Rabu, 15 Oktober 2014

Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah – siri 4


Prosiding Hiwalah (Garnishmen)

Satu lagi relif yang boleh di gunakan (jika sesuai) untuk melaksanakan perintah Mut’ah adalah dengan mengadakan prosiding hiwalah kerana dalam prosiding Hiwalah/Garnishmen  : apa-apa hutang yang terhutang kepada Defendan daripada mana-mana orang lain, atau apa-apa harta alih kepunyaan Defendan yang ada dalam kawalan atau milikan pihak ketiga seperti wang dalam bank yang ada kredit Defendan, boleh ditahan oleh Mahkamah melalui Bailif Mahkamah untuk pembayaran kepada Plaintif. Ini dikenali sebagai perintah garnishee/hiwalah. Tidak perlu perintah garnishee ini dijadikan sementara (nisi) terlebih dahulu tetapi  wang tahanan tersebut akan dibayar secara terus kepada Plaintif. Defendan disini bermaksud suami yang di namakan di dalam prosiding tuntutan mut’ah di mana Perintah bayaran mut’ah telah dikeluarkan Mahkamah. Plaintif adalah bermaksud isteri yang membuat tuntutan mut’ah dalam prosiding tuntutan mut’ah yang tersebut itu.

Aburrahman Al-Jaziri dalam kitab al-Fiqh ‘Ala Madzahib al-Arba’ah, hlm. 210 berpendapat bahawa yang dimaksud dengan hiwalah menurut bahasa ialah
          اَلنَّقْلُ مِنْ مَحَلٍّ إِلَى مَحَلِّ  iaituPemindahan dari satu tempat ke tempat yang lain.”

Dari segi istilah terdapat beberapa tafsiran di berikan yang antara lain adalah seperti berikut :

1.       Menurut Hanafiyah hiwalah ialah : نَقْلُ الْمُطَالَبَةِ مِنْ ذِمَّةِالْمَدْيُوْنِ إِلَى ذِمَّةِ الْمُلْتَزَمِ -Memindahkan tagihan dari tanggung jawab yang berhutang kepada yang lain yang punya tanggung jawab kewajiban pula.”

2.       Al-Jaziri berpendapat bahawa hiwalah ialah : نَقْلُ الدَّيْنِ مِنْ ذِمَّةٍ إِلَى ذِمَّةٍ -Perpindahan hutang dari tanggung jawab seseorang menjadi tanggung jawab orang lain.”

3.       Syihab Al-Din Al-Qalyubi dalam Qulyubi wa Umaira, Dar al-Ihya- al-Kutub al-Arabiyah Indonesia, tth. 318 berkata bahawa hiwalah ialah: عَفْدٌ يَقْتَضِى اِنْتِقَالَ دَيْنٍ مِنْ ذِمَّةٍ إِلَى ذِمَّة-Akad yang menetapkan pemindahan beban hutang dari seseorang kepada yang lain.”

4.       Ibrahim Al-Bajuri dalam ‘Usaha Keluarga’, Semaran g. Tth. Hlm. 376 berpendapat bahawa hiwalah ialah : نَقْلُ الْحَقَّ مِنْ ذِمَّةِ الْمُحِيْلِ إِلَى ذِمَّةِ الْمُحَالِ عَلَيْهِ - “Pemindahan kewajipan dari beban yang memindahkan menjadi beban yang menerima pemindahan.”

5.       Taqiyuddin dalam kitab Kifayah al-Akhyar, hal. 274, berkata bahawa hiwalah ialah :  اِنْتِقَالُ الدَّيْنِ مِنْ ذِمَّةٍ إِلَى ذِمَّةٍ -Pemindahan hutang dari beban seseorang  menjadi beban orang lain.”
Nas-nas berikut adalah menjadi sandaran kepada tindakan membenarkan proses hiwalah:

1.       Firman Allah dalam surah albaqarah yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar”

2.       Hadits yang di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللّه عَنْهَ اَنَّ رَسُوْلَ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ فَإِذَا أَتْبَعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيءٍ فَلْيَتَّبِعْ
Bermaksud: "... Menunda (pembayaran hutang) oleh orang yang mampu membayar itu adalah suatu penganiayaan. Apabila salah seorang di antara kamu hutangnya dilimpahkan kepada orang yang mampu, hendaklah kamu menerima”. 

3.       Ijma’ para ulama bahawa hiwalah boleh dilakukan.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Hiwalah dalam Kaedah fiqh

Salah satu kaedah asas kepada kaedah fiqh ialah bahaya atau mudharat hendaklah di hapuskan الضرر يزال

Kaedah ini bermaksud bahawa apabila kenudharatan telah terjadi kemudhadaratan itu wajib di hilangkan. Ia juga membawa maksud bahawa sesuatu yang mendatangkan bahaya/kemudharatan hendaklah di hapuskan dan perkara yang memudharatkan itu hendaklah juga di hapuskan sama [lihat 209 Ibrahim Muhammad Mahmud al-Hariri, al-Madkhal Ila al-Qawa’id al-Fiqhiyyah al-Kulliyyah, hlm. 92; Ibn Nujaym, al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 92; Al-Syeikh Ahmad bin al-Syeikh Muhammad al-Zarqa’, Syarh Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 179.]

Antara cabang kecil kepada kaedah fiqhiyyah diatas adalah ‘hajat atau keperluan menepati darurat (al-hajah tanzilu manzilatad dharurah)’. Ia bermaksud bahawa Islam mengambilkira keperluan-keperluan hidup manusia dengan memberi beberapa kemudahan agar segala keperluan hidup dianggap sebagai dharurat yang perlu diselesaikan kerana tanpa kemudahan tersebut maka umat akan menanggung masalah besar. Lantaran itu suatu sistem yang berkesan serta cekap perlu diwujudkan demi menjamin kesejahteraan umat agar Islam terus berkembang. Suatu metod dan konsep yang di panggil al hiwalah (pindahkan hutang kepada sesorang lain yang mampu) perlu di ujudkan dalam sistem pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Mahkamah Syariah untuk mendapatkan bayaran penghakiman jumlah mut’ah sekiranya suami enggan/cuai/abai membayarnya sebagaimana yang telah di fardhukan oleh Mahkamah.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Kedudukan Prosedur Prosiding Hiwalah dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pahang 2002

Seksyen 159 (1) (b) Enakmen memperuntukan bahawa harta alih Defendan (suami dalam kes melaksanakan Perintah bayaran Mut’ah) yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga (muhal ‘alaih) ataupun hutang yang kena di bayar oleh muhal ‘alaih kepada suami boleh di perintahkan untuk di tahan oleh Bailif. Tindakan ini merupakan satu lagi cara untuk menguatkuasakan Perintah mut’ah.


Seksyen 159. Jenis pelaksanaan

(1) Suatu perintah bagi pelaksanaan boleh mengarahkan bailif supaya mengambil mana-mana satu atau lebih daripada satu tindakan yang berikut:

(a) ...;
(b) menahan harta alih penghutang penghakiman itu yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga (kemudian daripada ini disebut “muhal ‘alaih”) atau hutang yang kena dibayar oleh muhal ‘alaih kepada penghutang penghakiman itu;
(c) ... ; atau
(d) ...


Menurut seksyen 159 (3) enakmen, jenis pelaksanaan ini tidak menghalang atau di halang oleh lain-lain pelaksanaan yang sedang berkuatkuasa.


Seksyen 159. Jenis pelaksanaan

(3) Mahkamah boleh, atas permohonan mana-mana pemiutang penghakiman, mengeluarkan suatu perintah pelaksanaan selanjutnya berkenaan dengan harta yang berlainan atau cara pelaksanaan yang berlainan daripada yang telah dinyatakan dalam perintah pelaksanaan yang sedang berkuat kuasa.


Berikut pula ialah langkah-langkah (secara ringkas) untuk di ikuti dalam proses mendapatkan pelaksanaan secara penahanan harta alih atau hutang yang berkenaan:

i.             Dapatkan kebenaran Mahkamah secara permohonan ex-parte yang disertakan dengan afidavit yang memuaskan Hati Mahkamah bahawa pelaksanaan melalui hiwalah patut dikeluarkan. Ini di nyatakan di dalam seksyen 154 (1)(d); 154 (2) dan 154 (3) enakmen:


Seksyen 154. Kebenaran untuk mengeluarkan perintah pelaksanaan

(1)     Sesuatu perintah pelaksanaan bagi menguatkuasakan sesuatu penghakiman atau perintah tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran Mahkamah —

(a) ...;
(b) ...;
(c) ...;
(d) jika pemiutang penghakiman berhasrat menguatkuasakan penghakiman itu terhadap mana-mana orang selain penghutang penghakiman yang dinamakan dalam penghakiman itu;
(e) ...;
(f) ...; atau
(g) ...

(2)     Permohonan untuk mendapatkan kebenaran pelaksanaan boleh dibuat secara ex parte, tetapi Mahkamah boleh memerintahkan supaya permohonan itu disampaikan kepada mana-mana pihak atau orang tertentu.

(3)     Mahkamah hendaklah, jika Mahkamah berpuas hati bahawa perintah pelaksanaan itu patut dikeluarkan, memberikan kelulusan mengikut permohonan itu.


ii.           Setelah kebenaran di perolehi, isteri/peguam syarienya hendaklah mematuhi kehendak seksyen 155 enakmen iaitu memfailkan kepada Mahkamah suatu Borang 35 yang lengkap.


Seksyen 155. Mengeluarkan perintah pelaksanaan

Tertakluk kepada seksyen 154, pemiutang penghakiman boleh mengemukakan kepada Pendaftar suatu perintah bagi pelaksanaan dalam Borang MS 35 dan Pendaftar, jika didapati tiada sebab mengapa pelaksanaan tidak boleh dikeluarkan, hendaklah menandatangani dan memeteraikan perintah itu dalam dua salinan, memfailkan satu salinannya dan menyerahkan yang satu lagi kepada bailif bagi pelaksanaan.




JADUAL KETIGA - Borang MS 35

(Seksyen 155)
PERINTAH PELAKSANAAN
(Tajuk Am)

Kepada Bailif,

Atas permohonan pemiutang penghakiman, anda dengan ini diperintahkan supaya melaksanakan penghakiman bertarikh .................. haribulan ............. 20 .......... yang diperoleh oleh pemiutang penghakiman terhadap penghutang penghakiman yang butir-butirnya ialah seperti yang berikut:

Amaun penghakiman .......................................................... ...............Kos 
.......................................................................................................... Kos 
bagi perintah ini .......................................................................... Amaun
yang kena dibayar ........................................................... Tarikh perintah yang memberikan kebenaran untuk pelaksanaan ................................... dan anda hendaklah melaksanakan penghakiman tersebut melalui mana-mana cara yang berikut:

(1) ............................................................................................................
(2) .............................................................................................................
(3) .............................................................................................................

dan bahawa selepas membayar fee yang ditetapkan dan perbelanjaan pelaksanaan (termasuk kos bagi permintaan untuk mendapatkan kebenaran pelaksanaan dan kos melaksanakannya), membawa ke dalam Mahkamah apa-apa wang yang telah dilevikan dan dengan serta-merta mengembalikan perintah ini kepada Mahkamah.

Bertarikh pada ..................... haribulan .................. 20 ..........

..................
Pendaftar


Borang MS 35 itu hendaklah mematuhi kehendak seksyen 159 (2) yang berikut:


(4)     Tiap-tiap perintah bagi pelaksanaan —

(a) hendaklah menyatakan mengikut cara yang mana sebagaimana yang dinyatakan di bawah subseksyen (1) pelaksanaan itu hendak dijalankan; dan

(b) hendaklah memperihalkan dengan khusus harta yang dimaksudkan oleh perintah itu.


Pelaksanaan yang di nyatakan diatas adalah di kenali sebagai pelaksanaan Hiwalah. Prosedur lanjut adalah di tetapkan oleh seksyen 161 enakmen:


Seksyen 161. Hiwalah

(1) Dalam seksyen ini, “harta” termasuklah suatu hutang yang kena dibayar oleh muhal ‘alaih kepada penghutang penghakiman.

(2) Peruntukan yang berikut hendaklah terpakai jika pelaksanaan diperintahkan melalui penahanan harta dalam milikan atau kawalan seseorang muhal ‘alaih

(a) bailif hendaklah menyampaikan kepada muhal ‘alaih  suatu notis hiwalah dalam Borang MS 37, dan notis dalam Borang MS 38 hendaklah digunakan jika harta itu berada di dalam Mahkamah;

(b) segala harta yang dinyatakan dalam notis hiwalah hendaklah ditahan dari masa penyampaian notis itu kepada muhal ‘alaih setakat atau pada nilai yang disebut dalam notis itu, dan apa-apa pemberi-milikan atau pelupusan harta itu yang bertentangan dengan terma-terma notis itu, kecuali dengan kebenaran Mahkamah, adalah tak sah terhadap bailif, dan perbuatan itu adalah juga suatu penghinaan mahkamah;

(c) muhal ‘alaih boleh membayar kepada bailif amaun yang dituntut atau boleh menghantarserahkan kepadanya harta yang ditahan itu;

(d) jika muhal ‘alaih tidak membuat pembayaran atau penghantarserahan itu, bailif boleh menyampaikan kepadanya suatu saman hiwalah dalam Borang MS 39 dan Mahkamah hendaklah memeriksanya tentang harta yang ditahan itu:

Dengan syarat bahawa —

(i)   tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan kepada seseorang penjawat awam berkenaan wang atau harta dalam milikannya atas sifatnya yang sedemikian, melainkan dengan kebenaran Mahkamah dan dengan kebenaran bertulis Perbendaharaan; dan 

(ii)  tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan dalam hal wang, kumpulan wang pelaburan atau harta di dalam mana-mana Mahkamah;

(e) Mahkamah boleh mendengar keterangan lain mengenai mana-mana saman hiwalah;

(f)  selepas mendengar saman itu, Mahkamah boleh membuat suatu perintah pembayaran atau penghantarserahan dan boleh memerintahkan pelaksanaan dikeluarkan terhadap muhal ‘alaih mengenai apa-apa harta dalam tangannya yang didapati telah ditahan dengan sah, seolah-olah muhal ‘alaih itu sendiri ialah penghutang penghakiman bagi amaun yang dituntut terhadap penghutang penghakiman yang asal, atau bagi amaun atau nilai harta dalam tangan muhal ‘alaih, mengikut mana yang kurang;

(g) Mahkamah —

(i)   boleh memerintahkan kos terhadap muhal ‘alaih  dan boleh membenarkan atau tidak membenarkan muhal ‘alaih itu menuntut kos itu daripada penghutang penghakiman;

(ii)  boleh membenarkan kos kepada muhal ‘alaih terhadap pemiutang penghakiman, dan boleh memberikan atau tidak memberikan kebenaran untuk menjadikan kos itu sebagai kos pelaksanaan;

(h) jika hutang yang kena dibayar secara ansuran menurut suatu penghakiman ditahan, muhal ‘alaih tidaklah bertanggungan membuat pembayaran kecuali mengikut perintah ansuran itu;

(i) pembayaran oleh muhal ‘alaih di bawah seksyen ini hendaklah menjadi suatu pelepasan yang sah terhadap penghutang penghakiman;

(j) bailif boleh, atas permintaan pemiutang penghakiman dan hendaklah, jika diperintahkan sedemikian oleh Mahkamah, menarik balik mana-mana notis hiwalah atau saman hiwalah;

(k) sesuatu notis hiwalah hendaklah disifatkan telah terbatal tiga bulan selepas penyampaian, melainkan jika prosiding di bawah saman itu masih belum selesai atau Mahkamah memerintahkan selainnya.


Dalam seksyen 161 ini, pihak-pihak yang di rujuk adalah:

i.             muhal ‘alaih;
ii.           penghutang penghakiman; dan
iii.          pemiutang penghakiman.

Bagi perintah bayaran mut’ah, penghutang penghakiman adalah merujuk kepada suami; penghutang penghakiman adalah isteri; dan muhal ‘alaihi adalah pihak ketiga yang samada terhutang dengan suami (dan mampu membayar hutang itu) ataupun pihak ketiga yang mempunyai kawalan atau milikan harta alih kepunyaan suami (harta alih seperti bon, saham, wang simpanan, simpanan tetap, peti simpanan selamat, hasil mahsul, harta alih amanah dsb).

Setelah bailif Mahkamah menerima perintah Pelaksanaan di bawah seksyen 155 enakmen beliau hendaklah menyampaikan Notis Hiwalah (Borang MS 37) kepada muhal ‘alaih.


JADUAL KETIGA
Borang MS 37

(Subseksyen 161 (2) (a))
NOTIS HIWALAH

(Tajuk Am)

Atas perintah pelaksanaan bertarikh pada ....... haribulan ..................... 20 .....

Adalah diperintahkan bahawa segala hutang yang kena dibayar atau terakru kena dibayar oleh muhal ‘alaih yang dinamakan di atas kepada penghutang penghakiman yang dinamakan di atas (dalam jumlah wang sebanyak RM ................... hendaklah ditahan untuk menjawab penghakiman yang didapatkan terhadap penghutang penghakiman tersebut oleh pemiutang penghakiman yang dinamakan di atas di Mahkamah ........................... Syariah pada ...... haribulan .......... 20 ..... untuk jumlah wang (atau untuk menjawab suatu perintah yang dibuat di Mahkamah ...................... Syariah pada ......... haribulan ....... 20 ........ yang memerintahkan pembayaran oleh penghutang penghakiman tersebut kepada pemiutang penghakiman yang dinamakan di atas jumlah wang sebanyak RM .............. (hutang dan kos RM .............) (beserta dengan kos bagi prosiding hiwalah) yang atas penghakiman (atau perintah) itu jumlah wang sebanyak RM ............ masih lagi terhutang dan belum dibayar.

Ambil perhatian juga bahawa segala transaksi pelupusan atau pelepasan yang dibuat selepas penyampaian notis ini adalah tak sah dan anda boleh dikenakan membayar ganti rugi dan kos kepada pemiutang penghakiman.

Jika anda mempertikaikan tanggungan anda di bawah notis ini, anda hendaklah dalam masa tujuh hari dari tarikh penyampaian notis ini memfailkan suatu notis bantahan tentang tanggungan di bawah notis ini kepada Mahkamah.

Bertarikh pada ........ haribulan .......................... 20 ..........

(Meterai)

...........................
Hakim/Pendaftar

Kepada muhal ‘alaih dan pemiutang penghakiman yang dinamakan di atas.

Notis Bantahan

Ambil perhatian bahawa saya, ........................................................................... muhal ‘alaih yang dinamakan di atas dengan ini membantah tanggungan yang dikenakan ke atas saya melalui notis ini atas alasan-alasan yang berikut:

.............................................................................
Muhal ‘alaih (atau Peguam Syarie bagi Muhal ‘alaih)

Notis ini difailkan oleh muhal ‘alaih (atau Peguam Syarie bagi muhal ‘alaih) yang alamat penyampaiannya ialah di ...............


Jika muhal ‘alaih membayar amaun yang di tuntut itu atau menghantarserah harta alih yang di tahan itu kepada bailif maka muhal ‘alaih di lepaskan dari tanggungannya.

Jika muhal ‘alaih mempertikaikan tuntutan hiwalah itu maka beliau hendaklah memfailkan Notis Bantahan yang ada di sertakan dalam Notis Hiwalah (Borang MS 37) dalam tempoh 7 hari. Notis Bantahan itu boleh di tandatangani oleh beliau atau oleh Peguam Syarienya.

Jika tiada bayaran ataupun penghantarserahan yang di maksudkan oleh Notis Hiwalah itu di buat dalam tempoh 7 hari atau setelah Notis Bantahan di failkan dalam tempoh itu maka suatu Saman Hiwalah dalam Borang 39 akan di keluarkan oleh Mahkamah. Pihak yang terlibat dalam prosiding Saman Hiwalah itu adalah isteri dan muhal ‘alaih sahaja. Suami tidak menjadi pihak.

Setelah serahan Borang MS 39 (Saman Hiwalah) di serahkan maka proses perbicaraan akan di jalankan di Mahkamah yang mengeluarkan Saman itu di bawah seksyen 161 enakmen tersebut.

Dalam perbicaraan itu Muhal ‘alaihi akan naik ke kandang saksi untuk memberi keterangan secara lisan dan bersumpah syarie dan akan di soal oleh isteri/peguam syarienya dan/atau Mahkamah. Muhal ‘alaihi hendaklah membawa kesemua buku-buku dan dokumen yang berkaitan dengan hutangnya kepada muhal/muhtal (penghutang penghakiman yakni suami) yang berada di dalam milikan, jagaan atau kawalan muhal ‘alaihi. Ini adalah bertepatan dan sesuai dengan kehendak serta kandungan Saman Hiwalah (Borang MS 39) itu sendiri yang berbunyi:

‘ ... diperiksa mengenai apa-apa harta penghutang penghakiman (nama) ............................ yang mungkin ada atau, sejak penyampaian notis hiwalah kepada anda, mungkin pernah ada dalam milikan, jagaan atau kawalan anda dan mengenai apa-apa hutang yang kena dibayar atau yang terakru kena dibayar daripada anda kepada penghutang penghakiman tersebut, dan supaya membawa bersama anda kesemua buku dan dokumen lain yang berhubungan dengannya yang berada dalam milikan, jagaan atau kawalan anda.’

Namun sekiranya pihak yang ingin di jadikan muhal ‘alaihi itu membantah tututan permohonan hiwalah dan bantahannya tidak di persetujui oleh pihak isteri maka beliau juga akan memberi keterangan serta mengemukakan alasan bantahannya bersama apa jua keterangan atau fakta sokongan kepada alasan bantahannya, ini ada di nyatakan di bawah peruntukan seksyen 161 (2) (e) enakmen yang berbunyi: ‘Mahkamah boleh mendengar keterangan lain mengenai mana-mana saman hiwalah.’

Setelah mendengar semua keterangan dan meneliti bukti-bukti serta hujahan (jika ada) Mahkamah akan membuat keputusannya samada mengeluarkan perintah hiwalah ataupun menolak permohonan hiwalah. Mengenai kos untuk pihak-pihak ianya adalah budibicara Mahkamah samada untuk menganugerahkannya ataupun tidak.

Sekiranya muhal ‘alaihi tidak hadir di perbicaraan penuh Saman Hiwalah itu maka prosiding Saman Hiwalah akan/boleh di teruskan juga dan Mahkamah akan membuat keputusannya terhadap permohonan hiwalah si isteri dengan melihat kepada semua keterangan, bukti serta notis bantahan muhal ‘alaihi yang ada dihadapannya. Perlu di ingat bahawa Mahkamah hanya akan memutuskan apa yang pada zahirnya sahaja. Perkara lain adalah di luar kemampuan Mahkamah. Mengenai perintah ex-parte sedemikian ianya juga ada di nyatakan di dalam Borang MS 39 :

‘Ambil perhatian bahawa, jika ingkar untuk hadir sedemikian, perintah akan dibuat terhadap anda semasa ketakhadiran anda.’

Di bawah ini adalah format Borang MS 39 tersebut untuk rujukan mudah perbincangan kita.


JADUAL KETIGA - Borang MS 39
(Subseksyen 161(2) (d))

SAMAN HIWALAH

(Tajuk Am)

Perintah bagi pelaksanaan bertarikh .................. haribulan .................. 20 .....
Notis Hiwalah bertarikh ................ haribulan ................. 20 .....

Kepada ....................................................... yang beralamat di .................................. muhal ‘alaih.

Anda dengan ini disaman supaya hadir di hadapan Mahkamah yang dinamakan di atas pada hari ...................... pada .................... haribulan ............. 20 ......... pukul ............ pagi/petang untuk diperiksa mengenai apa-apa harta penghutang penghakiman (nama) ............................ yang mungkin ada atau, sejak penyampaian notis hiwalah kepada anda, mungkin pernah ada dalam milikan, jagaan atau kawalan anda dan mengenai apa-apa hutang yang kena dibayar atau yang terakru kena dibayar daripada anda kepada penghutang penghakiman tersebut, dan supaya membawa bersama anda kesemua buku dan dokumen lain yang berhubungan dengannya yang berada dalam milikan, jagaan atau kawalan anda.

Ambil perhatian bahawa, jika ingkar untuk hadir sedemikian, perintah akan dibuat terhadap anda semasa ketakhadiran anda.

Bertarikh pada ...................... haribulan .................... 20 ........

(Meterai)

.........................
Hakim/Pendaftar


Seperkara lagi keadaan yang perlu kita ketahui adalah bahawa Saman Hiwalah (Borang 39) ini tidak boleh di keluarkan dalam keadaan yang di nyatakan di dalam seksyen 161 (2) (d) (i) dan (ii) enakmen iaitu:


Dengan syarat bahawa —

(i)   tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan kepada seseorang penjawat awam berkenaan wang atau harta dalam milikannya atas sifatnya yang sedemikian, melainkan dengan kebenaran Mahkamah dan dengan kebenaran bertulis Perbendaharaan; dan 

(ii)  tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan dalam hal wang, kumpulan wang pelaburan atau harta di dalam mana-mana Mahkamah;


Peruntukan seksyen 161 (2) (d) (ii) ini ada pula pengecualiannya sebagaimana yang di nyatakan di dalam seksyen 162 yang berikut:


Seksyen 162. Wang dan harta di dalam Mahkamah

Wang, kumpulan wang yang dilaburkan, atau harta lain penghutang penghakiman dalam atau di bawah kawalan Mahkamah yang memberikan penghakiman itu boleh, jika suatu perintah pelaksanaan telah dibuat, digunakan dengan kebenaran Mahkamah untuk menunaikan hutang penghakiman itu, dan pelaburan serta harta selain wang boleh diperintahkan supaya dijual untuk tujuan itu.


Merujuk kembali kepada seksyen 161 (2) (a) diatas perlu di nyatakan di sini bahawa sekiranya harta yang ingin di tahan itu berada di mahkamah maka Bailif hendaklah menggunakan Notis Hiwalah dalam bentuk Borang 38 sepertimana berikut:


JADUAL KETIGA - Borang MS 38

(Subseksyen 161 (2) (a))

NOTIS HIWALAH (HARTA DI DALAM MAHKAMAH)

(Tajuk Am)

Perintah bagi pelaksanaan bertarikh ............. haribulan ....................... 20 .....

Kepada:

Hakim/Pendaftar

Mahkamah ................................................ Syariah.

Bahawasanya adalah dinyatakan oleh pemiutang penghakiman bahawa sejumlah wang sebanyak RM ....................... ada di dalam Mahkamah .................................... Syariah di ........................................... untuk kredit penghutang penghakiman, dalam prosiding, ........ ................. ................... ..........................

Bersama-sama ini saya kemukakan suatu salinan perintah bagi pelaksanaan yang disebut di atas dan meminta anda mengirimkan ke Mahkamah ini apa-apa wang, yang selainnya boleh atau kena dibayar kepada penghutang penghakiman daripada Mahkamah tersebut oleh sebab prosiding berkenaan, sehingga, tetapi tidak melebihi, apa-apa amaun yang disebut dalam perintah pelaksanaan tersebut sebagai kena dibayar kepada pemiutang penghakiman.

Bertarikh pada ................. haribulan ............... 20 ........

............................
Hakim/Pendaftar


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Wallahu’alam. Jumpa lagi ...