11 Lih. Seksyen 205 Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah 1991 (Selangor), Seksyen 220-224 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah 1991 (Selangor) dan Seksyen 225 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992
12 Abdul Basir Mohammad, op.cit., hlm 100
13 ibid
14 Abdul Basir Mohammad op.cit., hlm 101
15 Abdul Basir Mohammad op.cit., hlm 102; Kes Mal 481/SA, maklumat daripada YA Tuan Mohd Na’im bin Mokhtar, HMRS Petaling ketika itu.
16 Abdul Basir Mohammad, op.cit., hlm 102
17 Kes yang tidak dilaporkan. Maklumat daripada YA Tuan Mohd Na’im bin Mokhtar, HMRS Petaling - ketika itu
18 Abdul Basir bin Mohamad, op.cit., hlm 103-104

Bibliografi:

Al-Mawardi, 1972. Adab al-Qadhi, Baghdad: Matba’at al-Ayni
Hasan S. Karami, 1970. Al-Manar: English-Arabic Dictionary. Longman, Beirut: Librairie du Liban
Harith Suleiman Faruqi, 1991. Faruqi’s Law Dictionary: English-Arabic. Beirut: Librairie du Liban
Munir Ba’albaki 1977 Al-Mawrid A Modern English-Arabic Dictionary, Beirut: Dar al-Ilmi li al-Malayin
Tajul Aris Ahmad Bustami, Mohd Hisham Mohd Kamal, Farid Sufian Shuaib, 2005. Kaedah Perundangan, Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur